Categories
NASIONAL

Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri naik taraf dua jeti Port Dickson

PORT DICKSON, 23 Mei: Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan, bagi menaik taraf dua jeti di Port Dickson dalam usaha meningkatkan kapasiti dan menjadikan ia sebagai produk pelancongan.

Dua jeti tersebut ialah Jeti Penumpang Port Dickson Jabatan Laut Malaysia dan Jeti Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, justeru pihaknya menyarankan agar kerajaan negeri mengemukakan satu kertas cadangan yang lebih komprehensif berhubung perkara itu.

“Ada cadangan daripada kerajaan negeri untuk melihat bagaimana kita dapat bangunkan jeti ini (Jeti Penumpang) atau menaik taraf supaya ia dapat menampung penumpang lebih ramai.

“Saya juga melihat memang ia boleh dioptimumkan, buat masa ini ia digunakan untuk feri ke Dumai, Indonesia dan adakalanya Genting Dream Cruise berlabuh, kalau kita punyai satu kemudahan dengan kapasiti yang lebih besar, diuruskan dengan lebih komprehensif dan teratur, saya melihat jeti ini bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi khususnya sektor pelancongan di Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerjanya ke jeti di Port Dickson di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata Jeti Penumpang Port Dickson itu baru-baru ini telah mencuri tumpuan apabila sebuah kapal Genting Dream Cruise yang membawa ribuan penumpang telah berlabuh di jeti berkenaan.

“Setakat ini sudah lebih tiga kali cruise (kapal persiaran) ini berlabuh di sini dan setiap kali berlabuh mereka bawa ribuan penumpang, kalau dapat tarik penumpang turun untuk jalan dan berbelanja, ini akan bantu sektor ekonomi tempatan khususnya di Port Dickson,” katanya.

Mengenai jeti RAC pula, Loke berkata kawasan itu merupakan tanah milik RAC dan perbincangan akan dibuat bersama kerajaan negeri bagi melihat bagaimana usahasama dapat dijalankan untuk membangunkan kawasan itu sebagai satu produk pelancongan.

“Port Dickson berada di tepi Selat Melaka dan punyai potensi besar bahkan selama ini Port Dickson memang dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan dan kedudukannya yang berhampiran Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga jadi satu kelebihan buat Port Dickson.

“Memang kita harap untuk bangunkan Port Dickson bersama kerajaan negeri dan Anggota Parlimennya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mampu menarik lebih ramai pelabur masuk ke sini, kita harap dengan pelbagai faktor ini dapat membantu pembangunan ekonomi Port Dickson,” katanya.

Mengenai tindakan Gabungan Teksi Malaysia yang mendakwa Loke menggunakan jawatannya bagi membuat banyak pindaan kepada peraturan-peraturan sedia ada dan membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Loke berkata terpulang kepada mereka apa yang hendak dilakukan.

“Dia nak buat apa-apa suka hati dan itu hak masing-masing, saya buat kerja saya, saya tiada apa untuk jelaskan tetapi kita buat sesuatu untuk kepentingan semua, dia nak lapor itu hak dia,” katanya. -BERNAMA

Categories
PBT PELANCONGAN SELANGOR

Guna jeti sah, elak perkara tidak diingini

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 24 OGOS: Pelancong yang berhasrat menyaksikan fenomena ‘Salar De Uyuni’ (pantulan imej seakan cermin) di Permatang Angsa dinasihat menggunakan akses jeti sah dan berlesen.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDSK), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, jeti berdaftar yang disediakan pihaknya dengan kerjasama swasta dijamin mematuhi kaedah Prosedur Operasi Standar (SOP) ditetapkan pihak berkuasa selain dijamin lebih selamat berbanding jeti tidak berdaftar.

“Sebelum ini, tiada jeti sah disediakan, maka MDKS berasa bertanggungjawab untuk menyediakannya untuk kepentingan serta keselamatan pelancong sama ada tempatan atau luar negara.

“Kita tidak mahu kejadian seperti berlaku di Sabah membabitkan operasi dilakukan di jeti tidak berdaftar berlaku di sini yang akhirnya hanya membawa kesulitan kepada pelancong,” katanya kepada Selangor Kini selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jeti Pekan Lama Kuala Selangor, di sini, hari ini.

JETI LAMA (1)Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din dan Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Pada 2012, MDKS menyatakan hasrat untuk membaik pulih dan memajukan semula jeti berkenaan dengan mengambil kira cadangan beberapa syarikat, namun tiada sebarang keputusan diperoleh.

Pada 16 Ogos lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam bersetuju mengkaji cadangan bagi membaik pulih serta memajukan semula jeti berkenaan menerusi kaedah BOT.

Pihak Berkuasa Negeri menerusi Dato’ Menteri Besar kemudiannya meluluskan permohonan perizaban jeti berkenaan sebagai jeti pelancongan.

Setiausaha Kerajaan Negeri dilantik sebagai pegawai pengawal sementara MDKS bertindak sebagai pegawai penyelenggara.

Untuk permulaan, Jeti Pekan Lama Kuala Selangor beroperasi dengan menggunakan enam bot bagi membawa penumpang ke Permatang Angsa.