Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga sektor ekonomi Selangor penyumbang utama KDNK negara

SHAH ALAM, 7 OGOS: Sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan di Selangor menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lalu.

Menurut Laporan Sosioekonomi Negeri 2019 mengenai data Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang dikeluarkan semalam, tiga sektor berkenaan masing-masing menyumbang sebanyak 5.3 peratus (pembuatan), 10.5 peratus (pembinaan) dan 7 peratus (perkhidmatan).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor perkhidmatan di negeri ini meningkat hasil daripada aktiviti perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi yang meningkat sederhana berbanding 2018.

“Pada masa yang sama, sektor pembuatan meningkat 5.3 peratus didorong oleh subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal serta bahan kimia dan produk kimia.

“Selain itu, pertumbuhan dua angka bagi sektor pembinaan kepada 10.5 peratus dipacu oleh peningkatan segmen kejuruteraan awam dan bangunan bukan kediaman turut mendorong pertumbuhan keseluruhan ekonomi Selangor,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor menyumbang 24.2 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara pada 2019, kekal tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.

Katanya, angka berkenaan meningkat 0.5 peratus berbanding 23.7 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama, dua tahun lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Firma penyelidikan kekalkan KDNK 2019 pada 4.5 peratus

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Firma penyelidikan mengekalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 pada 4.5 peratus walaupun wujud risiko penurunan berterusan daripada ketegangan perdagangan global yang berpanjangan, yang menjejaskan pertumbuhan global dan menyebabkan perdagangan luar Malaysia lemah.

RHB Research berkata, risiko penurunan itu dijangka berterusan sehingga 2020 akibat ketegangan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China baru-baru ini.

Menurutnya, AS dijangka tidak akan menarik kembali keputusannya untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas sebahagian import US$300 bilion dari China, berkuat kuasa 1 September.

“Sebahagian lagi dijangka bermula 15 Disember dan China berhasrat untuk memberi tindak balas,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Mengambil kira sentimen berhati-hati dan risiko penurunan daripada perang perdagangan yang semakin membimbangkan itu, RHB Research berkata, satu lagi penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia dijangka menjadi langkah awal untuk menyokong pertumbuhan.

“Ini mungkin berlaku pada akhir suku keempat 2019 atau suku pertama 2020. BNM dijangka menunggu tinjauan FTSE Russell pada September sebelum membuat langkah selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Research menjangka asas yang kukuh terhadap pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua 2019 adalah tidak lama dan akan mencatat pertumbuhan sederhana pada suku selanjutnya akibat risiko yang semakin meningkat.

“Dengan kemajuan perdagangan yang tidak menentu, ketidaktentuan global dan turun naik pasaran kewangan dalam tempoh terdekat yang semakin meningkat, ia berpotensi menyebabkan penangguhan dalam keputusan pelaburan di peringkat global.

“Faktor-faktor luaran ini akan mempengaruhi prospek pertumbuhan Malaysia, sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti dalam negara seperti penyambungan semula projek infrastruktur mega yang akan memberikan limpahan kepada aktiviti sektor swasta,” katanya.

Kenanga Research menyemak unjuran pertumbuhan suku ketiga 2019 kepada 4.4 peratus daripada 4.2 peratus sebelum ini dan menyemak semula pertumbuhan suku keempat 2019 kepada 4.0 peratus daripada 4.7 peratus sebelum ini, sambil mengekalkan unjuran keseluruhan tahunannya pada 4.5 peratus.

– BERNAMA