Categories
NASIONAL

Iklan restoran, hotel perlu pamer harga terangkum cukai

PUTRAJAYA, 27 JULAI: Kerajaan akan mewajibkan iklan perkhidmatan restoran dan hotel mempamerkan harga terangkum cukai supaya pengguna tidak tertipu serta mendapatkan keadilan ketika membuat pembayaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu perlu kerana ada peniaga mengenakan caj tersembunyi kepada pengguna.

“Jika pengguna tengok iklan barang berharga RM100, mereka akan bayar RM100. Semua caj termasuk GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) serta caj perkhidmatan sudah termasuk dan tidak ada lagi caj tersembunyi,” katanya lapor BERNAMA dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian berkenaan, di sini, hari ini.

hotel1Beliau berkata, perkara itu akan dilakukan menerusi pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan 2011 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat dua hari lalu dan dijangka dibentang untuk bacaan kali kedua serta dibahaskan selewat-lewatnya, pada 1 Ogos ini.

Katanya, antara pindaan yang dibuat ialah mengenakan denda RM100,000 kepada peniaga yang melanggar peraturan itu.

“Mereka (peniaga) dibenarkan untuk mempamerkan pecahan harga pada resit mengikut Akta Kastam,” katanya.

Hamzah berharap, akta itu diluluskan pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung supaya dapat dikuatkuasakan, menjelang akhir tahun ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan mengumumkan tarikh pewartaan Akta Jualan Kredit yang diluluskan pada sesi Parlimen lalu, beberapa bulan lagi.