Categories
SELANGOR SENI

Kreatif hasil karya, elak ciplak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 MAC: Golongan muda yang berhasrat untuk berkecimpung dalam bidang seni lukis grafik disaran supaya mengekspresikan kreativiti sendiri tanpa perlu meniru karya asal orang lain bagi menjaga integriti pemilik.

Penolong Kurator, Ibrahim Bujal berkata, aktiviti menciplak karya seni daripada pengkarya asal bukanlah perkara baru dan mereka yang sewenang-wenangnya berbuat demikian harus dikenakan tindakan lebih tegas.

“Ia bagi menangani epidemik intelektual supaya isu terbabit tidak terus menular, di samping menghormati hak pencipta yang berhempas pulas menghasilkan karya terbaik.

“Namun, sejak akhir-akhir ini ramai pereka grafik mengambil peluang mencuri hasil kerja orang lain tanpa memberi pengiktirafan sewajarnya,” katanya ketika ditemui SelangorKini selepas Majlis Perasmian Pameran Seiring Reka Bentuk Kulit Album 12×12, di Galeri Shah Alam, di sini, semalam.

Pada masa sama, Ibrahim memberi saranan kepada penuntut jurusan seni lukis dan seni reka grafik serta graduan dalam bidang itu mendalami ilmu dipelajari sepanjang pengajian dengan sebaiknya supaya dapat mencerna idea dan perspektif baru dalam setiap karya.

“Saya memang lihat bakat seni itu ada pada pelajar dan boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi tetapi lebih baik jika karya itu dihasilkan sendiri, sebaliknya bukan pandangan diciplak daripada penerbitan luar.

“Kalau sudah terbiasa dengan aktiviti plagiat, ia akan melahirkan pereka seni dan pengkarya yang kurang kompeten dan tidak berdaya saing,” katanya.