Categories
NASIONAL

Keropok udang viral ada logo halal sah

SHAH ALAM, 11 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak mengesahkan keropok udang yang dijual di pasaran sekitar Perak mempunyai sijil dan penandaan logo halal sah.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, hasil pemeriksaan terhadap 65 premis di sepanjang hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam sehingga Alor Pongsu serta kawasan tumpuan orang ramai mendapati produk itu mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Perak.

“Hasil daripada pemeriksaan terbabit terdapat enam keluaran syarikat berbeza turut dipasarkan dalam pasaran ketika ini.

“Pemeriksaan juga mendapati pembungkusan keropok udang juga hampir sama seperti yang dirampas pada 4 Januari lalu terdapat seekor gambar udang di hadapan pembungkusan.

“Hasil pemeriksaan mendapati produk berkenaan menggunakan logo halal yang mendapat pensijilan daripada JAKIM atau Jabatan Agama Islam negeri, hasil pemeriksaan juga mendapati produk keropok udang yang diambil tindakan pada 4 Januari lalu tiada lagi dijual di pasaran,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung pemeriksaan susulan terhadap penjualan keropok udang di Perak, di Pejabat KPDNKK Perak, di Ipoh, semalam.

Pada masa sama, Shamsul Nizam turut memberi amaran kepada peniaga supaya tidak meletakkan logo halal pada produk mereka sehingga mendapat perakuan daripada pihak berkuasa.

Syarikat yang meletakkan logo halal palsu boleh didenda tidak melebihi RM200,000 manakala bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara.