Categories
SELANGOR

Himpunan Baju Merah patut tumpu isu rakyat

Oleh: SYASYA SUFIAN

BATU CAVES, 21  OKT: Himpunan Baju Merah ‘Selamatkan Selangor’ tidak seharusnya bersifat politik dalam menjaga kepentingan sesetengah pihak.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Samad berkata Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk menerima sebarang teguran jika ia memberi kebaikan dalam memastikan Selangor dapat dibangunkan.

ISKANDAR“Kita melihat setiap teguran itu haruslah membina untuk kepentingan bersama dan bukan berniat politik.

“Tetapi jika sebarang tindakan melibatkan politik, kita menolak sama sekali kerana ia tidak memberi manfaat pada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas Himpunan Baju Merah ‘Selamatkan Selangor’ di ibu pejabat Umno Ampang pada 18 Oktober lalu.

Media melaporkan, kurang daripada 200 peserta hadir dalam perhimpunan yang dirancang Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Mohd Yunos itu.

Perhimpunan pada 3.30 petang itu berakhir sejam kemudian selepas enam pemimpin Umno termasuk Ketua Umno Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Exco Pemuda Umno, Armand Abu Hanifah berucap.

-nR-