Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Momota, tiga lagi belum dibenarkan keluar hospital

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Kesemua yang telibat dalam perlanggaran awal pagi tadi termasuk pemain badminton nombor satu dunia dari Jepun Kento Momota, kini beransur pulih di Hospital Putrajaya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan berkata, di atas nasihat doktor, mereka kini diletakkan di bawah pengawasan di hospital berkenaan dan tidak akan dibenarkan keluar malam tadi.

“Pegawai BAM kini berhubung rapat dengan ketua jurulatih Jepun Park Joo Bong dan akan terus berada di hospital berkenaan untuk memberikan bantuan,” menurut kenyataan tersebut.

Pemain berusia 25 tahun itu, mengalami luka di beberapa bahagian muka termasuk di sinus maksila dan patah tulang hidung dalam pelanggaran melibatkan beliau, kakitangan sokongannya dan seorang pembantu sistem Hawkeye Persekutuan Badminton Dunia.

Sebuah van yang dalam perjalanan membawa mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori kira-kira jam 4.40 pagi di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Selain Momota, mereka yang terlibat ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35, (luka pada tulang kering sebelah kanan); pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42, (konkusi otak dan fraktur tertutup) dan William Thomas, 30, seorang operator sistem Hawkeye (luka di kepala dan bahagian bawah kaki).

Pemandu van B. Nageswarau, 24, maut di tempat kejadian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kento Momota, tiga lagi stabil – Syed Saddiq

SHAH ALAM, 13 JAN: Pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota stabil selepas terbabit kemalangan Kilometer 13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) awal pagi tadi.

Menteri belia dan sukan berkata tiga lagi mangsa Pegawai Teknikal Persekutuan Badminton Dunia (BWF), William Thomas, 30, dari England; pembantu jurulatih Jepun, Hirayama Yu, 35; dan Pegawai Fisioterapi Jepun, Morimoto Akifumi, 42 juga disahkan stabil, lapor Berita Harian.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, pihaknya memandang serius insiden terbabit dan akan memastikan mereka menerima rawatan terbaik.

“Kita menafikan Momota berada dalam keadaan kritikal seperti dilaporkan sesetengah pihak. Sebaliknya, semua mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya selepas melawat mangsa di Hospital Putrajaya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Kento Momota patah hidung, luka bibir akibat nahas jalan raya

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota mengalami patah tulang hidung dalam nahas jalan raya yang turut mengorbankan pemandu van semasa dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau turut mengalami luka di bibir yang perlu dijahit dan beberapa kecederaan lain di bahagian muka.

Dalam kejadian pada 4.40 pagi itu, van dipandu B. Nageswarau, 24, yang turut membawa tiga lagi penumpang, melanggar belakang lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan di Km13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor, Norazam Khamis berkata Nageswarau yang tersepit di tempat duduknya, meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain Momota, 25, juara dunia ketika ini, penumpang lain ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35, pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42, dan William Thomas, 30, pegawai teknikal Persekutuan Badminton Dunia.

“Mayat mangsa dan semua yang cedera dihantar ke Hospital Putrajaya,” katanya kepada Bernama.

Norazam berkata 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 4.57 pagi.

Semalam, Momota daripada Jepun muncul juara perseorangan lelaki Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena di sini, gelaran pertamanya pada kejohanan berprestij itu selepas beberapa tahun memburu gelaran itu.

Beliau menewaskan bekas juara dunia Viktor Axelsen daripada Denmark pada aksi perlawanan akhir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan, pada sidang media, selain memberitahu tentang kecederaan dialami Momota, berkata Hirayama mengalami kecederaan di muka dan kaki kanannya manakala Akifumi patah tangan.

Thomas mengalami kecederaan di kaki dan menerima tujuh jahitan di kepala, katanya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut bergegas ke hospital untuk melawat mangsa yang cedera.

“Setakat ini keempat-empat mereka dalam keadaan stabil dan baik,” katanya dan menurutnya Momota “sepertimana kebiasaannya, berada dalam semangat juang tinggi”.

“Kami memantau mereka dengan rapi. Kami akan memastikan keempat-empat mereka mendapat rawatan terbaik. Kami berasa lega apabila mendapat tahu keadaan mereka stabil,” katanya.

-BERNAMA