Categories
AGENDA SUKANKINI

Cabaran Malaysia ke final jelajah dunia BWF berakhir

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Cabaran Malaysia di Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2020 menemui noktah selepas dua beregu yang tinggal beraksi — Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai tewas di dalam perlawanan separuh akhir di Bangkok, Thailand semalam.

Mei Kuan-Meng Yean yang melakukan kejutan selepas menumpaskan gandingan nombor lapan dunia, Greysia Polli- Apriyani Rahayu dari Indonesia dalam aksi final Kumpulan A kelmarin, gagal meneruskan momentum kemenangan mereka apabila kecundang kepada beregu nombor empat dunia Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan 14-21 and 15-21 dalam perlawanan selama 49 minit di Impact Arena.

“Kami tidak bermain dengan bagus, kami melakukan terlalu banyak kesilapan. Mereka lebih hebat dan sentiasa memberikan tekanan kepada kami. Kami tidak bertahan dengan baik,” kata Mei Kuan dalam laman sesawang BWF, www.bwfbadminton.com.

Apabila kami menyerang, mereka menyerang balas dengan pantas, jadi amat sukar untuk terus memberikan tekanan kepada mereka,” katanya.

Beregu Korea Selatan itu yang menjuarai Terbuka Toyota Thailand baru-baru ini akan bertemu beregu senegara Kim So Yeong-Kong Hee Yong dalam final hari ini.

Beregu keenam dunia itu mara ke final selepas menghadapi tentangan sengit daripada Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand 21-11, 12-21 dan 21-16 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon tersingkir daripada kejohanan yang menawarkan hadiah US$1.5 million (RM6.062 juta) selepas kalah kepada pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung.

Keputusan separuh akhir:

 

Perseorangan Lelaki:

Anders Antonsen (DEN) mn Wang Tzu Wei (TPE) 21-18, 14-21, 21-16
Viktor Axelsen (DEN) mn Chou Tien Chen (TPE) 21-16, 21-9

 

Beregu Lelaki:

Lee Yang-Wang Chi-Lin (TPE) mn Ben Lane-Sean Vendy (ENG) 22-20, 21-17
Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (INA) mn Choi Solgyu-Seo Seung Jae (KOR) 23-21, 21-13

 

Perseorangan Wanita:

Tai Tzu Ying (TPE) mn An Se Young (KOR) 21-18, 21-12
Carolina Marin (ESP) mn Pornpawee Chochuwong (THA) 21-13, 21-13

Beregu Wanita:

Lee So Hee-Shin Seung Chan (KOR) mn Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (MAS) 21-14, 21-15
Kim So Yeong-Kong Hee Yong (KOR) mn Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai (THA) 21-11, 12-21, 21-16

 

Beregu Campuran:

Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (THA) mn Thom Gicquel-Delphine Delrue (FRA) 21-15, 21-17
Seo Seung Jae-Chae Yujung (KOR) mn Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai (MAS) 21-19, 21-8

 

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jelajah Dunia Akhir: Nasib berbeza buat pemain negara

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia sekali lagi tewas kepada Chou Tien Chen dari Taiwan pada perlawanan Kumpulan A, Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF), malam tadi.

Zii Jia yang menduduki ranking ke-10 dunia, bangkit dari kekalahan 16-21 pada set pertama untuk mengikat kedudukan dengan kemenangan 21-12 pada perlawanan yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok.

Bagaimanapun, pemain nombor dua dunia itu membuktikan kehebatannya sekali lagi untuk memenangi set penentuan 21-11 untuk mendapatkan mata dalam perlawanan yang berlangsung hampir satu jam, menurut laman web BWF https://bwfbadminton.com.

Ini adalah kekalahan kelima Zii Jia kepada Tien Chen, selepas mencatatkan 17-21, 15-21 dalam aksi suku akhir Terbuka Thailand Yonex dua minggu lalu.

Hari ini, Zii Jia akan berdepan pilihan pertama Viktor Axelsen dari Denmark, yang berada dalam keadaan baik selepas memenangi Terbuka Thailand Yonex dan Terbuka Thailand Toyota, sebelum mengakhiri perlawanan kumpulan menentang pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting pada Jumaat.

Hanya dua pemain utama dari setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Sementara itu, pasangan lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengekalkan momentum yang baik dengan menundukkan beregu kelapan dunia, Choi Solygu-Seo Seung Jae 21-14, 21-19 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B.

“Kami gembira dengan persembahan kami hari ini (semalam) dan kami berjaya meraih kemenangan pertama kumpulan, jadi ini dapat membina keyakinan kami untuk dua perlawanan berikutnya. Melihat kepada percaturan ini, mungkin lebih sukar daripada Kumpulan A, tetapi semua lapan beregu ini mempunyai kekuatan yang sama,” kata Aaron.

Namun, nasib tidak memihak gandingan profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang tewas 18-21, 22-24 kepada pilihan utama kejohanan Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan dalam Kumpulan A.

Bagaimanapun, kedua-dua beregu itu tidak sukar untuk mendapatkan mata hari ini, kerana Aaron-Soh dijadual menentang beregu Rusia Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov, sementara Ong-Teo akan menentang Marcus Ellis-Chris Langridge dari England.

Dalam perlawanan beregu wanita Kumpulan A, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean memperoleh mata pertama mereka dengan mengatasi rakan senegara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen 21-16, 10-21, 21-15.

Tugas getir menanti kedua-dua beregu itu hari ini, Vivian-Yap yang merupakan pilihan utama berdepan beregu nombor lapan dunia Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia, sementara Chow-Lee menentang pilihan ketiga Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan.

Dalam acara beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie bangkit dalam set penentuan untuk mengatasi Mark Lamfuss-Isabel Herttrich dari Jerman 14-21, 21-18, 21-18.

– BERNAMA