Categories
NASIONAL

Saman Anwar RM100 juta terhadap Anifah dibicara pada 8 Apr

PUTRAJAYA 1 APRIL: Saman fitnah RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan Anifah bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menghidupkan semula saman sivil Anwar terhadapnya.

ANWAR Mahkamah (1)Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, dalam keputusan sebulat suara, memerintahkan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Beliau juga memerintahkan Anifah membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada Anwar.

Perbicaraan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid, dijadual selama tujuh hari bermula 8 April.

Pada 27 Mei, 2009, Anwar menyaman Anifah atas kapasitinya secara peribadi dan rasmi dan Kerajaan, mendakwa beliau telah difitnah dalam sidang media Anifah bersama-sama Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu Hillary Clinton.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa bahawa dakwaan Anifah adalah tidak berasas dan amat cuai dan telah dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing.

Anwar memohon RM100 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 6 Januari, 2011, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’Hara membatalkan saman itu selepas membenarkan permohonan Anifah dan kerajaan untuk menggugurkan saman itu.

Mahkamah Rayuan pada 25 Januari, 2013, membenarkan rayuan Anwar untuk menghidupkan semula saman terhadap Anifah atas kapasiti peribadi.

Mahkamah (Mahkamah Rayuan), bagaimanapun menolak rayuan Anwar untuk menghidupkan semula samannya terhadap Anifah atas kapasiti rasmi sebagai Menteri Luar dan juga terhadap Kerajaan Malaysia.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Anifah manakala Anwar diwakili peguam R. Sivarasa. – Bernama

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kes Anwar: Kewibawaan mahkamah dipersoal

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti secara dekat perkembangan proses perbicaraan serta keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang telah mensabitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersalah di bawah Seksyen 377A dan dihukum penjara 5 tahun.

IKRAM mempersoalkan proses perbicaraan dan keputusan mahkamah berkenaan kerana terdapat unsur-unsur yang banyak menimbulkan keraguan. Di antaranya ialah;

a) Tarikh perbicaraan yang pada asalnya ditetapkan pada 7-10 April 2014 telah diawalkan kepada tarikh 6-7 Mac 2014, iaitu hampir dengan tarikh penamaan calon di Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.

b) Keputusan sabitan dan hukuman diumumkan terus pada akhir perbicaraan pada 7 Mac 2014. Tindakan tergesa-gesa dalam memberi penghakiman bertukar (reverse decision) amat jarang berlaku di dalam kes rayuan seberat ini.

c) Penolakan permohonan mitigasi hukuman yang dipohon untuk dilanjutkan ke tarikh lain bagi membolehkan pihak pembelaan menyediakan dokumen sokongan untuk mitigasi hukuman. Lazimnya mahkamah memberi tempoh yang munasabah kepada peguam tertuduh dalam menyediakan hujah mitigasi.

Atas sebab itu, IKRAM boleh memahami mengapa masyarakat mempersoalkan kewibawaan mahkamah dalam mengendali dan memutuskan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan yang diambil oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan merupakan suatu hak yang diperuntukkan oleh undang-undang, namun hak ini tidak akan memberi sebarang makna sekiranya persoalan-persoalan dan kegusaran yang ditimbulkan di atas tidak dapat ditangani secara profesional dan berintegriti.

IKRAM dengan ini menegaskan:

1. Sistem kehakiman negara perlu memastikan keadilan itu bukan sekadar ditegakkan tetapi mesti dilihat ditegakkan.

2. Sistem kehakiman negara perlu bebas dan dilihat bebas daripada sebarang campur tangan politik atau desakan pihak eksekutif.

3.Kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman negara perlu dipulihkan dengan memastikan ia bebas, adil dan berakhlak.
Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)