Categories
ADN SELANGOR

265 penduduk DUN Permatang terima baucar Jom Shopping Aidilfitri

SHAH ALAM, 9 MEI: Seramai 265 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menerima baucar Jom Shopping Aidilfitri bagi membeli barang keperluan sempena perayaan yang bakal kunjung tiba.

Ahli Dewan Negerinya Rozana Zainal Abidin berkata serahan baucar RM100 dibuat secara berperingkat mengikut kampung seiring arahan Kerajaan Negeri bagi mencegah penularan Covid-19.

“Adalah menjadi harapan saya agar semua peserta dapat mengamalkan jarak sosial, memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sewaktu urusan membeli belah,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Penerima terlibat adalah dari Kampung Seri Tiram Jaya, Kampung Sungai Gulang-Gulang, Kampung Blok EQSW, Kampung Parit Serong, Kampung Permatang dan Kampung Ujong Permatang.

Program di DUN tersebut berakhir hari ini.

Categories
SELANGOR

RM60,000 peruntukan Jom Shopping Aidilfitri DUN Pelabuhan Klang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PELABUHAN KLANG, 22 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM60,000 untuk penerima yang layak bagi Program Jom Shopping Aidilfitri dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, pada tahun ini.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata, seramai 600 penerima terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan fakir miskin meliputi tiga zon kawasan ahli majlis termasuk tujuh kampung layak menerima bantuan berkenaan.

Katanya, inisiatif itu adalah antara usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyambut perayaan.

“Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga menawarkan pemberian baucar Jom Shopping untuk sambutan Tahun Baharu Cina meringankan beban penerimanya.

“Semuanya menerima RM100 seorang dan kita berharap mereka gembira dengan pemberian ini yang sedikit sebanyak dapat membantu dalam menyediakan barangan keperluan bagi meraikan lebaran yang bakal kunjung tiba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program berkenaan yang turut disertai Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, di Pasaraya Giant Bukit Tinggi, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Azmizam berkata, inisiatif mengekalkan pemberian Jom Shopping setiap perayaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan terbabit.

“Ia juga harus dipuji kerana menunjukkan betapa prihatinnya Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Saya berharap penerima gembira dengan inisiatif diterima dan sedikit sebanyak dapat membantu membeli barangan keperluan untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.