Categories
EXCO SELANGOR

Program masyarakat kekal konteks tradisi, seni budaya

BESTARI JAYA, 21 JULAI: Kerajaan Negeri akan memastikan setiap pelaksanaan program masyarakat terus kekal dalam konteks tradisi dan seni budaya, membabitkan kesemua 371 buah kampung di Selangor.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail bagaimanapun berkata, kerjasama semua pihak diperlukan bagi menjayakan komitmen itu walaupun Selangor berada dalam arus pembangunan pesat.

“Kalau dulu jika ada apa-apa program mungkin tidak diangkat sebaik mungkin aspek ini (kampung dan seni budaya), oleh itu saya mahu semua bantu saya dan Kerajaan Negeri untuk pastikan matlamat ini dicapai.

“Ia tidak mustahil dapat dilakukan jika ada ‘political will’ (keyakinan) untuk dijalankan secara bersama,” katanya pada Karnival Sayangi Desa Peringkat Daerah Kuala Selangor 2019, di Perkarangan Dewan Bestari Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad; Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji dan Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Seksyen Sektoral, Mohd Faiz Abu Bakar.

Rodziah berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini turut meluluskan satu garis panduan baharu yang diselaraskan supaya perkembangan di kawasan kampung bergerak seiring bandar.

Katanya, beliau khuatir kerana ramai yang membayangkan isu kemiskinan setiap kali istilah ‘kampung’ diungkapkan di bibir masyarakat kebelakangan ini.

“Kita lihat di kampung ramai yang menerima bantuan dan mereka dalam kalangan ditinggalkan anak muda yang berhijrah ke bandar untuk mencari pendapatan.

“Di kampung juga, isu kemiskinan dan migrasi anak muda ini adalah cabaran besar dan kita akan mencari jalan bagaimana ia dapat ditangani secara baik,” katanya.

Categories
SELANGOR

Karnival Sayangi Desa himpun lebih 1,500 komuniti

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 APR: Buat julung kali penganjurannya, Karnival Sayangi Desa peringkat daerah Hulu Langat berjaya menghimpunkan lebih 1,500 masyarakat setempat terdiri daripada pelbagai peringkat umur, Sabtu lalu.

Berlangsung di Dataran Riadah, Taman Desa Sentosa, Kampung Batu 16, di sini, karnival bertemakan Warisan dan Sukan Rakyat itu turut membabitkan penyertaan 17 agensi kerajaan termasuk enam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Hulu Langat.

EXCO Pembangunan Usahawan Serta Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, karnival berkenaan adalah nama baharu yang mula diperkenalkan tahun ini sebagai penjenamaan Karnival Kampung Kesayanganku (3K), pada tahun lalu.

“Kita mahu membuat ‘re-branding’ dan suntikan nafas baharu terhadap program ini supaya ia mencapai matlamat serta objektif sepatutnya selain selari dengan hasrat direncana Kerajaan Negeri.

“Pemilihan nama Desa dibuat kerana ia adalah satu kawasan yang merangkumi beberapa mukim atau kampung terletak di luar bandar, selain identiti asal sesebuah kawasan sebelum terbentuknya perbandaran.

“Pada masa sama, pembangunan dan kemajuan sesebuah negara serta negeri bermula dengan kawasan desa selain generasi terdahulu bertapak juga mendiami kawasan desa, malahan sejarah perkembangan generasi serta kependudukan adalah bermula dari desa,” katanya kepada SelangorKini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus dan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Pejabat Daerah Hulu Langat, Mohd Raiz Radzuan.

Selain mengetengahkan 20 gerai di bawah Hijrah Selangor, karnival itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik khusus buat komuniti antaranya program 10,000 langkah dengan kerjasama Jabatan Belia Negeri Selangor dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT).

Turut diadakan, Senam Sihat Selangor dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya (PWB) membabitkan sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah terbabit.

Lebih istimewa, program Jelajah Kampung juga dijalankan melalui lawatan ke kediaman tokoh tempatan termasuk ziarah dua asnaf di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Rumah Warisan dan Perusahaan Lemang Anak Muda Batu 16.

Beberapa aktiviti sampingan lain adalah pertandingan mewarna kanak-kanak, gubahan bunga sirih junjung, ikat sampin, program tukar minyak hitam, pertandingan masakan tradisional iaitu ikan baung masak cili.

Antara pengisian lain diadakan seperti interaktif batik, demo hiasan tudung saji, sukan rakyat (dam aji, tarik tali, futsal kain pelikat, boling kelapa dan batu seremban) termasuk kenduri rakyat.