Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Kerajaan peruntuk RM50 juta kepada 51 PBT baik pulih kemudahan awam

SHAH ALAM, 8 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan peruntukan awal RM50 juta kepada 51 pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan terjejas banjir di seluruh negara bagi kerja pembaikan kemudahan awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata peruntukan itu akan meningkat memandangkan masih ada negeri yang banjir belum pulih sepenuhnya.

“Peruntukan awal RM50 juta ini hanya khas untuk pembaikan infrastruktur awam namun angka itu saya tidak boleh letakkan sebagai statik. Ada negeri yang belum lagi (pulih banjir). Segamat di Johor contohnya masih lagi bertakung. Jadi tentulah angka itu akan naik.

“Jadi, mereka (51 PBT) akan maklumkan kepada kita apa perancangan yang akan dilakukan. Cuma, kalau perancangan yang lebih besar dan jangka panjang sama ada dari segi pengairan dan sebagainya itu sudah tentu kena ada perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA),” katanya.

Beliau berkata pada sidang media Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini hari ini yang dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid serta sekitar 2,000 sukarelawan.

Reezal Merican berkata KPKT akan mengadakan satu sidang media khas bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) minggu hadapan untuk memaklumkan jumlah keseluruhan peruntukan khususnya berhubung pembaikan serta pembinaan rumah baharu.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan antara tanggungjawab kementerian itu ketika banjir baru-baru ini ialah operasi menyelamat yang dilaksanakan oleh bomba dan diikuti operasi pembersihan menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama syarikat konsesi pembersihan kerajaan negeri antaranya KDEB Waste Management Sdn Bhd di Selangor.

Reezal Merican berkata lebih 77,000 tan sampah telah diuruskan SWCorp di negeri terjejas banjir iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka dan Selangor setakat semalam (7 Jan).

“Tapi kena ingat ada negeri-negeri yang belum masuk fasa pascabanjir lagi, jadi angka ini akan bersifat dinamik…ia mungkin akan berubah dan meningkat,” katanya.

Beliau berkata sebanyak RM12.5 juta peruntukan tambahan telah disediakan KPKT bagi membolehkan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri terjejas banjir dan lebih RM5 juta diperuntukkan di Selangor.

Terdahulu, Program Mega Pembersihan Pasca Banjir hari ini memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan sisa banjir khususnya di longkang tersumbat di Taman Sri Muda yang dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon A (padang berhampiran Dewan Kamunting); Zon B (Pusat Kitar Semula Tzu Chi); Zon C (padang Jalan Ceria 25/113) dan Zon D (padang depan Pangsapuri Andora).

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bantuan keluarga Allahyarham Razimi dibincang mesyuarat exco

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 NOV: Bantuan kebajikan dan sumbangan kepada balu dan waris Allahyarham Razimi Mohamed Salleh dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata keluarga Razimi,38, layak mendapat perhatian ekoran komitmen tinggi Allahyarham terhadap aspirasi Kerajaan Negeri.

11988665_876045889161183_7847947079938675491_nKatanya, sepanjang berkhidmat bekas pemandunya itu jarang mengambil cuti dan bekerja dari pagi hingga ke malam hampir tujuh hari seminggu.

“Masa kerja dia sudah seperti seorang wakil rakyat menunjukkan beliau juga komited berkhidmat untuk kemaslahatan rakyat Selangor.

“Rutinnya bertugas bermula jam 7 pagi sampai 12 tengah malam dan adakala sehingga 1 pagi atau sehingga habis tugasan.

“Dengan perkhidmatan baik selama dua tahun ini, saya percaya kebajikan untuk keluarganya wajar dipertimbangkan,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, gambar Zaidy membantu mengebumikan jenazah Razimi menjadi viral di laman sosial.

“Dia seperti saudara saya yang bersama saat susah senang. Saya juga sempat mengimamkan solat jenazah dan sambutnya di liang lahad,” kata Zaidy.

Razimi disahkan meninggal dunia pada jam 12.25 tengah malam oleh doktor selepas beliau pengsan dan tidak sedarkan diri dirumahnya.

11249030_876045929161179_9021031393438937433_nBeliau meninggalkan seorang isteri, Nurul Huda Md tahir, 31, dan anak tunggal perempuan, Nurul Jannah berusia empat bulan.

Kali terakhir Razimi bertugas pada 20 November lalu bermula jam 8 pagi dan pulang ke rumah pada jam 11 malam.

Beliau yang sepatutnya bertugas pada Sabtu, 21 November meminta cuti pada hari berkenaan dan diluluskan Zaidy.

EZY

Belia Tani 2014 tarik minat belia, pacu pembangunan negeri

Program Belia Tani antara usaha kolektif Kerajaan Negeri menarik anak muda tempatan terbabit secara serius dalam sektor pertanian selain meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan seterusnya memacu pembangunan negeri.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, program yang dalam proses perancangan itu dirangka rapi dalam memastikan setiap pesertanya memperoleh pendapatan lumayan.

“Sudah tiba masanya, kita ubah persepsi lapuk masyarakat yang berpandangan sektor pertanian ini hanya untuk golongan berusia.

“Belia Tani bukan sahaja mengisi peranan anak muda dalam sektor ini, bahkan kita harapkan menjadi sumber pendapatan yang baik selain bekerja di sektor lain,” katanya.

Hadir sama ADUN Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan dan Pengarah Jabatan Pertanian Selangor, Mohamad Idrus Abdul Hamid.