Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Sungai Kim Kim: Hakim lawat lokasi kilang kitar semula tayar terpakai

JOHOR BAHRU, 4 DIS: Prosiding hari kedua perbicaraan kes pembuangan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim bermula dengan Hakim Mahkamah Sesyen Wan Mohd Norisham Wan Yaakob hari ini melawat kilang kitar semula tayar terpakai di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, di sini, yang dikaitkan dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, Mac lepas.

Wan Mohd Norisham tiba di kilang tersebut kira-kira 10 pagi bersama beberapa pihak berkepentingan dalam kes itu termasuk Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, TPR Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya Nor Azura Jumuddin serta saksi pertama pendakwaan, Pegawai Kanan Kawalan Alam Sekitar Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memegang gelaran sebagai Ketua Cawangan JAS Muar, Mohd Nazir Mansor.

Turut hadir, peguam G. Subramaniam Nair yang mewakili pengarah syarikat kilang kitar semula tayar terpakai itu, Wang Jing Chao, warga Singapura, dan Yap Loke Liang, peguam S. Ratakrishna yang mewakili pemandu lori syarikat, N. Maridass serta peguam Joshua Tay yang mewakili seorang lagi pengarah syarikat, Sim Wei Der, juga warga Singapura.

Saksi kedua pendakwaan, Ketua Penolong Pengarah Kanan di Seksyen Penilaian dan Pembangunan, Bahagian Bahan Berbahaya JAS Putrajaya, Ir Azlan Ahmad, dilihat turut hadir.

Kesemua mereka diberikan penerangan dan gambaran sebenar berhubung peralatan yang digunakan di kilang tersebut untuk proses mengitar semula tayar terpakai berkenaan oleh Mohd Nazir, selama kira-kira 45 minit.

Mereka kemudian menuju ke tiga lokasi lain di sekitar Pasir Gudang merangkumi dua kawasan iaitu lokasi Maridass meletakkan kenderaannya dan Sungai Kim Kim yang dikaitkan sebagai tempat pelupusan barangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak.

Esok perbicaraan di hadapan Wan Mohd Norisham di Mahkamah Sesyen, di sini, bersambung semula selepas perbicaraan kes tersebut dimulakan semalam.

Maridass, 35, didakwa melupuskan buangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim Kim, dengan menggunakan lori dan semi trailer tangki sawit, tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Wang, 34, Yap, 36, dan Sim, 50, pula didakwa bersubahat dengan Maridass untuk melupuskan barangan terjadual itu ke dalam Sungai Kim Kim menggunakan kenderaan terbabit.

Keempat-empat mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lepas di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim.

Maridass didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34 B(4) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun selain denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Wang, Yap dan Sim pula didakwa di bawah Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibaca bersama Seksyen 42 akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(3) akta sama iaitu dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

Selain berdepan pertuduhan itu, Wang, Yap dan Sim turut dikenakan 15 lagi pertuduhan masing-masing di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, akta yang sama.

Pertuduhan itu adalah kerana gagal membuat pemberitahuan mengenai buangan terjadual dan gagal menjalankan pemantauan berkala seperti ditetapkan mengikut akta itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perbicaraan kes pencemaran Sungai Kim Kim ditangguh

JOHOR BAHRU, 16 OKT: Perbicaraan kes seorang pemandu lori dan tiga pengarah syarikat yang didakwa melupuskan buangan terjadual ke Sungai Kim Kim, Mac lepas, yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan ke Disember.

Hakim Mahkamah Sesyen Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menetapkan tarikh baharu iaitu 3, 4 dan 5 Dis ini untuk perbicaraan kes keempat-empat Orang Kena Saman (OKS) iaitu pemandu lori, N. Maridass, 35, dan tiga pengarah syarikat, Wang Jing Chao, 34, Yap Yoke Liang, 36, dan Sim Wei Der, 50.

Mahkamah menetapkan tarikh itu selepas peguam Hussein Othman, memohon perbicaraan yang dijadualkan bermula hari ini dan esok itu ditangguh berikutan tiga lagi peguam yang mewakili kesemua OKS perlu menghadiri perbicaraan lain di Mahkamah Tinggi.

Tiada bantahan dikemukakan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Alam Sekitar Putrajaya Farra Nor Azura Jumuddin.

Hakim bagaimanapun melahirkan kekecewaan atas ketidakhadiran peguam bela dan OKS memandangkan kesukaran menetapkan tarikh perbicaraan hari ini mengikut kesesuaian semua pihak.

Pada 24 Mac lepas, Maridass didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melupuskan buangan terjadual tersebut ke dalam Sungai Kim Kim dengan menggunakan lori jenis Mitsubishi dan semi trailer tangki sawit. Pelupusan dilakukan tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Wang dan Yap pula didakwa pada hari sama atas tuduhan bersuhabat dengan Maridass untuk melupuskan barangan terjadual itu ke dalam Sungai Kim Kim menggunakan kenderaan terbabit.

Pada 25 April, Sim yang merupakan warga Singapura pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Maridass, Yap dan wang untuk melupuskan buangan terjadual itu ke Sungai Kim Kim.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Warga Singapura serah diri kes cemar Sungai Kim Kim

JOHOR BAHRU, 24 APR: Seorang pengarah syarikat warga Singapura yang dikehendaki berhubung kes pencemaran kimia di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, bulan lepas, menyerah diri hari ini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, lelaki berusia 49 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada pukul 11.17 pagi.

Katanya, suspek kini ditahan di lokap IPD Seri Alam.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 34B Akta Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 42 akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, polis Johor dilaporkan mengesan seorang pemilik kilang warga Singapura bagi membantu siasatan kes melupuskan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim.

Lelaki itu kemudiannya diletakkan dalam senarai orang dikehendaki dan pihaknya telah memohon bantuan pihak berkuasa Singapura untuk menahan lelaki tersebut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sungai Kim Kim: Polis buru pemilik kilang warga Singapura

JOHOR BAHRU, 24 MAC: Polis Johor sedang mengesan seorang pemilik kilang warga Singapura bagi membantu siasatan kes melupuskan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, awal bulan ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu kini diletakkan dalam senarai orang dikehendaki dan pihaknya telah memohon bantuan pihak berkuasa Singapura untuk menahan lelaki tersebut.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini, beliau berkata, lapan daripada 11 individu ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah didapati tidak terbabit dalam insiden pencemaran bahan toksik di sungai berkenaan.

Dalam pada itu, seorang pemandu lori dan dua pengarah syarikat mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuang dan bersubahat melupuskan bahan sisa toksik ke dalam sungai tersebut pada 7 Mac lalu.

Mohd Khalil juga menegaskan anggota dan pegawai yang terbabit dalam siasatan kes tersebut telah bekerja keras untuk menahan suspek berasaskan fakta yang diperolehi, sekali gus menepis dakwaan segentir netizen kononnya pihak polis hanya ‘wayang’ berhubung kes itu.

”Kita buat kerja seikhlas hati, sebaik mungkin. Kita tidak tangkap orang sesukati hati, mesti ada fakta dan apabila kita tangkap dengan fakta, kita juga mesti ada dapat jaminan pertuduhan, baru kita tuduh di mahkamah,” katanya.

Justeru, beliau meminta netizen supaya jangan mengguris hati anggota dan pegawai yang bertungkus lumus untuk cuba menyelesaikan kes itu dengan kadar segera.

SUMBER: BERNAMA