Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Alatan bengkel hilang, kenderaan pelanggan rosak akibat banjir

SHAH ALAM, 12 DIS: Kebanyakan kenderaan yang masih dalam proses pembaikan  di bengkel milik seorang mekanik rosak teruk berikutan banjir di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong di sini sejak Jumaat.

Nazlan Md Isa, 35, menjelaskan banyak peralatan di bengkelnya hilang manakala rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter turut mengalami banyak kerosakan.

“Saya hanya sempat selamatkan dokumen penting sahaja. Yang lain semua habis, tinggal sehelai sepinggang.

“Kereta, van dan lori pelanggan pun habis kena banjir. Kalau kira kerugian memang banyak sebab bukan sahaja tempat saya berteduh rosak, tempat saya cari rezeki pun turut terkesan,” katanya kepada Selangorkini.

Nazlan juga menjelaskan kejadian seumpama itu kali kedua yang dialaminya selepas 1995 tetapi bencana kali ini dianggapnya jauh lebih buruk.

Menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air, hujan lebat berterusan sejak Jumaat menyamai jumlah taburan purata hujan untuk tempoh sebulan. Kejadian seumpama itu setiap 100 tahun sekali.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Banjir: Suami umpil tingkap rumah selamatkan isteri, anak autisme

SUBANG JAYA, 20 DIS: Suri rumah yang terperangkap dalam bilik tidur bersama dua anak termasuk seorang menghidap autisme terpaksa keluar melalui tingkap rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong di sini Sabtu lalu.

Nor Azlina Hussin, 39, yang menyewa rumah setingkat di situ sejak dua tahun lalu cuba membuka pintu tetapi gagal berikutan arus kuat dan hanya mampu menjerit meminta pertolongan berikutan air paras dada sekitar jam 5 petang.

Pertama kali melalui pengalaman banjir, beliau terpaksa mendukung anaknya berusia lapan tahun secara bergilir dengan dua anak saudara berusia 16 dan 17 tahun yang tinggal bersamanya.

“Kejadian berlaku begitu pantas, hendak lari keluar pun tidak boleh sebab pintu tidak boleh buka sebab arus dari luar kuat, hanya mampu menjerit minta tolong.

“Tidak ingat berapa lama terperangkap. Saya cuma mendukung salah seorang anak, yang bongsu berusia lima tahun saya letakkan di tilam yang terapung,” katanya.

Keadaan dalam bilik dengan barangan tidak tersusun di rumah Nor Azlina Hussin di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong pada 20 Disember 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Nor Azlina berkata mujur suaminya pulang dari bekerja bersama jirannya lalu mengumpil jeriji tingkap dari luar bilik untuk mereka keluar menyelamatkan diri sebelum menumpang di rumah jiran.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, hujan lebat berterusan sejak Jumaat menyamai jumlah taburan purata hujan untuk tempoh sebulan.

Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang menjelaskan kejadian seumpama itu setiap 100 tahun sekali.