Categories
AGENDA NASIONAL

Dua maut kejadian tanah runtuh Simpang Pulai-Cameron Highlands

IPOH, 2 DIS: Dua lelaki disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di laluan FT 185, Km 27.10 Jalan Simpang Pulau-Blue Valley di sini hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata mangsa yang terkorban ialah pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, manakala seorang lagi adalah pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang belum dikenal pasti identitinya.

Beliau berkata pada masa ini, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedang giat membawa keluar mangsa daripada kenderaan masing-masing dalam runtuhan itu dan akan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Mior Faridalathrash berkata pemandu lori sayur itu sedang dalam perjalanan ke Simpang Pulai dari Cameron Highlands manakala pemandu MPV terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Pulau Pinang.

“Tiada penumpang lain di dalam lori dan MPV yang terperangkap dalam runtuhan itu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Terdahulu, pasukan penyelamat berjaya mengesan kepala lori dan berusaha menarik pintu lori itu serta melakukan kerja mengangkat timbunan tanah menggunakan jengkaut selain menggunakan dron bagi melihat pergerakan tanah dari pandangan atas.

JBPM Perak menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.44 tengah hari dan tiga kenderaan didapati tertimbus dalam runtuhan tanah berkenaan termasuk sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti jenisnya.

Mior Faridalathrash berkata orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif di Jalan Persekutuan FT059 Tapah-Ringlet yang dibuka sepenuhnya untuk semua kenderaan bermula pukul 5 petang tadi untuk melakukan perjalanan ke Cameron Highlands.

Tinjauan Bernama mendapati ahli keluarga mangsa terlibat turut tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 7.30 malam walaupun dalam keadaan hujan renyai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata hujan yang berterusan dipercayai menyebabkan berlaku hakisan tanah di kawasan cerun potong di laluan berkenaan.

“Runtuhan tanah berlaku sepanjang 100 meter dan laluan utama ke Cameron Highlands itu tidak selamat untuk semua jenis kenderaan dan masih dikawal ketat oleh pihak konsesi.

“Bagaimanapun, punca tanah runtuh masih dalam siasatan dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dan pihak konsesi jalan persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Pawong Ismail Baloh, 51, berkata kejadian tanah runtuh itu disedari pada kira-kira pukul 2 petang semasa dia dalam perjalanan untuk ke Simpang Pulai.

“Saya nampak ada dua kenderaan bomba naik sebelum orang kampung cemas memberitahu tentang kejadian tanah runtuh ini,” kata Ismail.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditutup akibat tanah runtuh

IPOH, 19 SEPT: Laluan Persekutuan FT 185 Seksyen 43.9 di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menghala ke Cameron Highlands ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan atas faktor keselamatan, akibat hujan lebat yang berterusan semalam.

Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta dalam satu kenyataan malam tadi menyatakan notis penutupan itu berkuat kuasa pukul 9.00 malam sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT 059 Jalan Tapah-Cameron Highlands untuk jalan perhubungan sementara. Kesulitan amatlah dikesali,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut kejadian membabitkan laluan sepanjang 30 meter dengan kedalaman 4.57 meter, dikesan berlaku kira-kira pukul 5.45 petang dan berkemungkinan berlaku disebabkan faktor hujan yang berterusan dan menyebabkan struktur tanah lemah dan tidak kukuh.

“Pemantauan Jabatan Kerja Raya Daerah dan pihak konsesi Jalan Persekutuan akan dilakukan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu lagi.

– BERNAMA