Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Isu hak milik tanah penduduk Kampung Indian Settlement selesai

SELAYANG, 12 APRIL: Isu milikan tanah melibatkan 77 penduduk Kampung Indian Settlement, Batu Caves yang berlarutan sejak 1960-an selesai selepas semua menerima lot masing-masing.

Dato’ Menteri Besar berkata kumpulan pertama iaitu 25 penduduk mendapat tanah tahun lalu di Batu Arang manakala selebihnya menerima tapak di dalam kawasan kampung terbabit tahun ini.

“Selepas ini kita jangka masalah infrastruktur jalan akan selesai menjelang Jun ini. Kita alihkan laluan kerana ketika ini jalan berhampiran sungai.

“Apabila siap, penduduk akan masuk mengikut lot masing-masing. Kedudukan sekarang bercampur aduk kerana terdapat pertambahan rumah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas program Kembali Ke Sekolah dan sambutan ‘Chithirai Puthandu’ semalam.

Dalam majlis berkenaan, beliau menyerahkan 100 bantuan persekolahan kepada pelajar serta 32 bantuan makanan kepada keluarga berpendapatan rendah bagi meringankan beban penduduk.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penantian 40 tahun penduduk Kampung Indian Settlement terlerai

BATU CAVES, 21 FEB: Penantian hampir 40 tahun penduduk Kampung Indian Settlement terlerai apabila memperoleh Notis 5A yang disampaikan sendiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di sini, hari ini.

Notis 5A ialah pemberitahuan bahawa tanah terbabit diluluskan kerajaan untuk menjadi hak milik dengan menjelaskan bayaran premium ditetapkan.

Penerima, Kaldeep Kaur, 40, menyifatkan pemilikan tersebut hadiah paling berharga hasil perjuangan penduduk puluhan tahun lalu.

Kaldeep kaur ketika ditemu bual SelangorKini selepas Majlis Penyerahan Notis 5A penduduk Indian Settlement di Balai Penghulu Mukim Batu, Jalan Sungai Tua pada 21 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya ucap terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri yang sentiasa peka dengan masalah rakyat serta mempermudahkan urusan kami mendapatkan hak,” katanya yang merupakan salah seorang daripada 38 penduduk yang menerima Notis 5A.

Pandangan sama turut dikongsi Amandeep Singh, 27, yang memberitahu keluarganya hampir berputus asa untuk mendapatkan hak milik tanah.

“Hari ini saya datang menemani bapa ambil Notis 5A dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana berpegang kepada janji untuk selesaikan isu penduduk Kampung Indian Settlement,” katanya.

Marathemuttu A/L Veluketika ditemu bual SelangorKini selepas Majlis Penyerahan Notis 5A penduduk Indian Settlement di Balai Penghulu Mukim Batu, Jalan Sungai Tua pada 21 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi V Marathemuttu, 54, dia akan memegang kata-kata Dato’ Menteri Besar supaya menjaga tanah tersebut sebaik mungkin serta tidak menjualnya.

“Selepas melalui penat lelah akhirnya keluarga kami dapat hak milik yang sah dan sudah tentu aset ini amat berharga,” katanya.

Hari ini, Amirudin menyampaikan Notis 5A kepada 38 penduduk Kampung Indian Settlement di Balai Penghulu Mukim Batu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu milikan 38 lot tanah Kampung Indian Settlement selesai

BATU CAVES, 21 FEB: Isu pemilikan 38 lot tanah penduduk Kampung Indian Settlement yang berlarutan sejak 40 tahun lalu berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu selari hasrat memastikan rakyat Selangor memiliki aset sendiri dan berharap ia tidak dijual demi keuntungan.

“Kampung Indian Settlement adalah kawasan setinggan yang tiada kemudahan asas sempurna, justeru kita pindahkan ke penempatan baharu yang lebih selesa di Mukim Batu iaitu Kampung Sungai Tua dan Bandar Baru Selayang serta Kampung Benggali di Mukim Rawang,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Notis 5A di Balai Penghulu Mukim Batu di sini, hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7 juta bagi penempatan baharu tersebut merangkumi kos ambil alih tanah serta pembinaan jalan raya dan parit.

Pada masa sama, katanya, Selangor akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan perancangan yang memfokuskan kesejahteraan dan taraf sosioekonomi rakyat.

“Kita komited memastikan tiada golongan terabai dalam arus kemajuan dan hasil negeri akan dikongsi bersama rakyat,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan isu pemilikan tanah membabitkan lebih 100,000 peneroka sejak 2008.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan selesai isu 27 lot tanah Kampung Indian Settlement

BATU CAVES, 15 DIS: Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan 27 lot tanah melibatkan penduduk Kampung Indian Settlement di sini, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, kesemua mereka terdiri daripada penduduk menetap di tepi sungai dan akan dipindahkan ke penempatan baharu yang telah disiapkan.

“Isu berkaitan Kampung Indian Settlement ini sebenarnya adalah perkara lama sejak saya menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves dan selesai pada 2009, namun ianya tidak dapat mengikut pelan asal memandangkan terdapat sebahagian penduduk yang tinggal di tepi sungai.

“Kerajaan Negeri berusaha membantu penduduk kerana sebelum ini mereka menghadapi kecelaruan tanah lot yang bercampur serta tidak disusun dengan baik.

“Alhamdulillah, sekarang masalah ini sudah diatasi dan saya jangkakan ianya akan selesai dalam tempoh setahun lagi, setelah itu kita akan memulakan pembinaan jalan utama untuk kemudahan penduduk,” katanya kepada SelangorKini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan beg sekolah sempena Program Kembali ke Sekolah di Dewan India Settlement, Batu Caves pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Amirudin yang juga ADN Sungai Tua berkata demikian selepas Program Kembali Ke Sekolah anjuran Persatuan Penduduk Indian Settlement Batu Caves dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri berkenaan di sini, hari ini.

Untuk rekod, kampung terbabit antara penempatan tradisi penduduk India di Parlimen Gombak.