Categories
AGENDA JENAYAH

Peniaga kain dituduh bakar kereta Mufti Perlis

KANGAR, 26 JUL: Peniaga kain dari Baling, Ahmad Mee atau lebih dikenali sebagai Mee Tomoi hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan khianat membakar kereta rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 22 Mac lepas.

Mee Tomoi, 49, didakwa melakukan perbuatan itu bersama Mohd Azimar Abdul Razak, 36, di kediaman rasmi Mufti tersebut di sini kira-kira pukul 5 pagi.

Tertuduh meminta dibicarakan selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mohd Azimar yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen pada 24 Mei lepas bagi tuduhan membakar kereta rasmi Mohd Asri juga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali mengendalikan pendakwaan manakala peguam Yayasan Biro Bantuan Guaman, Nur Dyiana Syukur bertindak bagi pihak Mee Tomoi.

Dalam rayuan kepada mahkamah supaya mengurangkan ikat jamin, Nur Dyiana berkata anak guamnya itu menanggung seorang isteri serta ibunya yang lumpuh berumur 66 tahun dan bapa tiri berumur 70 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad membenarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 5 Ogos depan untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peniaga pasar malam didakwa bakar kereta Mufti Perlis

KANGAR, 24 MEI: Seorang peniaga pasar malam hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan membakar kereta rasmi milik kerajaan negeri yang digunakan oleh Mufti Negeri Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tertuduh, Mohd Azimar Abdul Razak Azimar, 36, dari Kampung Jelempok, Arau dituduh melakukan kesalahan itu dengan niat hendak merosakkan kenderaan jenis Honda Accord itu di kediaman mufti itu di Jalan Pesiaran Wawasan, Kangar bersama beberapa lagi rakannya pada kira-kira 5 pagi, 22 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshuhada Mohd Yatim memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kerana kes itu melibatkan kepentingan awam selain kenderaan terbabit milik kerajaan negeri.

Beliau juga berkata dibimbangi tertuduh akan mengulangi perbuatannya selain bimbang keselamatan tertuduh kerana kes itu telah viral.

Peniaga itu yang diwakili peguam Najdah Romli dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), bagaimanapun memohon anak guamnya dilepaskan dengan jaminan kerana tertuduh mempunyai dua anak masing-masing berumur sembilan dan 11 tahun serta menanggung seorang kakak berumur 46 tahun yang mengalami strok.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan rayuan tertuduh dan membenarkan dia diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh juga perlu melapor diri kepada pegawai penyiasat kes pada setiap 1 hari bulan dan diberi amaran tidak mendekati mangsa, keluarga dan anggota keluarga terdekat mangsa.

Beliau kemudian menetapkan kes itu disebut semula pada 2 Julai depan.

Sementara itu polis masih memburu seorang lagi rakan tertuduh dikenali sebagai Mei Tomoi yang di percayai bersubahat dalam perbuatan itu manakala empat lagi rakannya masih dalam tahanan reman. – BERNAMA