Categories
NASIONAL

Guan Eng : Anwar Tetap Calon PM Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR,  11 JUN: Pakatan Rakyat kekal dengan pendirian untuk meletakkan Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya menang dalam PRU-13 akan datang.

Penegasan yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekaligus menafikan kenyataan Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hassan Ali yang mendakwa Guan Eng akan menjadi Perdana Menteri.

Jelas Guan Eng, yang juga setiausaha agung DAP, beliau secara peribadi tidak layak untuk menjawat jawatan berkenaan berbanding Anwar.

“Saya sudah katakan banyak kali bahawa Pakatan Rakyat hanya ada satu calon untuk Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Untuk saya sendiri secara peribadi, saya tidak berminat kerana saya tidak layak. Ada ramai yang lebih layak daripada saya. Saya akan tanya dia (Anwar) apa kuasa yang dia mahu serah kepada saya,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Baru baru ini Dr Hassan, seorang bekas exco Selangor, berkata Anwar akan melepaskan jawatan dalam tempoh tiga bulan selepas menang pilihan raya dan menamakan Guan Eng sebagai Perdana Menteri.

Dr Hassan, yang juga seorang bekas pemimpin Pas, dilucutkan keahlian dari parti itu pada Januari lepas kerana pendiriannya yang bertentangan dengan dasar parti itu.