Categories
AGENDA NASIONAL

Najib tak pernah tanya terlebih pengeluaran dalam akaun

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah bertanya mengapa akaun peribadinya di Ambank mencatatkan terlebih pengeluaran.

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, 48, berkata pemegang mandat iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, juga tidak pernah bertanya kepadanya mengenai perkara itu.

Saksi ke-54 pendakwaan kitu memberitahu demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram pada perbicaraan Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Perbicaraan memasuki hari ke-41.

Sithambaran: Pernahkah anda ditanya oleh pemegang akaun atau pemegang mandat kenapa akaun itu merekodkan terlebih pengeluaran?

Yu: Tidak; apabila saya memberitahunya (Nik Faisal Ariff), dia hanya menerimanya.

Sithambaran: Pernahkah anda ditanya oleh pemegang akaun atau pemegang mandat mengapa ada wang yang tidak dibenarkan?

Yu: Saya tidak menghubungi pemegang akaun.

Semasa menjawab soalan Sithambaran tentang sama ada saksi itu tahu bahawa Najib terkejut apabila mengetahui bahawa sejumlah besar wang melibatkan berjuta-juta telah depositkan ke dalam akaun peribadinya, Yu berkata dia tidak menyedarinya.

Sementara itu, apabila ditanya sama ada penyata akaun itu dihantar kepada Najib dan Nik Faisal Ariff, Yu berkata ya.

Sithambaran : Berdasarkan penyata itu, adalah pemegang akaun mengetahui mengenai dana dalam akaunnya?

Yu : Ya.

Sithambaran : Selain penyata bank, adakah ada sebab mengapa pemegang akaun perlu tahu (tentang) aliran wang?

Yu : Apabila ada pengeluaran, mereka akan tahu dan penyata bank juga memaklumkan tentang bakinya.

Terdahulu, Sithambaram bertanya kepada Yu tentang perbualan antara beliau dan ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, pada 9 Jun, 2014.

Yu diminta memberi huraian lebih lanjut dan beliau menjelaskan bahawa apabila Nik Faisal Ariff tidak ada di bandar, beliau akan bertemu (Jho Low) untuk mendapatkan dokumen.

Sithambaram juga bertanya mengapa Yu tidak menghubungi Najib secara peribadi apabila Nik Faisal Ariff tidak dapat hadir dan saksi itu menjawab bahawa dia tidak dapat berhubung dengan Najib secara peribadi.

“Kami mendapat arahan kerana perlu berhubung dengan Nik Faisal, pemegang mandat dan kami mengikut surat itu,” katanya.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Najib tidak dibenar akses penyata banknya

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dibenar mendapatkan dokumen berhubung penyata akaun Ambank miliknya.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak pembela telah meminta dokumen berkenaan dari Ambank bagi tujuan persediaan pembelaan anak guamnya, namun pegawai bank berkenaan memberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi sepucuk surat menyatakan bahawa mana-mana pihak yang meminta dokumen berkenaan perlu melalui SPRM terlebih dahulu.

“Di bawah peruntukan apa saya tidak boleh mendapatkannya kerana ini akaun anak guam saya. Dia masih kekal sebagai pemegang akaun meskipun jika dia ingin menutupnya hari ini dia masih boleh meminta apa juga akaun yang ternyata.

“Dia berurusan untuk pembelaan dirinya yang sudah tentu ia tidak boleh dirahsiakan daripadanya kerana ini akaun dia,” kata Muhammad Shafee.

Beliau berkata, pihak pembela telah memohon kepada bank berkenaan untuk mendapatkan dokumen bank Najib yang kemudian dijawab oleh pihak bank perkara itu perlu dirujuk kepada SPRM.

“SPRM tidak peduli pun untuk kembali mendapatkan kami. Bukan kuasa SPRM untuk menghalang seseorang pelanggan bank daripada mendapatkan penyata akaunnya. Ini adalah satu penyalahgunaan proses.

Oleh itu, kami meminta mahkamah untuk mengeluarkan satu arahan agar SPRM menerusi pendakwaraya perlu menarik kembali arahan agar pelanggan saya boleh mendapatkan maklumat mengenai akaun miliknya,” katanya.

Pendakwaraya ad-hoc, Datuk V.Sithambaram menjawab bahawa pendakwa akan memeriksa perkara itu dan akan kembali ke mahkamah Isnin hadapan.

Terdahulu, mahkamah telah mendengar hujah daripada Muhammad Shafee dan Harvinderjit Singh, yang juga mewakili Najib, untuk pembelaan yang bertanya soalan kepada saksi dari Ambank berhubung transaksi bank dari 2013 yang dikredit ke dalam bank akaun Najib.

Sithambaram membantah terhadap permintaan pihak pembela dengan berkata bahawa permohonan itu tidak relevan kerana ia bukan perihal perkara pertuduhan pilihan terhadap Najib.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Nazlan membenarkan saksi berkenaan untuk mengesahkan hanya butiran transaksi akaun bank yang tertuduh.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 15 Julai. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saksi tidak dedah mesej siasatan 1MDB kepada Wall Street Journal

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Penganalisis digital dari Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan membocorkan transkrip mesej BlackBerry berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dirampas daripada Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu kepada akhbar perniagaan berpangkalan di Amerika Syarikat, The Wall Street Journal.

Suzairizman Shuib, 40, disoal oleh peguam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Harvinderjit Singh semasa pemeriksaan balas selepas beberapa siri artikel diterbitkan dalam akhbar itu pada tahun 2015.

“Kebocoran mesej WhatsApp atau Blackberry Messenger (BBM) bukan daripada saya,” katanya dan menambah beliau memberikan salinan transkrip itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Harvinderjit: Anda berkata hanya anda dan SPRM memiliki transkrip itu, adakah anda mengatakan kebocoran itu bukan daripada pihak anda?

Suzairizman: Yang pasti bukan daripada saya.

Saksi ke-46 pendakwaan itu bertugas di bahagian forensik digital di Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, BNM.

Terdahulu, Harvinderjit mempersoalkan kaedah yang digunakan saksi untuk mengekstrak maklumat daripada alat digital yang disita daripada Joanna dan dua lagi Pengurus Perhubungan Ambank, Krystle Yap dan Daniel Lee.

“Sekiranya kita tidak dapat menentukan kandungan transkrip, lebih baik menggunakan Notepad memandangkan ia merupakan aplikasi yang paling selamat seperti yang saya katakan di dalam laporan saya, bagi membolehkan saya menganalisisnya, saya harus formatkan agar mudah dibaca,” katanya.

Bagaimanapun, saksi berkata sebahagian daripada kenalan dibiarkan kosong kerana ia tidak dapat dipadankan, kerana ia tidak disimpan di dalam senarai kenalan.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 15 Julai. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bekas Pengerusi KWAP akui pembiayaan SRC tanpa projek

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Bekas Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, tiada sebarang projek yang wujud menggunakan wang RM4 bilion yang dipinjam oleh syarikat SRC International Sdn Bhd daripada KWAP.

Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67, yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, berkata ini berbeza dengan projek lain yang mendapat desakan untuk disegerakan oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada hari ke-36 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh pertuduhan dalam kes penyelewengan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Terdahulu, saksi ke-45 pendakwaan itu ditanya mengenai dua projek iaitu projek penginapan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) dan projek Lebuhraya Utara-Selatan UEM yang telah diluluskan sebelum proses dokumentasi dan kertas kerja selesai.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim mengemukakan soalan itu dalam pemeriksaan semula berkaitan isu penganjuran kedua-dua projek walaupun dokumentasi belum disiapkan yang dibangkitkan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Suhaimi : Tan Sri telah dirujuk dengan dua projek yang jelas, yang semua orang tahu, pertama di LIMA, tempat penginapan yang perlu disediakan dan kertas kerja dibuat kemudian. Soalnya, walaupun ada desakan (untuk menyegerakan projek) tidak mengikut peraturan asal, projek itu wujud atau tidak? Dapat dilihat atau tidak di Langkawi?

Wan Abdul Aziz : Ya (projek itu wujud dan dapat dilihat di Langkawi).

Suhaimi : Dan Lebuhraya Utara-Selatan UEM, ada atau tidak jalan raya yang boleh digunakan sekarang?

Wan Abdul Aziz : Ya (Lebuhraya Utara-Selatan UEM ada dan boleh digunakan sekarang).

Suhaimi : Bagi SRC pula, bila pembiayaan dikeluarkan, sehingga sekarang ada atau tidak kita nampak apa yang dilakukan dengan wang yang dipinjam?

Wan Abdul Aziz : “Tidak (nampak).”

Suhaimi juga menyoal sama ada semasa pertemuan antara Wan Abdul Aziz dan Najib, bekas Perdana Menteri itu telah memberi bayangan mengenai rancangan dan masa hadapan SRC, namun saksi itu berkata beliau hanya diberitahu bahawa syarikat itu memerlukan pembiayaan segera dan pengeluaran dana lebih awal.

Kepada soalan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sama ada Najib memaklumkan perkara lain mengenai SRC kepada beliau (selain diminta mempercepat pengeluaran pinjaman lebih awal sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan), saksi itu menjawab “tiada.”

Terdahulu, Muhammad Shafee menjelaskan bahawa ada ketika pada masa lepas, yang melihat kertas kerja bagi satu projek atau wawasan oleh kerajaan yang muncul selepas kerja-kerja untuk projek berkenaan dimulakan.

Beliau memberi contoh dua projek (pameran LIMA di Malaysia dan Lebuhraya Utara-Selatan UEM) yang dilaksanakan sebelum Najib memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Muhammad Shafee : “Ia tidak salah atau tidak sesuai. Adakah anda bersetuju bahawa tidak ada salah laku kerana kadang-kadang ia perlu dilakukan?”

Wan Abdul Aziz : Ya.

Muhammad Shafee : Ini juga ide di sebalik sebab Perdana Menteri berusaha gigih, dia desak dan kertas kerja menyusul.

Saksi itu berkata “ya.”

Terdahulu, Suhaimi merujuk saksi itu kepada dokumen permohonan pembiayaan yang dikemukakan SRC kepada KWAP.

Menjawab soalan kepada siapa SRC kemukakan permohonan pembiayaan itu, Wan Abdul Aziz berkata ia ditujukan terus kepada Najib dan bukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Azian Mohd Noh.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Mohd Nazlan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

SRC beri justifikasi ringkas mohon pinjaman RM2 bilion

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Seorang bekas pegawai kanan dari Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa SRC International Sdn Bhd hanya memberikan satu perenggan justifikasi bagi permohonan mendapat jaminan kerajaan untuk pinjaman pertama sebanyak RM2 bilion pada 2011.

Bekas Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan dan Aktuari, Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad, 65, berkata justifikasi yang dinyatakan itu tidak mencukupi untuk dibentangkan kepada Kabinet kerana maklumat yang diberikan adalah terhad.

Saksi pendakwaan ke-43 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari ke-33 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Suhaimi: Adakah kamu mempunyai peluang untuk menyemak keperluan dalam jaminan kerajaan itu, seiring dengan apa yang dikehendaki oleh SRC International melalui Nik Faisal Ariff Kamil pada masa itu?

Maliami: Pada masa itu, maklumat yang diberikan kepada saya adalah terhad. Surat (dari SRC International memohon jaminan kerajaan) hanya mempunyai dua perkara iaitu syarat pinjaman dan justifikasi pinjaman, yang hanya satu perenggan. Ini tidak cukup untuk dikemukakan kepada Kabinet.

Justifikasi itu menyatakan “tujuan jaminan kerajaan adalah untuk memastikan bekalan sumber tenaga berterusan dalam jangka masa panjang untuk kegunaan negara ini dan penjanaan ekonomi negara.”

Menjawab soalan tambahan daripada Suhaimi mengapa beliau menurunkan tandatangan pada surat dari Kementerian Kewangan kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang memohon untuk mengeluarkan wang pinjaman kepada SRC sebelum jaminan kerajaan dimuktamadkan, saksi itu berkata beliau hanya mengikuti arahan.

Tambahnya lagi, perkara tersebut merupakan kali pertama berlaku kerana ia bukanlah amalan biasa kementerian itu disebabkan surat jaminan kerajaan belum dikeluarkan lagi.

Suhaimi: Kenapa kamu tandatangan?

Maliami: Saya sebagai pegawai yang bertanggungjawab terpaksa mengikuti arahan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu kerana beliau ada memaklumkan Perdana Menteri meminta untuk pengeluaran disegerakan.

Suhaimi: Siapa Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu?

Maliami: Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah

Ketika ditanya mengapa dana pinjaman RM2 bilion pertama tersebut ditegaskan hanya untuk pembiayaan sektor sumber asli sahaja, saksi itu berkata pihaknya mengambil kira faktor perniagaan utama SRC yang merupakan sumber asli selain perlu memastikan wang yang diperoleh dibelanjakan dengan tepat selaras dengan yang telah diperakukan Kabinet.

Namun, dalam satu mesyuarat pada 12 April 2012 di Kementerian Kewangan yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, KWAP dan pegawai dari Kementerian Kewangan, Maliami berkata Nik Faisal telah menggesa untuk memasukkan perkataan “modal pusingan” bagi meminda tujuaan kegunaan pinjaman itu.

Menurut Maliami, Kabinet kemudian meluluskan pindaan tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Arahan Najib melalui orang tengah untuk kelulusan pinjaman SRC RM2 bilion

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa arahan bagi menyegerakan proses penyediaan Memorandum Jemaah Menteri (MJM), untuk pengeluaran Surat Jaminan Kerajaan berhubung kelulusan pinjaman pertama SRC International Sdn Bhd sebanyak RM2 bilion datang daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui orang tengah.

Bekas Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan & Aktuari, Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Maliami Hamad berkata, bagi penyediaan MJM untuk kelulusan pinjaman pertama SRC itu, beliau telah menerima tekanan supaya MJM disediakan segera untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2011.

“Masa adalah terhad. Arahan keperluan untuk menyegerakan penyediaan MJM juga bukan sahaja datang daripada SRC tetapi Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) sendiri iaitu Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang saya tahu menerima arahan daripada Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib.

“Saya turut menerima arahan sama daripada arwah Datuk Azlin Alias yang pada masa itu merupakan Ketua Setiausaha sulit Perdana Menteri.

Saya percaya bahawa arahan arwah Datuk Azlin Alias adalah terus daripada Perdana Menteri,” katanya semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Najib.

Saksi pendakwaan ke-43 itu berkata arahan yang beliau terima adalah secara lisan untuk memastikan MJM berkaitan disediakan dengan segera untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri pada minggu sama.

“Semua arahan dan tekanan yang saya terima daripada semua pihak berkaitan telah saya turunkan kepada pegawai-pegawai bawahan saya. Saya juga telah mengarahkan Puan Afidah Azwa Abdul Aziz ( Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan) untuk memastikan MJM disediakan untuk pertimbangan dan tandatangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada hari yang sama, supaya dapat dikemukakan kepada Bahagian Kabinet, JPM pada hari sama iaitu pada 15 Ogos 2011,” katanya.

Maliami, 65, berkata selepas MJM dilengkapkan, draf telah dikemukakan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) untuk pertimbangan dan beliau (Nor Mohamed) telah menandatangani MJM pada 15 Ogos 2011.

Katanya MJM telah dibentangkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2011 dan Surat Jaminan Kerajaan bertarikh 26 Ogos 2011 telah ditandatangani Menteri Kewangan II pada masa itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk pembiayaan pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC berjumlah RM2 bilion.

Maliami berkata bagi permohonan Jaminan Kerajaan kedua oleh SRC pada 27 Januari 2012, pihak SRC telah sekali lagi datang ke Kementerian Kewangan untuk membincangkan keperluan segera bagi Jaminan Kerajaan itu.

Maliami berkata berhubung penyediaan MJM bagi permohonan Jaminan Kerajaan pertama pada 2011 dan Jaminan Kerajaan pada 2012, beliau telah ditanya oleh pegawai bawahannya, Afidah Azwa, mengapa Kementerian Kewangan perlu segerakan proses penyediaan MJM.

“Ini adalah kerana Puan Afidah Azwa tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat pengesahan maklumat yang diterima daripada pihak SRC sebelum dimasukkan ke dalam MJM yang disediakan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Saya telah maklumkan kepada Puan Afidah Azwa bahawa arahan kepada saya daripada KSP (Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz) adalah untuk berbuat demikian dengan segera kerana SRC mendapat perhatian khas daripada Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib sendiri dan keperluan dana SRC adalah mendesak,” katanya.

Saksi itu juga berkata sebelum ini, prosedur biasa Kementerian Kewangan bagi mana-mana MJM, ia diangkat kepada Menteri Kewangan II untuk pertimbangan dan tandatangan.

“Sebaliknya bagi MJM ini (pinjaman kedua) ia diangkat terus kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk pertimbangan dan tandatangan,” katanya.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

SRC, Gandingan Mentari tidak pernah buat laporan kerugian

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah tinggi di sini bahawa SRC International Sdn Bhd mahu pun subsidiarinya, Gandingan Mentari, tidak membuat laporan berhubung dana dicuri daripada akaun syarikat.

Saksi pendakwaan ke-42 itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram pada hari ke-33 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Sithambaram: Daripada apa yang kami tunjukkan kepada anda, transaksi antara 2014 dan 2015 dan melibatkan ratusan juta ringgit. Adakah SRC International atau Gandingan Mentari membuat sebarang laporan mengenai dana dicuri daripada akaun?

Suboh menjawab: “tidak.”

Sithambaram: Adakah anda tahu sama ada SRC atau Gandingan Mentari mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap bank di atas pemindahan yang salah?

Suboh: Tidak setahu saya.

Sithambaram: Dari semua bentuk transaksi yang ditunjukkan kepada anda, adakah anda nampak apa-apa wang yang masuk ke akaun Nik Faisal Ariff Kamil?

Suboh: Tidak

Sithambaram: Ada dana masuk ke akaun anda?

Suboh: Tidak

Kepada soalan lain, Suboh berkata kemasukan Artikel 117 ke dalam artikel SRC International berhubung pelantikan penasihat emeritus mengubah syarikat itu.

“SRC International bukan lagi syarikat biasa selepas artikel itu dimasukkan. Kemasukan Artikel 117 itu mengubah kedudukan. Artikel itu…anda perlu, untuk beroperasi, mendapatkan arahan daripada siapa sahaja yang duduk di sana.

Sithambaram: Siapa penasihat emeritus ini?

Suboh: Beliau Perdana Menteri ketika itu.

Sithambaram: Dan untuk rekod, siapa perdana menteri ketika itu?

Suboh: Datuk Seri Najib.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Suboh tidak tahu kenapa Nik Faisal memintanya ke Bangkok

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Bekas pengarah bukan-eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak tahu sebab bekas ketua pegawai eksekutif, Nik Faisal Ariff Kamil meminta beliau ke Bangkok, Thailand pada 2015 dan 2018.

Suboh, 68, saksi pendakwaraya ke-42 berkata, tidak terlintas dalam fikirannya untuk bertanya Nik Faisal kenapa dia perlu pergi ke Bangkok.

Suboh menjelaskan bahawa pada 2018, Nik Faisal menghubungi dan meminta dia sekali lagi terbang ke Bangkok tetapi dia enggan untuk mematuhinya.

“Saya tidak bertanya kerana saya enggan pergi. Saya kata maaf, Saya tidak akan pergi ke Bangkok,” kata Suboh.

Saksi itu ditanya oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa perbicaraan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memasuki hari ke-33 hari ini.

Suboh berkata, kali kedua Nik Faisal mengarahkan dia pergi ke Bangkok menerusi satu panggilan telefon ketika dia (Suboh) berada di Indonesia bersama isterinya.

Suboh pasti individu yang memanggil beliau pada 2015 dan 2018 serta meminta dia ke Bangkok ialah Nik Faisal walaupun dia baru saja mendengar suara itu menerusi satu panggilan telefon.

Menjawab kepada soalan Muhammad Shafee sama ada Suboh mempunyai sebarang keraguan terhadap arahan Nik Faisal dan perlunya satu alasan kenapa Suboh perlu akur, saksi menjawab dia tidak mengetahui dan keliru.

Muhammad Shafee bertanya lanjut kepada Suboh sama ada dia telah melakukan sesuatu yang salah hingga menyebabkan dia terpaksa lari ke Bangkok, namun Suboh menafikan perkara itu.

Muhammad Shafee : Kenapa anda pergi?

Suboh : Kerana Nik Faisal meminta saya supaya ke sana.

Muhammad Shafee : Anda tidak mencari sebabnya?

Suboh : Ya.

Muhammad Shafee : Adakah Nik Faisal memberitahu anda supaya pergi kerana anda telah menandatangani satu cek?

Suboh : Tidak

Muhammad Shafee : Adakah dia mencadangkan anda, kami sekarang sedang siasat?

Suboh : Tidak

Menjawab kepada soalan Muhammad Shafee sama ada isteri Suboh meminta mereka ke Bangkok pada 2015 untuk berbulan madu, Suboh berkata “Tidak”.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Awam, Datuk V.Sithambaram berkata, pihak pembela mengeluarkan 17 slaid pameran dari mahkamah Rabu lepas yang berkemungkinan mengganggu bukti.

Sithambaram menjelaskan bahawa meskipun dokumen berkenaan penting bagi perbicaraan, slaid yang berkenaan sudah tiada di mahkamah hari ini.

“Semua dokumen berkenaan adalah penting, kalaupun tidak dalam mahkamah, ia mungkin mengganggu,” katanya.

Muhammad Shafee menjelaskan bahawa slaid berkenaan dibawa keluar kerana pihak pembela mahu membuat salinan di sebuah kedai terletak di luar mahkamah.

“Tidak ada muslihat di sini, kerana seseorang perlu membuat salinannya,” kata beliau.

Peguam Negara, Tommy Thomas mencelah bahawa memandangkan mahkamah adalah penjaga sebenar bahan kes, sebarang cubaan untuk membawa keluar dari mahkamah perlu dilakukan secara terbuka dan telus.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menasihati pihak pembela agar mendapatkan kebenaran daripada mahkamah sebelum mengeluarkan sebarang bahan bukti.

Najib, 66, didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahguna kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan disambung pukul 2.30 petang. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahkamah tolak penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib 19 Ogos

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, akan bermula pada 19 Ogos seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah yang menolak permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas bagi mendapatkan penangguhan.

“Ini kali ketiga penangguhan dipohon dan mahkamah ini berpendapat bahawa ia tidak boleh membenarkan satu lagi penangguhan berikutan arahan amalan mahkamah.

“Sehubungan itu, perbicaraan akan bermula pada 9 pagi, 19 Ogos,” kata beliau, dan menambah, pengurusan kes yang ditetapkan pada 15 Julai juga telah dilapangkan.

Hakim Sequerah sebelum ini menetapkan 19 hingga 29 Ogos; sepanjang September dan Oktober kecuali hari Jumaat; dan dua minggu pertama pada November, bagi perbicaraan kes 1MDB Najib.

Terdahulu, Thomas yang merupakan pendakwa raya utama dalam perbicaraan kes Najib membabitkan SRC International Sdn Bhd, memohon penangguhan bagi perbicaraan kes 1MDB yang ditetapkan pada Ogos dan September untuk memberi laluan kepada perbicaraan SRC diselesaikan terlebih dahulu.

Thomas memberitahu mahkamah pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar perbicaraan kes SRC International, bahawa kes itu mungkin tidak dapat diselesaikan sebelum 15 Ogos.

“Ini akan menimbulkan kesukaran bagi perbicaraan nombor dua (merujuk kepada kes 1MDB) untuk bermula sebelum kes pertama (merujuk kepada kes SRC) selesai di mahkamah,” kata Peguam Negara.

Permohonan Thomas kemudiannya disokong oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang memberitahu mahkamah beliau juga mahu memastikan kes SRC selesai terlebih dahulu sebelum perbicaraan kes 1MDB boleh didengar di mahkamah.

Najib berdepan empat pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion.

Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan di sini antara 2011 dan 2014.

Bekas perdana menteri itu turut menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kenyataan Suboh kepada SPRM adalah dari mulutnya sendiri

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Saksi utama perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC), hari ini tetap dengan pendirian bahawa kenyataan yang diberikan beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah dari mulutnya sendiri.

Bekas pengarah bukan eksekutif SRC Datuk Suboh Md Yassin, 68, turut menolak cadangan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, bahawa beliau ditunjuk ajar oleh pegawai-pegawai SPRM, atau Timbalan Pendakwa Raya atau berbincang dengan mereka, semasa menyediakan kenyataan saksi bagi tujuan perbicaraan.

Perkara itu timbul semasa Harvinderjit bertanya sekiranya Suboh tahu bahawa beberapa bahagian daripada kenyataan saksi berhubung peranan Najib dalam syarikat itu menyamai dengan kenyataan saksi Tan Sri Ismee Ismail (bekas pengerusi lembaga SRC International). Perenggan itu turut menyatakan bahawa anggota lembaga SRC akan bertindak selaras dengan nasihat penasihat SRC, yakni Najib.

Harvinderjit : Semuanya dalam kenyataan saksi anda, tiap satu perkataan, semuanya adalah dari mulut anda sendiri?

Suboh : Ya.

Harvinderjit : Anda pasti, Datuk?

Suboh : Ya.

Harvinderjit : Datuk, saya nak tunjukkan kepada anda kenyataan saksi oleh Tan Sri Ismee. Boleh anda lihat perenggan sembilan kenyataan itu, dan juga perenggan enam kenyataan anda. Boleh anda lihat ia menggunakan perkataan yang sama.

Suboh : Saya hanya beri kenyataan. Saya katakan (dictated) kenyataan saya kepada pegawai SPRM, dan selepas dua hari, saya ditunjukkan kenyataan itu, dan saya berpuas hati dengannya.

Menjawab satu lagi soalan berhubung pinjaman RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Suboh berkata beliau tidak tahu bagaimana dan ke mana wang itu dipindahkan.

SRC memperoleh pinjaman RM2 bilion pada 28 Ogos 2011, manakala pada 28 Mac 2012, syarikat itu diberikan pinjaman kedua RM2 bilion daripada KWAP.

Harvinderjit : Sama ada mana-mana wang RM2 bilion ini masuk ke akaun SRC, dan kemudiannya keluar sehingga sampai ke lain-lain bank, Datuk tidak dapat pastikan?

Suboh : Tidak

Harvinderjit : Berhubung pinjaman kedua RM2 bilion, adakah Datuk tahu bahawa pada 28 Mac 2018, wang itu masuk ke dalam akaun SRC dan dua hari kemudian ia dipindahkan ke akaun lain? Anda tidak dpat pastikan, betul?

Suboh : Ya

Harvinderjit : Bagaimana RM4 bilion digunakan pun, anda tidak dapat nyatakan.

Suboh : Ya.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bersambung Isnin, dengan Harvinderjit menyambung pemeriksaan balas ke atas Suboh.

Harvinderjit meminta saksi supaya tidak berbincang mengenai kes itu dengan sesiapa, dan Hakim Mohd Nazlan mengingatkan saksi supaya tidak bercakap mengenai keterangannya dengan lain-lain saksi.

Mengikut undang-undang, seorang saksi yang telah mengangkat sumpah dalam perbicaraan kes di mahkamah, dilarang daripada berbincang mengenai kes itu dengan sesiapa jua. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hanya tinggal RM264 dalam akaun bank SRC setakat Feb 2012

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tentang fakta mengejutkan bahawa satu daripada akaun bank SRC International Sdn Bhd tinggal baki hanya RM264, bertentangan dengan dakwaan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Nik Faisal Ariff Kamil bahawa akaun itu masih ada baki RM16 juta.

Bekas pengarah bukan-eksekutf SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin, 68, bersetuju dengan hal itu selepas beliau ditunjukkan dokumen bagi satu akaun dengan nombor berakhir 650 oleh peguam bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Harvinderjit Singh.

Harvinderjit berkata hanya RM264 pada baki setakat 28 Februari, 2012 dan Suboh adalah orang yang menandatangani akaun itu.

Bagaimanapun, satu lagi entri pada 29 Februari, 2012 untuk satu akaun ‘misteri’ dengan nombor berakhir 736 menyatakan terdapat baki RM17,808.60.

Saksi pendakwaan ke-42 bersetuju dengan hal ini semasa disoal balas oleh Harvinderjit pada hari ke-32 perbicaraan Najjib berhubung pelesapan dana SRC sebanyak RM42 juta.

Semasa prosiding lepas, mahkamah mendengar keterangan daripada bekas pengerusi lembaga SRC International Tan Sri Ismee Ismail yang berkata bahawa Nik Faisal pada satu ketika memberitahu satu mesyuarat lembaga bahawa SRC International mempunyai RM16 juta dalam akaunnya.

Harvinderjit: Jadi wang pelaburan yang dikatakan, dilaburkan dalam usaha sama dengan Aabar Investments, saham dalam syarikat Gobi Coal and Energy Limited dan berjuta-juta dalam Julius Baer bank di Hong Kong, sama ada mana-mana wang ini pada ketika ini berada dalam bank anda tidak pasti?

Suboh: Ya.

Dalam responnya kepada perkara itu, Suboh berkata beliau percaya pengarah-pengarah SRC yang lain telah mengeluarkan wang itu tanpa beliau mengetahuinya.

Dalam pada itu, saksi utama itu juga bersetuju dengan andaian Harvinderjit bahawa masa tiga bulan yang diambil bagi membuka akaun kedua SRC adalah terlalu lama.

Peguam itu juga merujuk kepada dua Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) lembaga pengarah SRC yang telah memutuskan membuka satu akaun untuk SRC dalam satu mesyuarat pada 23 Ogos 2011 tetapi hanya dibuka tiga bulan kemudian pada November 2011.

Harvinderjit: Melihat pada folder ini, dua DCR ini menyentuh mengenai pembukaan satu akaun pada Ogos tetapi ia hanya dibuka lewat tahun itu, mengapa kelewatan itu Datuk tak tahu?.

Suboh: Tidak.

Harvinderjit: Saya percaya anda tidak ada melihat kenyataan bagi akaun ini?

Suboh: Tidak.

Kepada soalan oleh Harvinderjit sama ada beliau sedar bahawa 1MDB pada satu ketika memohon pinjaman RM3.95 bilion bagi membentuk SRC, saksi menjawab beliau tidak tahu tentang permintaan itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pada 8 Julai. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Suboh tidak tahu tentang akaun ‘rahsia’ SRC

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak tahu tentang kewujudan akaun “rahsia” di AmBank yang menerima pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk syarikat itu pada 2011.

Saksi ke-42 pihak pendakwaan itu memberitahu demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung pelesapan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Perbicaraan memasuki hari ke-32 hari ini.

Harvinderjit: Bilakah SRC memperoleh pinjaman KWAP yang pertama?

Suboh: Saya tidak tahu.

Harvinderjit: Tidak seorangpun pengarah dalam SRC atau Nik Faisal Ariff Kamil (CEO) memberitahu anda bahawa terdapat satu lagi akaun bagi SRC yang menyaksikan nombor akaun berakhir dengan 736?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Mengenai akaun 736, anda tidak tahu, anda bukan penandatangan untuk akaun itu?

Suboh: Tidak pernah.

Harvinderjit: Tidak seorangpun pengarah dalam SRC dilantik oleh anda… Jadi, sekarang anda benar-benar terkejut?

Suboh: “Ini macam pun bolehkah,” katanya yang kelihatan terkejut.

Saksi itu juga memberitahu bahawa dia tidak pernah melihat penyata akaun “rahsia” SRC di bank tersebut.

Kepada soalan lain, beliau berkata transaksi dari Januari 2011 hingga 31 Ogos, 2015 adalah di luar pengetahuannya.

Suboh juga bersetuju bahawa RM2 bilion dari KWAP masuk dan keluar pada hari yang sama selepas Harvinderjit merujuk penyata bank itu kepadanya.

Mengenai perkara lain, Suboh bersetuju dengan Harvinderjit bahawa Nik Faisal bukan lagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan SRC International apabila syarikat tersebut melantik Ihsan Perdana Sdn Bhd sebagai rakan tanggungjawab sosial korporat.

Harvinderjit: Adakah anda tahu bahawa tempoh perkhidmatan Nik Faisal telah berakhir pada 11 Ogos, 2014?

Suboh menjawab “Ya.”

Menjelang akhir sesi pagi, Harvinderjit bertanya kepada sdaksi itu sama ada dia mahu berehat sebentar lalu Suboh menjawab “tidak perlu.”

“Anda perlukan rehat?” Suboh pula kemudian bertanya kepada Harvinderjit, yang disambut dengan gelak-ketawa daripada orang awam di galeri.

Tidak lama kemudian, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan rehat selama lima minit.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung. – BERNAMA