Categories
AGENDA NASIONAL

Puntung rokok punca kereta bawa mercun bola meletup

SHAH ALAM, 22 MEI: Puntung rokok dipercayai punca sebuah kereta yang membawa muatan mercun bola meletup petang semalam di persimpangan Kampung Sireh, Kota Bharu.

Ketua polis Kelantan berkata beberapa saksi ternampak mangsa cuba membuang puntung rokok sebelum kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandunya meletup.

“Ketika kejadian, sebuah kereta yang berada di hadapan kereta mangsa telah berhenti di persimpangan itu ekoran lampu isyarat merah.

“Ada saksi melihat mangsa cuba membuang puntung rokok keluar dari cermin yang dibuka dalam keadaan sempit sebelum kereta tersebut meletup,” kata Datuk Shafien Mamat seperti dilapor Kosmo.

Beliau berkata polis turut menyiasat kuantiti mercun bola terbabit selain penglibatan mangsa dalam kegiatan penyeludupan dan penjualan barangan itu.

“Semakan lanjut turut mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah berkaitan kes penyalahgunaan dadah dan pecah rumah,” kata Shafien lagi.

Mangsa Wan Hassan Wan Ali, 48, maut selepas kenderaan yang dipandunya meletup dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Kejadian itu turut menyebabkan lima lagi kenderaan berhampiran rosak termasuk satu terbakar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kereta bawa mercun meletup, mayat pemandu tercampak 20 meter

KOTA BHARU, 21 MEI: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang sedang dipandunya meletup dalam kejadian berdekatan Persimpangan Kampung Sireh di sini, kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

Letupan kereta jenis Proton Iswara itu, turut menyebabkan lima lagi kenderaan yang berada berdekatan rosak, termasuk sebuah yang turut terbakar.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan awal pihak bomba mendapati kereta yang meletup itu, turut membawa mercun.

“Setakat ini seorang mangsa berusia 50-an yang juga pemandu kereta yang meletup itu, disahkan meninggal dunia. Impak daripada letupan itu juga menyebabkan kereta jenis Proton Iswara itu terputus dua.

“Letupan kuat itu juga menyebabkan mayat mangsa tercampak kira-kira 20 meter daripada kenderaannya dan terputus beberapa anggota badan, termasuk kedua-dua belah kaki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Shafien berkata, empat lagi mangsa yang berada berhampiran lokasi kejadian turut tercedera termasuk seorang anggota polis yang parah, dan telah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, untuk rawatan lanjut.

Jelasnya setakat ini identiti mangsa yang maut masih belum dikenal pasti, dan siasatan lanjut masih dilakukan oleh pihak forensik.

Shafien berkata siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan-Bahan Letupan 1957.

Tinjauan Bernama mendapati, letupan itu turut menyebabkan cermin bangunan Tadika Tengku Anis dan Masjid Sultan Mansur, yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian rosak.

Lokasi kejadian juga dipenuhi dengan kesan mercun yang dipercayai menyebabkan letupan kuat itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim Mohd Rudzuan Ali berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada pukul 5.39 petang.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim dan BBP Tunjong dikejarkan ke lokasi.

Katanya, setiba di lokasi didapati sebuah kenderaan terputus dua manakala lima buah lagi kenderaan turut rosak termasuk sebuah Proton Waja yang sedang terbakar.

“Kita dapati kenderaan yang terputus dua adalah disebabkan oleh letupan kuat dan bomba bertindak pantas memadamkan api pada sebuah kenderaan yang terbakar,” katanya sambil menambah punca kejadian masih disiasat.

– BERNAMA