Categories
SELANGOR

RSU Air Selangor tuntas tangani pencemaran sungai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN: Inisiatif mencegah pencemaran sungai di negeri ini dilaksanakan menerusi penubuhan Unit Pengawasan Sungai (RSU) Air Selangor.

Pengurus Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, penubuhan unit itu bagi melakukan kerja-kerja pemantauan terhadap kelestarian sumber air mentah negeri.

“RSU mengenalpasti potensi dan risiko pencemaran terhadap sungai serta anak-anak sungai yang berada di hulu muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) di dalam lembangan sungai tertentu.

“Penubuhannya juga akan menilai air mentah dan sungai berdasarkan Indeks Kualiti Air (WQI) serta mengenalpasti risiko atau sumber pencemaran dalam lembangan sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Jawatakuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor (JPK-SAS), di Bangunan Annexe, pagi ini.

Berdasarkan maklumat logistik, penubuhan RSU melibatkan 28 kakitangan dengan kemudahan 10 kenderaan bagi menjalankan kerja-kerja pemantauan di lapangan.

Jabatan itu turut menerima peralatan ujian kualiti air melibatkan enam set dengan lain-lain kemudahan seperti GPS, binokular, Go Pro dan Oil Absorbents.

Categories
SELANGOR

84 hotspot kerja gantian paip bocor dikenalpasti

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN : Sebanyak 84 hotspot melibatkan paip sepanjang 425.7 kilometer (km) dikenal pasti untuk tujuan penggantian paip seluruh negeri bagi tempoh 2016 hingga 2019.

Pengurus Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, tiga fasa gantian paip melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan RM248.7 juta.

“Daripada jumlah itu, 27 hotspot baru melibatkan Pakej 11B-14 dengan kos projek sebanyak RM97 juta menerusi sumber dana sebanyak RM93 juta menerusi pinjaman Kerajaan Negeri pada 2018 dan 2019 ini.

“Penganugerahan tender dibuat pada suku tahun kedua 2018 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang Disember 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Jawatakuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor (JPK-SAS), di Bangunan Annexe pagi ini.

Untuk rekod katanya, 23 hotspot melibatkan fasa pertama yang dilaksanakan sejak 2016 lalu dijangka siap Januari ini.

Katanya, ia melibatkan projek pembinaan sebanyak RM125.6 juta dengan sumber adalah RM50 juta diperoleh daripada SYABAS dan RM75.6 juta daripada Geran Kerajaan Negeri Selangor.

“Semua projek telah dianugerahkan kepada kontraktor berjaya dan projek sedang dalam peringkat pembinaan,” katanya.

Sementara itu, bagi fasa kedua, semua projek pembaikan 34 hotspot telah dianugerahkan kepada kontraktor dengan jumlah keseluruhan projek sebanyak RM155 juta.

“Sumber dana 2017 melibatkan jumlah peruntukan RM55 juta dan RM100 juta untuk 2018 yang mana kedua-dua dana diterima daripada suntikan pinjaman Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Aduan masalah air negeri turun 20 peratus

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN: Aduan masalah gangguan air melibatkan komuniti setempat di Selangor berkurangan sebanyak 20 peratus bagi tempoh 2017 lalu.

Pengurus Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah menyifatkan kejayaan itu sebagai perkembangan positif hasil pelaksanaan penstrukturan air negeri.

“Kebanyakkan aduan yang kami terima sebelum ini adalah daripada rungutan pengguna yang membuat aduan terhadap masalah gangguan air setempat.

“Namun, aduan ini berjaya dikurangkan sebanyak 20 peratus hasil daripada gerak kerja dan komitmen pengurusan air Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Jawatakuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor (JPK-SAS), di Bangunan Annexe, pagi ini.

Terdahulu, CRIS atau ‘Customer Information Systems’ diperkenalkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam memastikan perkhidmatan pengurusan air yang lebih efektif dan efisyen.

Inisiatif reformasi baru Pengurusan Air Selangor itu bertujuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, pengguna dan pembayar bil.

Sistem baru terbabit menggantikan sistem penggebilan lama yang berkemampuan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.