SHAH ALAM, 19 JAN: Kerajaan sewajarnya memaklumkan larangan upacara ‘kavadi’ dalam sambutan perayaan Thaipusam tahun ini lebih awal.
Salah seorang penganut Hindu S Nyaneswaran berkata tindakan mengumumkan seminggu sebelum perayaan itu tiba disifatkan menganiaya individu yang sudah membuat persiapan lama.
“Kita akur dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi kerana penularan Covid-19 tetapi kementerian berkaitan atau persatuan tokong perlu bertanggungjawab dan maklum hal ini lebih awal.
“Kasihan penganut yang sudah berpuasa lama sehingga 48 hari termasuk peniaga yang melabur untuk berniaga sejak awal lagi…Thaipusam tahun ini tidak sempurna tanpa ‘kavadi’,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rancangan Borak Santai bertajuk Erti Thaipusam bersiaran di Youtube SelangorTV malam tadi.
Upacara ‘kavadi’ merupakan satu acara yang membawa benda berhias diusung pada sebelah bahu oleh penganut agama Hindu ketika perayaan Thaipusam bertujuan memuja Dewa Subramanian.
Pada masa sama, Nyaneswaran berharap pandemik Covid-19 segera berakhir supaya semua penganut dapat meraikan sambutan perayaan mengikut kepercayaan masing-masing seperti biasa.
“Saya ucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada semua rakyat Malaysia dan semoga kita dapat memutuskan segera wabak Covid-19 serta meraikan perayaan dengan lebih meriah pada tahun akan datang,” katanya.
Thaipusam merupakan perayaan yang disambut masyarakat Hindu bagi menghormati Dewa Murugan atau dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Thaipusam juga sinonim dengan hari menunaikan nazar dan menebus dosa.