Categories
NASIONAL

Gaji Ku Nan RM14,907.20 sebulan – Saksi

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menerima gaji sebanyak RM14,907.20 sebulan dari tahun 2013 hingga 2018.

Setiausaha Bahagian (Perlembagaan dan Urusan Parlimen), Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri Daman Huri Nor, 55, mengesahkan perkara itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

“Gaji RM14,907.20 sebulan dan elaun RM24,320.00 sebulan yang diterima oleh Tengku Adnan dibayar oleh kerajaan mengikut kementerian masing-masing bagi tempoh parlimen penggal ke-13,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

Saksi ketiga pendakwaan itu turut mengecam dan mengesahkan Surat Cara Pelantikan Menteri Persekutuan bertarikh 16 Mei 2013 yang dikemukakan kepadanya oleh Julia.

Menurut Daman Huri, dokumen tersebut (Surat Cara Pelantikan Menteri Persekutuan) adalah watikah pelantikan Tengku Adnan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

“Saya juga sahkan bahawa Perakuan Tentang Kedudukan atau Jawatan yang dipegang oleh Tengku Adnan bertarikh 28 Julai 2018 disediakan oleh saya,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok dengan empat orang saksi dijangka memberi keterangan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bekas pemandu peribadi: Ku Nan minta tebus cek RM2 juta

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Bekas pemandu peribadi kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah diminta oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu untuk mendepositkan cek berjumlah RM2 juta ke dalam akaun milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd.

Nik Yahaya Nik Mustapha, 54, ketika membacakan penyataan saksinya turut mengesahkan bahawa beliau telah menerima cek berkenaan daripada Tengku Adnan di pejabatnya pada 14 Jun 2016.

“Datuk Seri Tengku Adnan telah meminta saya untuk menebus cek ini kepada akaun Tadmansori bernombor 8001179747 dan saya telah membawa cek itu ke CIMB Berhad Damansara Centre Town untuk ditebus ke dalam akaun milik syarikat berkenaan,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri pada hari pertama perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

Saksi keempat pendakwaan itu berkata demikian ketika Haderiah merujuk kepadanya sekeping cek Hong Leong Islamic Bank berjumlah RM2 juta bertarikh 14 Jun 2016 daripada Aset Kayamas Sdn Bhd kepada Tadmansori Holdings.

Nik Yahya, yang bekerja selama 24 tahun sebagai pemandu peribadi Tengku Adnan sebelum berhenti pada Jun 2018, juga mengesahkan di muka belakang cek itu terdapat nombor akaun syarikat Tadmansori dan mengesahkan nombor telefon 0193070714 yang tertera di belakang cek itu adalah miliknya (Nik Yahya).

“Saya sahkan nama, nombor akaun dan nombor telefon yang ditulis di belakang cek itu adalah tulisan tangan saya yang dibuat sebelum saya menebus cek itu,” katanya yang turut memaklumkan beliau tidak tahu tujuan cek berkenaan dibuat dan tidak tahu siapa wakil Aset Kayamas.

Menceritakan mengenai tugasnya sebagai pemandu peribadi kepada Tengku Adnan, saksi itu berkata beliau juga seringkali menjadi pengawal peribadi untuk menggantikan pengawal peribadi majikannya yang bercuti atau sakit.

Katanya, beliau turut membawa Tengku Adnan ke tempat yang ingin dituju dan menerima arahan daripadanya dari masa ke semasa.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan, Nik Yahya memaklumkan bahawa bekas majikannya itu seorang yang agak sibuk berikutan jawatan tinggi yang disandangnya dalam kabinet dan parti.

Nik Yahya juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa Tengku Adnan adalah seorang yang bermurah hati dan kerap kali memberi sumbangan wang kepada orang yang memerlukan.

Ditanya sama ada sebagai pemandu dan pengawal peribadi, adakah beliau sering diminta oleh Tengku Adnan untuk menunaikan cek di bank, Nik Yahya menjawab: “saya tidak ingat”.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pendakwaan akan buktikan Tengku Adnan terima cek RM2 juta

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan menunjukkan keterangan bahawa cek RM2 juta diserahkan sendiri oleh ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu di pejabatnya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim yang membacakan penyataan pembukaan kes berkata keterangan akan menunjukkan Tengku Adnan yang merupakan tertuduh dalam kes ini telah mendapatkan untuk dirinya suatu barangan berharga iaitu wang RM2 juta tanpa balasan daripada Chai melalui cek Hong Leong Bank bernombor 136822 bertarikh 14 Jun 2016 milik Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd.

Cek itu telah didepositkan ke dalam akaun CIMB bernombor 80-0117974-7 milik Syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang mana tertuduh merupakan pemegang saham terbesar syarikat itu dan tertuduh juga mengetahui bahawa syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Julia berkata pendakwaan akan membuktikan bahawa pada 27 Januari 2015, Chai sebagai pengarah Syarikat Aset Kayamas telah menyerahkan surat “Cadangan Pembelian Tanah Untuk Tujuan Pembinaan Rumah Mampu Milik di Bawah harga RM200,000 dan Apartment Harga Bebas di atas Tanah Lot 53427 dan Lot 53653 seluas 4.05 ekar (1.64 hektar) di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur” bertarikh 26 Januari 2015 kepada tertuduh secara kediri.

“Tertuduh telah memberi arahan kepada Datuk Zulkifli Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan melalui minit tertuduh iaitu “Ybhg Datuk Zul, sila teliti cadangan ini dan jika boleh dilaksanakan mengikut kaedah kongsi sama. Harap maklum balas, sila bincang dengan syarikat,” kata Julia pada hari pertama perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. ​​​​​​

Beliau berkata keterangan akan menunjukkan bahawa permohonan pembelian tanah-tanah itu oleh Syarikat Aset Kayamas telah ditolak oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur melalui surat bertarikh 3 April 2015.

“Seterusnya, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan menunjukkan bahawa Syarikat Aset Kayamas telah secara berterusan berurusan dengan YB Menteri Wilayah Persekutuan (tertuduh) terhadap penolakan itu dan lain-lain urusan berkaitan cadangan projek itu,” katanya.

Julia berkata keterangan akan dikemukakan untuk menunjukkan peranan aktif Tengku Adnan dalam projek tersebut seperti mempengerusikan Mesyuarat OSC Khas pada 14 Mei 2015 di mana mesyuarat itu bersetuju dengan cadangan pembangunan projek tersebut yang mengandungi kediaman rumah mampu milik, rumah harga bebas dan asrama DBKL di atas tapak seluas 0.5 ekar (0.2 hektar).

Katanya pendakwaan juga akan membuktikan tertuduh telah bersetuju dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk Penjualan Harta Tak Alih milik Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Lot 53427 dan Lot 53653 di Bandar Tun Razak itu kepada Syarikat Aset Kayamas pada 27 Mei 2015.

“Tertuduh juga membenarkan rayuan Syarikat Aset Kayamas menangguhkan bayaran 10 peratus ke atas tanah berkaitan dan pengurangan penambahan harga jualan dari 20 peratus kepada 10 peratus,” katanya.

Julia berkata keterangan akan menunjukkan tertuduh mengetahui bahawa Syarikat Aset Kayamas milik Chai mempunyai urusan berterusan dengan DBKL dan tertuduh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Katanya pendakwaan akan membuktikan tertuduh meminta sumbangan daripada Chai dalam jumlah RM5 hingga RM6 juta bagi kegunaan pilihan raya kecil di mana Chai telah memberikan RM2 juta bagi maksud tersebut melalui sekeping cek Hong Leong Islamic Bank bernombor 136822 bertarikh 14 Jun 2016 milik Syarikat Aset Kayamas yang dibayar kepada syarikat Tadmansori dan cek RM2 juta itu diserahkan sendiri oleh Chai kepada tertuduh di pejabatnya di DBKL.

“Di dalam membuktikan kes terhadap tertuduh, pihak pendakwaan akan bergantung kepada keterangan langsung, keterangan ikut keadaan dan keterangan dokumen bagi menunjukkan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tertuduh Tengku Adnan bin Tengku Mansor, pada tarikh, masa dan tempat sepertimana yang terkandung dalam pertuduhan,” katanya.

Pada 23 Januari lepas, Tengku Adnan mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saksi sahkan transaksi deposit RM2 juta ke dalam akaun Tadmansori Holding

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu terdapat transaksi deposit RM2 juta oleh syarikat pemaju, Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd ke dalam akaun Syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd, yang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempunyai kepentingan, pada 14 Jun 2016.

Perkara itu disahkan oleh penolong pengurus CIMB cawangan Taman Setiawangsa, Khairolrony Kamarudin ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

“Merujuk kepada penyata CIMB Bank, akaun semasa atas nama Tadmansori Holding Sdn Bhd dan cek Hong Leong Islamic Bank milik Syarikat Aset Kayamas bertarikh 14 Jun 2016, saya sahkan terdapat kemasukan deposit berjumlah RM2 juta ke dalam akaun syarikat Tadmansori dan pembayaran adalah daripada Aset Kayamas,” kata saksi pendakwaan kedua itu ketika membacakan penyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun ketika disoal balas peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, saksi berumur 44 tahun itu bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa beliau tidak mengetahui tujuan cek tersebut dibayar.

Khairolrony juga apabila dirujuk penyata akaun semasa milik Tadmansori Holding bersetuju dengan Tan bahawa terdapat empat deposit wang masing-masing berjumlah RM2 juta ke dalam akaun tersebut untuk keseluruhan Jun 2016 iaitu pada 6 Jun, 14 Jun, 16 Jun dan 17 Jun.

Ketika dirujuk penyata akaun semasa yang sama milik Tadmansori Holding bermula 31 Mei 2016 sehingga 30 Jun 2016, saksi itu mengesahkan bahawa baki pembukaan akaun berkenaan bertarikh 31 Mei 2016, berjumlah RM2,982,567.32 dan baki penutup akaun bertarikh 30 Jun 2016, berjumlah RM27, 191,234.55.

Terdahulu, saksi itu merujuk kepada borang permohonan akaun semasa CIMB bagi Syarikat Tadmansori Holding bertarikh 8 Julai 1998 dan mengesahkan bahawa akaun tersebut dibuka oleh penama Tengku Adnan dan penama Tengku Dr Rethwan Tengku Mansor sebagai pengarah syarikat tersebut.

“Berdasarkan borang pembukaan ini juga, saya sahkan borang permohonan pembukaan ini ditandatangani oleh Tengku Datuk Adnan Tengku Mansor dan Tengku Dr Rethwan Tengku Mansor. Berdasarkan borang pembukaan, pembukaan akaun ini telah diluluskan di CIMB Cawangan Setiawangsa pada 23 Julai 1998,” katanya.

Saksi pertama pendakwaan, penolong pendaftar syarikat dan perniagaan di Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhamad Akmaludin Abdullah ketika merujuk kepada maklumat syarikat mengesahkan bahawa Chai merupakan pengarah Syarikat Aset Kayamas yang ditubuhkan pada 11 Jan 2011.

Menyentuh mengenai maklumat modal syarikat Tadmansori Holding yang ditubuhkan pada 25 Ogos 1987 pula, saksi berumur 36 tahun itu berkata jumlah syer yang diterbitkan adalah RM100,000,000.00.

“Maklumat pemegang syer syarikat Tadmansori Holding adalah RM4.00 pemilik syer Datuk Dr Tengku Rethwan Tengku Mansor dan RM99,999,996.00 pemilik syer Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bicara kes rasuah RM2 juta Ku Nan bermula esok

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Perbicaraan kes Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Chai Kin Kong akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Seorang Timbalan Pendakwa Raya berkata pihak pendakwaan akan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan.

Ketika ditanya beliau berkata empat saksi itu antaranya dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, bahagian Kabinet dan pegawai bank dijangka memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Perbicaraan kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada pukul 9 pagi.

Kes Tengku Adnan, 68, yang juga Anggota Parlimen Putrajaya ditetapkan untuk perbicaraan bermula 2, 3, 4, 9, 10 dan 11 Julai 2019.

Pada 23 Januari lepas, Tengku Adnan mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan, Tan Eng Boon berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013.

Perbicaraan kes itu yang akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bermula 3 September depan. – BERNAMA