Categories
AGENSI SELANGOR

2,000 ibu tunggal mohon bantuan nafkah Selangor – Jakess

SHAH ALAM, 23 APRIL: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menerima 2,000 permohonan Dana Bantuan Nafkah Sokongan Keluarga Selangor daripada ibu tunggal yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Unit komunikasi korporat agensi itu memaklumkan, jumlah permohonan itu diterima selepas tarikh permohonan ditutup pada 15 April lalu.

“Setakat ini kami masih memproses kesemua permohonan dan Jakess masih belum memutuskan tarikh tetap untuk menyalurkan bantuan berkenaan.

“Diharapkan pemohon bersabar dan kita akan membuat pengumuman tidak lama lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 9 April lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan nafkah khas akan diberi kepada golongan ibu tunggal yang terkesan berikutan PKP.

Untuk itu, Jakess menguruskan bantuan nafkah khas sebanyak RM100,000 melalui peruntukan Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor.

Bantuan berkenaan diberi kepada golongan berkaitan bagi meringankan beban kewangan mereka yang memfailkan kes tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah sebelum PKP.

Categories
AGENSI SELANGOR

500 ibu tunggal mohon bantuan nafkah khas Selangor -Jakess

SHAH ALAM, 11 APRIL: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menerima 500 permohonan bantuan nafkah khas kepada golongan ibu tunggal yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut unit komunikasi korporat agensi itu, pihaknya akan menguruskan bantuan nafkah itu sebanyak RM100,000 di bawah peruntukan Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor.

“Bantuan ini bertujuan meringankan beban kewangan kepada mereka yang telah memfailkan kes tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah sebelum PKP dikuatkuasakan.

“Kes mereka yang tidak dapat diselesaikan oleh Mahkamah Syariah menyebabkan usaha golongan ini mendapatkan hak di mahkamah tergendala sehingga terpaksa menanggung beban kewangan menyara anak di bawah jagaan mereka,” katanya.

Pada 9 April lalu Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan nafkah khas kepada golongan ibu tunggal yang terjejas susulan PKP.

EXCO Kebajikan Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook berkata bantuan kendalian Jabatan Kehakiman Syariah Selangor boleh dimohon mengikut syarat berikut:

1. Ibu tunggal warganegara Malaysia beragama Islam
2. Pendapatan kurang RM2,500 atau tidak tetap dan terjejas akibat PKP
3. Tinggal di Selangor tidak kurang tiga tahun
4. Bercerai dan memiliki sijil cerai
5. Mempunyai anak berusia 18 tahun ke bawah atau tidak lebih 21 tahun
6. Sudah memfailkan tuntutan nafkah
7. Bukan penerima pendahuluan nafkah Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah negeri

Permohonan secara dalam talian boleh dibuat melalui https://bit.ly/34tA2f9 sehingga 15 April ini.

Categories
AGAMA AGENSI SELANGOR

JAKESS anjur Seminar Perdana Kesedaran Undang-Undang Syariah

SHAH ALAM, 12 SEPT: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) akan menganjurkan Seminar Perdana Kesedaran Undang-Undang Syariah, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga dan Sistem E-Locator, 17 September depan.

Bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC MALL), program berkenaan akan dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Antara forum yang akan diadakan adalah ‘Anakmu Anakku Jua’, ceramah bertajuk ‘Bila Panas Tak Sampai ke Petang’, pameran jabatan dan agensi serta kaunter rundingcara.

Penyertaan adalah percuma dan terhad. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran boleh menghubungi 016-6631443.

Categories
SELANGOR

Pemaju projek JAKESS bermasalah dikenakan tindakan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 JUN: Syarikat pemaju yang diberikan tender melaksanakan projek membina bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) bakal dikenakan tindakan ekoran berlaku pelbagai kerosakan pada bangunan itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain bangunan JAKESS yang mengalami kerosakan bumbung runtuh dan cermin pecah, bangunan pejabat agama di daerah turut mengalami kelewatan untuk disiapkan.

“Dari tahun ke tahun sejak 2008 kita telah cuba selesaikan dengan pemaju terbabit yang diberikan tender sebelum 2008, bukan satu tempat tetapi banyak tempat membabitkan semua pejabat agama di daerah-daerah juga berlaku kelewatan.

“Kerajaan Negeri sedia maklum dan kita dah arahkan untuk ambil tindakan segera seperti mendapatkan pampasan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir pada program Mantai Perdana Shah Alam Aidilfitri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, hari ini.

Amirudin berkata, syarikat pemaju itu diberikan tender sebelum 2008 lagi.

Katanya, proses baik pulih sedang dijalankan dan ditanggung Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, beberapa struktur bangunan JAKESS dilihat mengalami beberapa kerosakan seperti bumbung runtuh dan beberapa kerosakan lain.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)