Categories
SELANGOR

Sidang DNS bertafakur seminit hormati korban nahas helikopter

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 7 APR: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini bertafakur selama seminit bagi memperingati pemergian Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan lima lagi mangsa korban nahas helikopter di Semenyih, pada 4 April lalu.

Dato’ Menteri Besar juga berharap laporan forensik dan siasatan menyeluruh secara profesional dapat merungkai persoalan punca kemalangan terbabit, sekali gus mengelak berulangnya tragedi seumpama itu.

“Kita mendoakan semua anggota keluarga mangsa dikurniakan kesabaran dalam menghadapi musibah ini,” katanya.

dnsDewan juga mengucapkan takziah atas pemergian ayahanda Datuk Seri Anwar, Ibrahim Abdul Rahman yang kembali ke rahmatullah pada usia 96 tahun.

“Kita mendoakan almarhum Ibrahim Abd Rahman dikurniakan husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di dalam syurga yang penuh dengan nikmat Allah SWT,” katanya.

Kesempatan sama, DNS turut merakamkan kesedihan atas pemergian Pengurus Kanan Perhubungan Korporat Invest Selangor Berhad, Noor Azmawi Abdul Aziz yang meninggal dunia, pada jam 9.45 malam tadi.

Seluruh anggota dewan beragama Islam diminta menyedekahkan Al-Fatihah, manakala wakil rakyat bukan Islam bertafakur sebagai tanda memperingati pemergian itu.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyifatkan Allahyarham Azmawi sebagai penjawat awam yang penuh dedikasi dan amanah dalam menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab selama 15 tahun berkhidmat bersama Invest Selangor.
-NFN-