Categories
NASIONAL

Abai hak rakyat Sabah Sarawak, menteri kurang faham makna Perlembagaan

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 MEI : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi perlu memahami konteks sebenar Perlembagaan hak masyarakat Sabah dan Sarawak, kata Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul.

Beliau berkata, 1/5 keperluan pendapatan ekonomi negara perlu dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Negara.

Bagaimanapun, Johari berkata Putrajaya mengingkari prinsip tersebut apabila pembangunan ekonomi di Malaysia Timur itu tercicir daripada menikmati pulangan sebaiknya.

JOHARI ABDUL“Sabah dan Sarawak tidak menerima manfaat sama seperti semenanjung sedangkan mereka menjana pendapatan besar kepada negara. Soalnya, ini bukan hal tentang kelawar, musim buah atau tidak.

“Isunya hak rakyat Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia bahawa 1/5 daripada hasil negara perlu dikembalikan kepada mereka.

“Jadi adakah hak dan Perlembagaan Malaysia yang dijunjung semua rakyat dipatuhi Zahid dan Kerajaan Persekutuan?” katanya kepada SelangorKini.

Zahid sebelum ini berkata kononnya bantuan diberikan Kerajaan Persekutuan bukan dibuat secara bermusim seperti kelawar hadir pada musim buah.

Namun katanya, pentadbiran Putrajaya konsisten bertangunggjawab terhadap pembangunan pentadbiran kerajaan sesebuah negeri di bawah Barisan Nasional.

PRN SARAWAKAhli Parlimen Bagan itu mengulas dakwaan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berhubung pengumuman dana bantuan BN Sarawak pada pilihanraya ketika ini sebagai cubaan membeli undi.

Bagaimanapun Johari berkata, Kerajaan Persekutuan tidak sewajarnya membuat kenyataan mudah tanpa merealisasikan hasrat kepada perubahan bumi kenyalang.

“Kalau kerajaan melihat ini sebagai janji kososng, jelas mereka tidak laksanakan apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Lupakan soal kelawar datang dan pergi, fokusnya kebajikan Sabah Sarawak yang jauh ketinggalan disebabkan kegagalan pemerintah memahami konteks Perlembagaan,” katanya.

-nR-