Categories
SELANGOR

Program Jom Shoping Diperkemas Bolehkan Ramai Terima Manfaat

Jom-Shopping-Raya

Jom-Shopping-Raya2PELABUHAN KLANG, 4 OGOS: Program pemberian kupon membeli belah bernilai RM100 bagi Program Jom Shopping sempena perayaan akan diperkemaskan lagi bagi membolehkan lebih ramai golongan kurang berkemampuan mendapat manfaat dari program ini.

Tindakan tersebut diambil selepas Kerajaan Negeri mengambil kira maklum balas yang diterima berhubung komposisi sesuatu kaum yang berbeza di setiap kawasan DUN di Selangor.

Selain itu, Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, program yang diperluaskan bagi perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali ini juga akan dijadikan program tahunan dan peruntukkannya akan dimasukkan di dalam belanjawan tahunan Kerajaan Negeri.

“Ada sesetengah DUN, peratus komposisi masyarakat Islam sangat berlebih dan ada sesetengah DUN, peratus komposisi masyarakat Islamnya kecil, jadi program ini akan diperkemaskan lagi boleh diagihkan dengan lebih baik dengan kadar yang lebih teratur.

Jom-Shopping-Raya3“Pada tahun hadapan mungkin kita akan membuat beberapa perubahan atau penyesuaian terutama selepas ini kita akan menyambut Tahun Baru Cina dan Deepavali dan ini akan menyebabkan lebih ramai mempunyai peluang untuk masuk jadi perserta,” ujar Abdul Khalid kepada TV Selangor di sini.

Pada masa ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan seramai 500 penerima bagi setiap 56 DUN di Selangor.

Terdahulu di Pasaraya Besar Econsave Pandamaran, Pelabuhan Klang hari ini, seramai 200 peserta dari golongan kurang berkemampuan menyertai program Jom Shopping sempena Hari Raya Aidilfitri fasa ke dua peringkat DUN Pelabuhan Klang.

Pada 27 Julai lalu, seramai 300 peserta turut mengambil bahagian dalam fasa pertama program sama.

Beberapa perserta program itu ketika ditemui TV Selangor memberitahu program tersebut banyak membantu golongan kurang berkemampuan untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Bantuan ini memang membantu kami untuk meringankan beban perbelanjaan kami,” kata Norlela Omar, 37 tahun dari Pulau Indah.

Sementara itu, Yassin Shamsuddin, 69 tahun dari Kampung Telok Gong, menyifatkan bantuan dari program Jom Shopping Bantuan Raya yang diterimanya itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) merealisasikan slogan Merakyatkan Ekonomi Selangor, walaupun hanya baru lima tahun mentadbir Selangor.

Shamsuddin juga memberitahu sebelum ini beliau juga merupakan penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) hanya selepas 54 tahun Umno-BN mentadbir negara.

Beliau turut menganggap perkembangan tersebut merupakan satu persaingan sihat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memberi pelbagai bantuan kepada rakyat Selangor.