Categories
SELANGOR

Banjir: Mana pelan strategik Kerajaan Negeri?

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 FEB: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor merancang pelan jangka pendek dan panjang untuk mengatasi masalah banjir di seluruh negeri.

Pengarahnya, Hashim Osman, berkata perancangan jangka pendek memfokuskan kepada penyelenggaraan saliran secara berkala termasuk parit, sungai dan kolam tadahan banjir serta kolam takungan.

Katanya, JPS Negeri turut menaik taraf pintu air yang rosak dam memasang pam sementara di kawasan yang sering terlibat banjir.

HASHIM OSMAN“Manakala perancangan jangka panjang pula memfokuskan kepada kajian tebatan banjir dan reka bentuk terperinci bagi sistem saliran serta menaik tarafnya dengan membina struktur parit.

“JPS Negeri juga turut melebar dan mendalamkan sungai bagi meningkatkan kapasiti tadahan, memasang pam kekal berkapasiti tinggi di kawasan ‘hotspot’ banjir dan membina kolam tadahan banjir,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Hashim berkata, JPS Negeri turut mengetatkan syarat kepada pemaju tanah untuk mengunapakai garis panduan yang mensyaratkan penyediaan kolam takungan dalam semua pembangunan tanah.

Beliau turut berharap semua program dijadualkan berjalan lancar mengikut spesifikasi dan reka bentuk serta dapat disiapkan awal seperti yang dirancang.

“Pelaksanaan program tebatan banjir dapat membantu serta mengurangkan masalah banjir yang kerap berlaku khususnya di daerah Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat.

“JPS turut berharap program ini dapat mengurangkan impak negatif dan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam mengatasi banjir,” katanya.

-AA-

Taburan hujan luar biasa, penduduk perlu waspada

Kawasan tanah rendah dan kawasan berhampiran sungai paling terdedah kepada risiko banjir dan Kerajaan Negeri telah membuat persiapan yang perlu menghadapi kemungkinan bencana.