Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih 50 Tahun Penduduk Sri Aman Coalfield Di Perdaya BN

KUALA SELANGOR, 1 JUN: Demi kepentingan politik, BN tidak teragak-agak mempermainkan penduduk Kampung Sri Aman Coalfield dalam isu pemilikan tanah di kampung terbabit.

Demikian menurut Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Selangor, Thiru Moorthy ketika mengulas percubaan beberapa pemimpin MIC untuk menghasut penduduk kampung berkenaan dalam isu hak milik tanah di kampung itu.

Menurut Thiru, selama lebih 54 tahun mentadbir Selangor, BN tidak pernah peka dan mengambil sebarang tindakan menyelesaikan isu pemilikan tanah dikampong tersebut.

“Masalah pemilikan tanah ini berpunca dari BN juga kerana merekalah yang menghalau penduduk kampung pada tahun 2000 apabila menyerahkan tanah kampung itu kepada West Mines Sdn Bhd untuk dimajukan, tiba-tiba sekarang nak jadi hero konon membela penduduk kampung.

“Sekiranya mereka begitu mengambil berat akan nasib penduduk kampung ini lebih 50 tahun lalu ketika berkuasa, tentulah penduduk kampung tidak akan menghadapi situasi seperti ini.

“Mengapa BN ketika mentadbir Selangor mereka tidak memberi hak milik kepada penduduk, tetapi mereka halau penduduk dan serahkan tanah itu kepada  West Mines Sdn Bhd,” beritahu Thiru kepada TV Selangor.

Thiru berkata, BN telah menjadikan isu ini sebagai modal memancing undi setiap kali menjelang pilihan raya sebelum ini.

“Sudahlah begitu, tiap kali ada pilihan raya, masyarakat kampung ini akan dijanjikan diberi semula tanah dan geran termasuklah ketika musim Pilihan Raya Umum (PRU) ke 11 pada 2004 lalu, tetapi tidak ditunaikan.

“Lepas itu, sekali lagi dalam pilihan raya kecil tahun 2007, Parthiban (Ketua MIC Kuala selangor) dan Datuk Seri Samy Velu datang lagi ke kampung ini menabur janji sama juga BN menang dalam pilihan raya kecil itu.

“Dalam PRU-12 2008 lalu pun macam itu juga, tetapi masyarakat kampung sudah pandai, tak termakan janji mereka lagi.

“Malah pada masa itu mereka memberikan surat tawaran yang tidak laku kerana tidak memiliki nombor lot dan saiz keluasan, hanya cuba memperbodohkan penduduk kampung,” ujar beliau kepada Selangor Kini.

Ketika itu, berbekalkan surat tawaran tersebut, beberapa penduduk pergi ke Pejabat Tanah Kuala Selangor untuk membayar premium tanah tetapi telah ditolak kerana surat tawaran tersebut tidak memiliki nombor lot dan keluasan tanah.

Thiru mendapat tahu kegiatan beberapa pemimpin BN yang cuba menghasut penduduk Kampung Sri Aman Coalfield dari beberapa sumber yang dipercayai termasuklah dari penduduk kampung itu sendiri.

“Nampaknya beberapa orang ini memang berusaha hasut penduduk kampung agar menolak rancangan pembangunan di kampung ini yang mahu dibawa oleh Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Menurut Thiru pada asalnya Kampung Sri Aman Coalfield yang terletak di atas tanah bekas kuari itu pada mulanya diteroka oleh beberapa bekas pekerja Ladang Coalfield apabila terpaksa berpindah keluar dari rumah perkerja setelah bersara.

Menjelang 1990, terdapat lebih 100 keluarga telah mendiami kampung itu dan mereka mula membuat permohonan rasmi untuk dijadikan tapak kekal, tetapi ditolak oleh kerajaan negeri ketika itu.

Sebaliknya menurut Thiru, pada tahun 2000, Menteri Besar, Datuk Seri Khir Toyo telah menyerahkan tanah seluas 30 ekar itu kepada West Mines Sdn Bhd tanpa pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan terbabit dan penduduk kampung itu.

Menurut Thiru, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor hari ini berjaya memiliki semula tanah Kampung Sri Aman Coalfield dan merancang pembangunan termasuk infrastruktur untuk kampung ini.

Pemimpin BN telah mengambil kesempatan dalam keadaan ini dengan menghasut penduduk-penduduk kampung agar mengenakan pelbagai syarat tidak masuk akal dan menolak cadangan kerajaan negeri.