Categories
SELANGOR

Konvensyen Belia Bermanfaat, Anak Muda Gesa Jadikan Acara Tahunan

SHAH ALAM, 27 MEI: Peserta Himpunan dan Konvensyen Belia Negeri Selangor 2012 menyarankan agar Kerajaan Selangor menjadikan program tersebut acara tahunan disamping mempromosikannya dengan lebih meluas.

Menurut Ashie Ridzuan, 23, program yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, mempunyai tarikan tersendiri terhadap golongan belia di Selangor.

“Bagusnya program seperti ini, walaupun kuasa politik memang banyak memainkan peranan dalam mencorak kehidupan masyarakat, tetapi untuk menarik minat anak muda tak perlu tekankan soal poltik, politik dan politik.

“Saya lihat program ini ada acara ‘Rock The Youth’ menyediakan platform kepada anak muda bukan sahaja untuk berhibur, tetapi juga menjadi paltform anak muda mengembangkan bakat masing-masing,” ujar beliau bila ditemui di tapak konvensyen di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Seksyen 7 di sini semalam.

Ashie turut berpendapat program yang dijalankan oleh Kerajaan Selangor amat berbeza dengan program yang dijalankan oleh Pemuda Umno tak berapa lama dahulu.

“Program ini memang lain dari anjuran sebuah program anak muda yang dianjurkan oleh gerakan pemuda sebuah parti politik yang saya pernah lihat tak berapa lama dahulu.

“Mula-mula ada juga beberapa kawan saya yang tertarik nak pergi ke program itu, tetapi bila sebut sahaja anjuran Pemuda Umno, terus ‘potong’, tak jadi nak pergi.

“Mereka tak mahu pergi bukanlah sebab mereka menyokong parti lawannya, tetapi hilang minat bila ada melibatkan ‘Mat Poyo’, ‘Mat Skema’ atau ‘geng batik.

?Tambah pula melibatkan parti politik. Ini adalah realitinya, bila anak muda tengok program yang ada kaitan dengan parti politik akan terus menolak,” ujarnya lagi.

Ain Qaseh, 25, pula memberitahu TVS disamping hiburan, acara yang banyak memberi informasi dan kesedaran hala tuju anak muda juga diterapkan dalam konvesyen tersebut.

“Program ini saya lihat lebih mesra anak muda sebab ada tarikan kepada anak-anak muda, sebab hiburan memang dekat dengan anak muda.

 “Selain itu tokoh terkenal yang dijemput juga menjadi daya penarik kepada anak-anak muda, contohnya semalam Pak Samad (Datuk A Samad Said) juga ada dijemput.

“Kerana pada masa ini, walaupun umur Pak Samad menjangkau lebih 70 tahun, Pak Samad adalah idola kepada ramai golongan nak muda.

“Walaupun ramai juga yang datang sini untuk berhibur. Tetapi bila dah sampai sini mereka dapati ada diselitkan program-program lain yang boleh memberi kesedaran tentang kepentingan peranan anak muda dalam isu-isu penting negara termasuk isu yang meyentuh anak-anak muda dan masyarakat umum negara ini.

“Contohnya program bual bicara, anak-anak muda berdiskusi, bertukar fikiran dan selain itu seperti dalam program Pekan Frinjan, ada juga disediakan kaunter untuk mendaftar sebagai pemilih dalam pilihan raya,” ujar Ain.

Ain juga melihat kerajaan negeri yang ada sekarang mempunyai dasar yang lebih terbuka berbanding kerajaan negeri sebelumnya.

“Kerajaan negeri sekarang juga nampaknya lebih bersikap terbuka berbanding kerajaan dahulu. Lebih pro aktif dan berusaha mendekati anak-anak muda contohnya program merakyatkan seni yang diadakan,” kata beliau lagi.

Menurut Dir Kheizmein, 27, program seperti ini turut menyediakan bahan-bahan bacaan yang memupuk kesedaran anak muda agar lebih peka dengan isu penting yang berlaku di sekeliling mereka dan menanamkan sikap gemar membaca di kalangan masyarakat negara  ini.

“Tetapi di sini bukan sahaja hiburan, buku-buku yang harganya jauh lebih murah dari tempat-tempat lain juga ada dijual.

“Selain itu buku-buku yang sukar dijumpai dikedai buku biasa juga ada di sini yang boleh membuka minda anak-anak muda.

“Lebih menarik lagi, ada juga buku jalanan, pengunjung dibenarkan meminjam buku-buku yang susah nak dapat di tempat lain, konsepnya seperti perpustakaan bergerak.

“Cadangan saya supaya acara ini dibuat lebih kerap lagi dengan promosi yang lebih meluas,” kata Dir.