Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TPM sahkan Kim Chol dan Kim Jong Nam orang sama

OLEH LIZAWATI MADFA

PUTRAJAYA, 16 FEB: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan lelaki warga Korea Utara, Kim Chol adalah Kim Jong Nam iaitu abang kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkara itu disahkan menerusi pasport dan dokumen pengenalan diri dikeluarkan Kedutaan Korea Utara.

“Ya, betul (dia adalah Kim Jong Nam). Pertama adalah (pengesahan) berdasarkan pasport yang dibandingkan dengan dokumen dikeluarkan Kedutaan Korea Utara.

“Kedua, berdasarkan (dokumen) pengenalan diri yang juga dikeluarkan kedutaan sama,” katanya dalam sidang media sejurus mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Bersama Wakil Industri Berkenaan Pekerja Asing, di sini, hari ini.

Zahid bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum menerima keputusan DNA dan perkara itu diserahkan kepada hospital dan polis untuk pengesahan rasmi.

Screen Shot 2017-02-14 at 10.14.22 PMSemalam, polis mengenal pasti lelaki Korea Utara yang cuba mendapatkan bantuan perubatan awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) itu sebagai Kim Chol, berdasarkan dokumen perjalanannya.

Pada 13 Februari lalu, beliau dilaporkan dihampiri seorang wanita yang menyerkup kepalanya dengan kain mengandungi cecair sebelum menghilangkan diri.

Kim Chol disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Terdahulu, media asing terlebih dahulu melaporkannya sebagai Kim Jong Nam.

-AA-

Categories
NASIONAL

Butiran lanjut kes bunuh Kim Chol didedah hari ini

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 FEB: Seorang lagi wanita ditahan pihak polis dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian seorang lelaki Korea Utara bernama Kim Chol, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun berkata, butiran lanjut berhubung penahanan itu termasuk kewarganegaraan akan didedahkan menerusi satu kenyataan rasmi, hari ini.

Pada masa sama, Timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim optimis pihaknya bakal melakukan beberapa siri tangkapan lagi susulan penahanan suspek pertama sebelum ini.

“Polis mempunyai maklumat mengaitkan suspek pertama yang kita tahan, semalam dengan kematian lelaki terbabit dan kami sedang giat mengesan beberapa lagi individu yang boleh dikaitkan dengan kes ini,” katanya lapor Bernama.

Semalam, seorang wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, ditahan ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sekitar jam 8.20 pagi.

Pada 13 Februari lalu, Kim Chol dilaporkan sedang berada di satu sudut di balai berlepas KLIA2 untuk menaiki penerbangan ke Macau.

Beliau kemudiannya dihampiri seorang wanita yang menyerkup kepalanya dengan kain mengandungi cecair sebelum menghilangkan diri.

Kim Chol disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Media asing melaporkan Kim Chol sebenarnya ialah Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara itu.

-AA-