Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP serbu dua kilang cetak logo jenama tiruan didalangi warga asing

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Dua premis kilang disyaki didalangi warga Bangladesh yang mencetak logo jenama tiruan pada pakaian diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, semalam.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata dalam serbuan kira-kira 10 pagi itu, pihaknya merampas 121 acuan bagi mencetak logo jenama terkenal, 4,630 helai pakaian dan satu set komputer dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan RM100,000 di kedua-dua premis yang terletak di Cheras.

Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua kilang yang beroperasi lebih daripada setahun itu, menjadi pusat mencetak logo tiruan pada pakaian sebelum dijual kepada pemborong utama sekitar Lembah Klang serta diedarkan bagi pasaran seluruh negara.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun yang dipercayai pemilik kedua-dua premis ini ditahan untuk diambil keterangan.

“Siasatan mendapati perniagaan ini dimiliki warga Bangladesh susulan stok bekalan dan rangkaian pekerja juga daripada negara sama,” katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata serbuan dibuat hasil risikan selama sebulan bermula daripada maklumat penjualan pada Febuari lepas.

Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya berjaya menumpaskan rangkaian utama sindiket pakaian berjenama tiruan dalam negara dan kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

– BERNAMA