Categories
NASIONAL

Kes projek solar: Rosmah tarik balik dua rayuan

PUTRAJAYA, 5 JUL: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menarik balik dua rayuannya di Mahkamah Rayuan berkaitan pemindahan kes rasuahnya yang pertama melibatkan projek sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak ke Mahkamah Tinggi lain untuk dibicarakan bersama dengan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memberitahu panel tiga hakim bahawa beliau diarahkan untuk tidak meneruskan rayuan berkenaan.

Beliau berkata rayuan pertama adalah berhubung pemindahan kes Rosmah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah ke Mahkamah Tinggi yang didengar dihadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan manakala rayuan kedua berkaitan kes rasuah untuk dibicarakan bersama dengan kes Rizal.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar tidak membantah penarikan rayuan berkenaan.

Hakim Mahkamah Mahkamah Rayuan Datuk Kamardin Hashim yang bersidang bersama Datuk Kamaludin Md Said dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudiannya membatalkan rayuan itu.

Rosmah, 67, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 15 Nov tahun lepas terhadap dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rizal, 45, juga mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan menerima rasuah melibatkan projek yang sama.

Pada 2 Mei lepas, Collin membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Rosmah didengar oleh Mohamed Zaini Mazlan.

Pada 30 Mei lepas, Mohamed Zaini membenarkan permohonan pendakwaan untuk kes projek solar yang dihadapi Rosmah dan Rizal dibicarakan bersama.

Sementara itu, pada 4 Oktober tahun lepas, Rosmah minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytihar pendapatan beliau kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Mohamed Zaini memerintahkan kes berkenaan didengar berasingan daripada kes projek solar.

Pada 10 April lepas, Rosmah, didakwa pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat mendapatkan projek berkenaan.

Perbicaraan kes Rosmah dan Rizal dijadualkan bermula pada 3 Februari manakala kes pengubahan wang haram Rosmah ditetapkan pada 11 Mei.

Rosmah tidak hadir pada prosiding hari ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rosmah tarik balik rayuan, perbicaraan kes didengar di Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA, 20 JUN: Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkaitan projek pembekalan sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Ini berikutan keputusan Rosmah menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Mac lepas yang membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh memaklumkan panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli bahawa pembelaan menarik balik rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Mei.

Pada tarikh itu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes solar itu yang membabitkan Rosmah dan Datuk Rizal Mansor, bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri, dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi dan menetapkan 32 hari untuk perbicaraan bermula 3 Februari depan.

Mohamed Zaini juga mengarahkan kes pengubahan wang haram Rosmah melibatkan lebih RM7 juta, didengar berasingan dan menetapkan 11 Mei untuk perbicaraan.

Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri tidak membantah penarikan balik rayuan itu.

Abdul Rahman yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal kemudiannya mengetepikan rayuan itu.

Rosmah, 67, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 15 November tahun lepas terhadap dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rizal, 46, juga mengaku tidak bersalah pada hari yang sama atas empat tuduhan menerima rasuah bagi dirinya dan bagi pihak Rosmah berjumlah RM5.5 juta, berhubung projek solar tersebut.

Pada 4 Oktober tahun lepas, Rosmah minta dibicarakan atas 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytihar pendapatan beliau kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permohonan Rosmah tangguh isytihar harta didengar 26 Julai

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 26 Julai untuk mendengar permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi menangguhkan perintah pelaksanaan pengisytiharan perolehan harta dalam kes pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas peguam Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mohamed Zaini sebelum ini yang memerintahkan Rosmah mengisytihar perolehan hartanya.

Menurut Geethan, rayuan pihaknya akan menjadi akademik sekiranya pengisytiharan perolehan harta itu dilaksanakan.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan tersebut.

Mohamed Zaini menetapkan 26 Julai untuk mendengar permohonan penangguhan itu dan memerintahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis sebelum 12 Julai.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Datuk K. Kumaraendran supaya Rosmah, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dikecualikan hadir pada prosiding pendengaran itu.

Rosmah, 67, hadir ke mahkamah hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri dan Poh Yih Tinn mewakili pihak pendakwaan.

Pada 24 Mei lepas, Mohamed Zaini menolak permohonan Rosmah untuk mengetepikan notis pihak pendakwaan yang mewajibkan beliau mengisytiharkan perolehan hartanya dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2017.

Mohamed Zaini ketika memutuskan perkara itu berkata tujuan notis berkenaan adalah untuk membantu pihak pendakwaan dalam mengenal pasti harta milik seseorang yang disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram.

Pada 4 Oktober, 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) dan dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permohonan pindahkan kes rasuah Rosmah didengar 28 Jun

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor atas tuduhan menerima rasuah RM5 juta sebagai upah mendapatkan projek sistem solar akan didengar pada 28 Jun ini di Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn kepada media selepas pengurusan kes berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahyudin Mohmad Som, di sini hari ini.

“Hari ini pengurusan kes bagi permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes rasuah (Rosmah) dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan tarikh pendengaran pada 28 Jun ini ,” katanya.

Peguam Ummi Kartini Abd Latiff mewakili Rosmah, 68.

Pada 10 Mei lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta daripada Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai upah mendapatkan projek sistem solar, tiga tahun lepas.

Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor, 45, sebagai upah kerana telah membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan tersebut di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya pada 20 Dis 2016 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum menurut Subseksyen 24(1) akta sama.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rosmah perlu isytihar perolehan hartanya

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor perlu mengisytiharkan harta yang diperolehinya dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2017 selepas gagal mengetepikan notis pihak pendakwaan yang mewajibkannya berbuat demikian.

Dalam menolak permohonan Rosmah, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan berkata, beliau menerima hujahan pendakwaan mengikut Seksyen 48(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dari[pada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau berkata, tujuan seksyen berkenaan adalah untuk membantu pendakwa dalam mengenal pasti harta milik seseorang yang disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram.

”Oleh itu, ia tidak akan memprejudiskan pihak pembelaan atau menyebabkan kebimbangan maklumat itu akan digunakan untuk menentangnya terhadap dakwaan yang dihadapinya.

“Hujahan pemohon bahawa beliau akan dihalang daripada hak perbicaraan yang adil adalah spekulatif,” katanya.

Hakim berkata notis pihak pendakwaan itu dalam proses siasatan tiada kaitan dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal membuat penyataan pendapatan yang dihadapi oleh Rosmah, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

”Saya juga bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa hak berdiam diri dan keistimewaan daripada menjawab notis itu, bukan hak dijamin Perlembagaan,” katanya.

Peguam Rosmah, Mohamed Reza Rahim memohon mahkamah menangguhkan keputusan kerana mereka akan memfailkan rayuan.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini memerintahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan rasmi.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala pasukan pembelaan terdiri daripada Mohamed Rez, Manjeet Singh Dhilion, N. Rajivan dan Datuk K. Kumaraendran.

Rosmah, 67, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Rosmah memfailkan notis pada 24 Februari lalu bagi mengetepikan notis pendakwaan tersebut.

Pada 4 Oktober, 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) dan dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permohonan Rosmah tolak isytihar harta diputus 24 Mei

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan notis pihak pendakwaan terhadapnya mewajibkan pengisytiharan perolehan harta dalam kes pengubahan wang haram akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 24 Mei ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak Rosmah, yang diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon, Reza Rahim, N. Rajivan dan Datuk K. Kumaraendran dan pihak pendakwaan diketuai imbalan Pendakwa Raya, Datuk Sri Gopal Ram.

Terdahulu, Sri Ram dalam hujahannya berkata notis diberikan kepada Rosmah bagi mengisytiharkan harta mengikut Seksyen 49 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 bukan peruntukan bagi perbicaraan, sebaliknya terma khas sebelum prosiding bicara bermula.

Pihak pendakwaan, katanya, berhak untuk mendapatkan pendedahan terhadap harta yang menjadi perkara asas dalam kes membabitkan aktiviti pengubahan wang haram itu.

Katanya, undang-undang dan peruntukan perlembagaan membenarkan peruntukan Seksyen 49 itu bagi tujuan sebelum perbicaraan.

Sementara itu, Reza berkata, notis tersebut adalah tidak adil kerana diminta untuk mengisytihar harta dan dibicarakan pada masa sama melibatkan isu sama.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima tuduhan gagal membuat penyata pendapatan.

Rosmah, 67, didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang di sini, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, beliau didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Projek solar: Rosmah kekal pengakuan tidak bersalah

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pindaan berhubung dakwaan menerima rasuah RM5 juta daripada Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai upah mendapatkan projek sistem solar, tiga tahun lepas.

Rosmah, 68, yang memakai jubah dan selendang sedondon berwarna putih membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan berkenaan dibacakan semula ke atasnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan ingin mengemukakan pertuduhan pindaan hari ini.

“Pertuduhan pindaan ini dibuat untuk meminda alamat tempat kesalahan (dalam pertuduhan terdahulu),” katanya semasa sebutan semula kes itu, hari ini.

Bagi pertuduhan pindaan, Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya pada 20 Disember 2016.

Manakala bagi pertuduhan yang dibacakan terhadap Rosmah pada 10 April lepas, menyatakan kesalahan itu didakwa dilakukan di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini pada 20 Disember 2016.

Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor, 45, sebagai upah kerana telah membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama dan jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding itu juga, Mohd Dusuki memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan juga telah mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

“Pada 28 Mei ini ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi dan pada tarikh sama, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan bagi memindahkan kes berkenaan,” katanya.

Hakim Azura kemudiannya menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mengetahui maklumat terkini berhubung kes terbabit.

Dalam prosiding itu, Rosmah diwakili Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mengetuai pasukan pembelaan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes Rosmah dan Rizal didengar di mahkamah sama

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Kes Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan pertuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, akan didengar di Mahkamah Tinggi sama yang mendengar kes Datuk Rizal Mansor, bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang juga Timbalan Pendakwa Raya Kanan bagi kes Rosmah, supaya kedua-dua kes itu didengar di mahkamah sama.

“Permohonan oleh pendakwaan untuk memindahkan kes ini untuk didengar Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dibenarkan. Kami tidak bercanggah dengan Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Rosmah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rizal, 45, juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah membabitkan projek sama.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permohonan agar Rosmah isytihar perolehan harta 10 Mei

KUALA LUMPUR, 24 APR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 10 Mei untuk mendengar permohonan pendakwaan supaya isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengisytiharkan perolehan hartanya dalam kes pengubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu semasa sebutan semula kes itu di hadapannya yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan peguam Datuk Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah, 67.

Terdahulu Geethan memohon tempoh seminggu untuk memfailkan hujahan balas berhubung permohonan yang difailkan pendakwaan itu.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah yang juga diwakili peguam Manjeet Singh Dhilion dan Datuk K. Kumaraendran mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rosmah didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permohonan pendakwaan pindah kes Rosmah ke mahkamah sama kes Rizal 2 Mei

KUALA LUMPUR, 23 APR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 2 Mei untuk mendengar permohonan pendakwaan bagi memindahkan kes rasuah yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor ke mahkamah sama dengan kes rasuah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor, untuk dibicarakan bersama.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu berkata, hari ini adalah permohonan pendakwaan untuk membawa kes yang dihadapi Rosmah ,67, ke hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

“Permohonan itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah semasa sebutan semula kes hari ini dan akan didengar olehnya.

“Pemindahan itu dibuat berikutan kes membabitkan Rizal ada di situ (Hakim Mohamed Zaini). Oleh itu pada tarikh akan datang kami (pendakwaan) akan buat permohonan pemindahan kes. Jadi pada 2 Mei kedua-dua pihak akan berhujah berhubung permohonan itu hadapan Hakim Collin,” kata Mohd Dusuki.

Pada prosiding hari ini, Rosmah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187,500,000 dan menerima rasuah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

SUMBER: BERNAMA