Categories
AGENDA NASIONAL

Taska percuma untuk anak petugas hadapan mulai 25 Januari

SHAH ALAM, 20 JAN: Kerajaan Negeri melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan untuk meringankan beban petugas yang berusaha menangani penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu melibatkan pembukaan dan pengoperasian taska serta pusat jagaan sementara di hospital awam juga premis sementara.

Beliau menjelaskan usaha yang menelan belanja RM1 juta akan memanfaatkan hampir 400 keluarga petugas hadapan di seluruh negeri.

“Ibu bapa yang bekerja sebagai kakitangan hospital atau pejabat kesihatan di Selangor, anggota polis dan tentera yang terlibat dengan usaha menangani Covid-19 boleh menghantar anak-anak di taska ini.

“Inisiatif ini diberikan secara percuma untuk tempoh dua bulan bermula 25 Januari,” katanya dalam pengumuman khas Pakej Kita Selangor hari ini.

Pakej dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pelan itu antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.