Categories
AGENDA NASIONAL

Ribut petir, hujan di pantai barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak hingga Khamis

PUTRAJAYA, 21 OGOS: Ribut petir dan hujan dijangka berlaku pada petang dan malam di negeri-negeri pantai barat Semenanjung dan kebanyakan kawasan di Sarawak dan Sabah sehingga Khamis depan ketika fasa lemah Monsun Barat Daya sedang berlaku sekarang.

Menurut Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), negara masih mengalami musim Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir pada pertengahan September dan monsun itu mempunyai dua fasa iaitu fasa kuat (aktif) dan fasa lemah (kurang aktif).

Semasa fasa kuat, angin barat daya bertiup secara konsisten dan keadaan cuaca secara relatifnya kering, dan sebaliknya semasa fasa lemah iaitu cuaca yang lembap disebabkan corak angin tiupan yang berbeza daripada semasa fasa aktif.

“Lazimnya terdapat penumpuan angin yang menyebabkan pergerakan udara ke atas ataupun tiupan angin yang lemah.

“Kedua-dua keadaan tersebut menyebabkan ribut petir dan hujan berlaku pada waktu petang sehingga malam,” menurut KASA dalam kenyataan hari ini.

KASA memaklumkan kejadian ribut petir berserta hujan lebat telah menyebabkan banjir di beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor semalam (20 Ogos).

Berdasarkan pemantauan cuaca dan analisa imej radar, awan aktif telah terbentuk di kawasan pedalaman negeri-negeri pantai barat merangkumi Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sekitar 2 petang pada hari berkenaan.

“Keamatan semakin meningkat sehingga meliputi hampir seluruh pantai barat Semenanjung pada sebelah petang.

“Pencerapan udara atas menunjukkan berlaku pertembungan angin dari arah barat laut dan tenggara yang membawa kelembapan tinggi dari Laut Andaman dan Selat Melaka, seterusnya menyumbang kepada pembentukan awan aktif dalam tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ganjaran RM5,000 jika salur bukti dalang pencemar air

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) menawarkan ganjaran RM5,000 kepada mereka yang dapat menyalurkan maklumat dan bukti sehingga tertangkapnya pihak melakukan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor, yang menjadi punca gangguan bekalan air.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sebarang maklumat boleh disalur melalui e-mel [email protected] atau talian hotline Jabatan Alam Sekitar (JAS) di 1-800- 88-2727.

“Ganjaran diberikan selaras dengan komitmen berterusan kerajaan dalam Belanjawan 2021 yang akan menyediakan peruntukan khas kepada mana-mana (pihak) yang dapat menyalurkan maklumat tentang sebarang salah laku dan pelanggaran undang-undang, termasuk isu pencemaran sungai.

“Saya amat memandang serius mengenai perkara ini kerana tujuh insiden henti tugas loji rawatan air di Selangor akibat pencemaran sungai pada tahun ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Tuan Ibrahim berkata ekoran itu, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha Kasa Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang untuk segera ke beberapa lokasi tapak yang disyaki menjadi punca pencemaran iaitu di sekitar Taman Velox, Rawang.

Beliau berkata lawatan itu turut disertai Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Narendran Maniam; dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

“Berdasarkan kepada siasatan awal, didapati pencemaran berpunca daripada efluen industri daripada pelbagai sumber industri kecil dan sederhana di Taman Velox dan kawasan persekitarannya iaitu Kawasan Industri Kecil Sungai Bakau dan Taman Perindustrian Teknologi Rawang.

“Sebahagian daripada efluen industri yang berbau ini telah masuk ke dalam longkang dan sebahagian lagi dilepaskan secara haram ke dalam sistem pembetungan, di mana efluen industri ini seterusnya mengganggu tugas loji rawatan kumbahan yang dioperasi oleh IWK di Taman Velox,” katanya.

Beliau berkata penyiasatan akan terus dijalankan oleh pasukan penguatkuasa daripada JAS, IWK, SPAN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Air Selangor dan kerajaan negeri Selangor sehingga punca pencemaran dan penjenayah alam sekitar itu dapat dikenal pasti.

Semalam, Bernama melaporkan pencemaran itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang.

Turut dilaporkan, gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air dijangka pulih dalam tempoh 24 jam – menteri

KUALA SELANGOR, 19 OKT: Pengguna di tujuh wilayah terjejas dijangka menerima bekalan air sepenuhnya dalam tempoh 24 jam, kata menteri alam sekitar dan air (Kasa).

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata empat loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas susulan pencemaran bau akan beroperasi dalam masa dua jam lagi.

“Insya-Allah… dalam tempoh 24 jam air akan dibekalkan. Ketika ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat menggerakkan bantuan air melalui lori tangki ke kawasan terjejas.

Hee Loy Sian bersama Tuan Ibrahim Tuan Man (dua, kanan) memeriksa sampel air selepas sidang media isu pencemaran bau air Sungai Selangor di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Cuma keutamaan (bantuan lori tangki) kepada tempat kritikal seperti hospital dan pusat dialisis. Kita jangka ia (henti tugas) tidak mengambil masa lama,” katanya pada sidang media di LRA Sungai Selangor Fasa 2 di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal pakar Air Selangor menemukan bau seakan-akan pelarut dan tidak menolak kemungkinan pencemaran berpunca daripada tiga kawasan kilang.

“Walaupun punca sebenar masih disiasat tetapi berdasarkan kajian awal mendapati ia berbau solven dan Jabatan Alam Sekitar (Jas) sudah mengambil sampel untuk dihantar ke makmal.

“Sebelum ini (bau) semasa pencemaran di Sungai Langat lebih tinggi iaitu mencapai sembilan TON (Nombor Bau Nilai Ambang) tetapi kali ini tiga TON,” katanya.

Menurutnya Lembaga Urus Air Selangor (Luas) melepaskan Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) 600 sebanyak 285 juta liter dan mengepam 336 juta liter air kolam alternatif untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pencemaran bau Sungai Semenyih berpunca dari kawasan Perindustrian Nilai

SEPANG, 4 OKT: Pencemaran bau Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak pukul 4.30 petang tadi, disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata siasatan awal mendapati pencemaran bau itu mengalir ke Sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang berhampiran dengan kawasan perindustrian itu.

“Buat masa ini kita terpaksa menunggu pencemaran bau itu hilang, barulah loji dapat beroperasi semula. Setakat ini kita tidak pasti berapa lama sebab kita masih menyiasat punca pencemaran bau itu dan seluruh pasukan penyiasat tertumpu di Sungai Batang Benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selepas mendengar taklimat daripada Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Stesen Pam Air Mentah Loji Sungai Semenyih, Jenderam Hilir, di sini malam ini.

Tuan Ibrahim berkata sampel air yang diambil dari Sungai Semenyih pada pukul 4.30 petang tadi adalah 4 TON (ukuran kadar bau), manakala pada pukul 9.00 malam pula ia meningkat kepada 11 TON.

“Jadi sukar untuk kita jangka adakah ia makin meningkat, selagi puncanya belum ditutup. Warnanya pun semakin keruh,” katanya.

Tuan Ibrahim menegaskan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu akan diarahkan menutup operasi, selain dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu Amirudin berkata pihak Kerajaan Negeri Negeri Sembilan serta Jabatan Alam Sekitar negeri itu telah dihubungi bagi memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

“Sungai Batang Benar adalah anak sungai kepada Sungai Pajam dan dari Sungai Pajam mengalir ke Sungai Semenyih. Jaraknya sekarang kira-kira 30km dan ia (pencemaran) bukan sahaja rentas daerah tetapi sudah rentas negeri pun,” katanya.

Bagi penyelesaian jangka panjang, katanya kerajaan negeri telah berbincang dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk menggerakkan pelan bagi mengambil air dari Tasik Putrajaya sebagai alternatif jika berlaku gangguan bekalan air di Selangor.

“Kita telah buat kiraan, jika berlaku pencemaran, kita boleh bertahan kira-kira tujuh hari (dengan air dari Tasik Putrajaya). Dengan komitmen diberikan oleh Menteri (Tuan Ibrahim) kita berharap masalah dapat diatasi dan kosnya kita sedia bincangkan,” kata Amirudin sambil menambah pencemaran itu turut memberi kesan kepada kawasan Putrajaya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata kementerian menjangkakan pelan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun hingga dua tahun lagi.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan pada pukul 4.30 petang tadi, akibat insiden pencemaran di LRA itu.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata dua LRA terlibat ialah LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi yang telah dihenti tugas sepenuhnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kasa tambah peruntukan RM66 juta untuk pemuliharaan sungai

KOTA BHARU, 27 SEPT: Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) memperuntukkan RM66 juta lagi untuk melaksanakan 802 projek pemuliharaan sungai dalam usaha mengurangkan risiko banjir di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata peruntukan itu adalah tambahan kepada peruntukan sedia ada yang diluluskan Unit Perancang Ekonomi di bawah Rolling Plan 4 (RP4) berjumlah RM80.3 juta untuk pelaksanaan 615 projek.

Menurut beliau, projek terbabit yang dijangka siap menjelang penghujung tahun ini memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 penduduk.

“Kesemua 802 projek ini untuk menangani dan mengurangkan impak kejadian banjir kepada rakyat melalui pelaksanaan kerja pemuliharaan tebing sungai, menaik taraf sistem saliran, kerja-kerja kecemasan di luar jangka (sebelum atau selepas banjir) dan lain-lain skop kerja berkaitan,” katanya selepas menghadiri Majlis Cabutan Undi Bagi Kerja-kerja di Bawah Peruntukan Kasa Bagi Jajahan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali turut hadir pada majlis tersebut.

“Kasa berharap pelaksanaan projek-projek ini secara tidak langsung dapat membantu kontraktor-kontraktor kecil yang terjejas oleh pandemik Covid-19,” kata Tuan Ibrahim.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 833 kontraktor berdaftar menyertai Cabutan Undi Bagi Kerja-kerja di Bawah Peruntukan Kasa melibatkan seluruh Kelantan yang diagihkan secara berperingkat.

“Jumlah (peruntukan) keseluruhan bagi projek banjir di Kelantan ialah sebanyak RM6.4 juta dengan tumpuan di kawasan terjejas bencana itu terutama pada 2014,” katanya.

– BERNAMA