Categories
NASIONAL

Statistik tak berimbang, hutang isi rumah terus meningkat

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 JUN: Statistik Jabatan Perangkaan berhubung pendapatan isi rumah bulanan Malaysia 2014 meningkat kepada 11.7 peratus bukan berita gembira, kata Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Beliau berkata, peningkatan itu tidak berimbang dan tepat dengan realiti kewangan awam memandangkan jumlah hutang isi rumah Malaysia adalah yang tertinggi di dunia.

abdullah sani“Pendedahan Jabatan Perangkaan itu tidak tepat dan hanya melihat satu sisi. Jika dilihat di sisi lain, statistik itu tidak memberi kesan positif kepada kewangan awam kerana pendapat bulanan isi rumah naik 11.7 peratus tetapi hutang mencecah sekitar 87.6 peratus tahun ama.

“Ini ditambah dengan kenaikan harga barangan, tekanan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kemerosotan nilai ringgit,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pendedahan Jabatan Perangkaan yang mengariskan pendapatan isi rumah bulanan penengah Malaysia pada 2014 meningkat kepada RM4,585 (11.7 peratus) berbanding RM3,626 pada 2012.

EKONOMILaporan itu turut menyatakan Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan isi rumah bulanan purata tertinggi RM10,629, diikuti Putrajaya (RM10,401), Selangor (RM8,252), Labuan (RM7,591) dan Johor (RM6,207).

Abdullah berkata, laporan awal Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) hutang isi rumah Malaysia 2014 mencecah sekitar 87.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 81 peratus pada 2012.

“Angka terkini nisbah hutang isi rumah keluarga Malaysia kepada pendapatan lebihan (disposable income) adalah 140 peratus iaitu yang tertinggi di Asia mengatasi Jepun dan Korea.

“Harga rumah kediaman meningkat saban tahun (8 – 10 peratus setahun) dan seakan tidak terkawal. Ini menyumbang kepada peningkatan hutang isi rumah negara kita,” katanya.

-NFN-