Categories
AGENSI SELANGOR

RM16.3 juta laksana projek kawal hakisan pantai di Selangor

SHAH ALAM, 10 MAC: Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor melaksanakan beberapa projek kawalan hakisan pantai dengan kos RM16.3 juta, kata pengarahnya.

Datuk Ir Gapar Asan berkata projek tersebut meliputi pantai di Batu Laut, Kuala Langat; Sungai Lang, Sabak Bernam dan Pantai Remis, Kuala Selangor manakala bakinya akan dimohon dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Selangor mempunyai pantai sepanjang 492.1km berdasarkan kajian ‘National Coastal Erosion Study Malaysia’ (NCES) pada 2015.

“Daripada keseluruhan panjang pantai, sepanjang 4.8km bagi kategori 1 (kritikal), 18.6km kategori 2 (ketara) dan 51.2 km kategori 3 (belum serius),” katanya pada Perhimpunan Penjawat Awam Selangor di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Kajian Hakisan Pantai Kebangsaaan 1986, garis pantai Malaysia dikelaskan kepada tiga kategori berdasarkan ancaman terhadap kemudahan di pesisir sedia ada dengan takrifan nilai ekonomi besar iaitu kritikal, ketara dan belum serius.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Caruman parit bantu tingkat hasil negeri, atasi banjir kilat

SHAH ALAM, 10 MAC: Sejumlah RM124.2 juta caruman parit berjaya dikutip Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi tempoh lima tahun bermula 2015, kata pengarahnya.

Datuk Ir Gapar Asan berkata caruman RM10,000 seekar merupakan usaha agensi tersebut membantu meningkatkan hasil Kerajaan Negeri.

“Peruntukan ini juga digunakan untuk menampung pelaksanaan projek saliran bagi mengurangkan masalah banjir kilat,” katanya pada Perhimpunan Penjawat Awam Selangor di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Di samping pelaksanaan projek fizikal, katanya, JPS turut aktif dalam program cetusan idea dan inovasi apabila memenangi Anugerah Khas Inovatif dan Kreatif (KIK) serta Anugerah Peneraju Pembudayaan Inovasi pada Hari Inovasi JPS Malaysia 2019.

Categories
AGENSI SELANGOR

JPS Selangor: 101 projek siap tahun ini

SHAH ALAM, 9 MAC: Sebanyak 39 daripada 70 projek fizikal menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) telah dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sehingga Februari 2020 dan bakinya dijangka disiapkan tahun ini, kata pengarahnya.

Datuk Gapar Asan berkata secara keseluruhan sebanyak 101 projek diluluskan bagi tempoh 2016 hingga 2020 dengan 31 projek adalah bukan fizikal.

“Projek-projek yang telah disiapkan adalah 15 di Klang, Petaling (lima), Sepang (lima), Hulu Langat (empat), Gombak (tiga), dua di Kuala Langat, Sabak Bernam dan Hulu Selangor serta satu di Kuala Selangor,” katanya pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak hari ini.

Beliau berkata, JPS negeri menerima peruntukkan sebanyak RM527 juta bagi pelaksanaan projek tebatan banjir (RM272.2 juta), menaik taraf saliran (RM95.3 juta), pembangunan lembangan sungai (RM45 juta) dan lain-lain program (RM100 juta).

Bagi RMK-12 Gapar berkata pihaknya mencadangkan permohonan projek dengan anggaran kos RM1.7 bilion merangkumi hampir enam projek utama di seluruh negeri terutama projek tebatan banjir dan menaik taraf saliran.