Categories
SELANGOR

Karya Kldin pahat Kuala Kubu Bharu di peta dunia

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU, 15 OGOS: Keunikan sejarah Kuala Kubu Bharu perlu diterjemahkan kepada umum untuk dihayati dan pelancaran buku ‘A Town Planning History: Charles Reade Town Planning Britih Malaya 1921-1929’ antara langkah diambil bagi tujuan berkenaan.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata usaha dipelopori Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Peskubu) wajar dipuji dan harus mendapat sokongan semua pihak.

kkb01“Ini adalah satu usaha yang baik dianjurkan Peskubu yang akan memperkenalkan Kuala Kubu kepada dunia luar dan golongan yang menghayati sejarah,” katanya kepada Selangor Kini selepas majlis pelancaran buku berkenaan, di sini, semalam.

Katanya, buku hasil nukilan Kamalruddin Shamsudin atau Kldin sesuatu yang menarik berkenaan pembinaan bandar itu yang dijalankan arkitek New Zealand, Charles Compton Reade.

Beliau berkata, usaha itu turut membabitkan pihak lain bagi membolehkan Kuala Kubu Bharu terpahat dalam peta sejarah dunia dan ia adalah satu penghargaan besar.

“Ia akan menarik minat orang luar untuk datang ke Kuala Kubu Bharu dan menyebabkan industri eko-pelancongan bertambah maju.

“Kita akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Hulu Selangor bagi memajukan lagi industri eko-pelancongan di kawasan ini,” katanya.

kkb08Kamalruddin berkata, penghasilan buku diusahakan lebih 25 tahun itu adalah bagi menghargai sumbangan Reade yang membina bandar itu sebagai bandar dalam taman.

Katanya, keunikan Reade adalah sebagai pendorong utama kerana sumbangan beliau daripada aspek reka bentuk dan idea bandar dalam taman tidak banyak diketengahkan kepada umum.

“Beliau banyak berjasa kepada pertubuhan ‘Garden Cities and Town Planning Association’ (GCTPA, Great Brtitain) iaitu satu-satunya NGO dan pergerakan yang berjuang mewujudkan persekitaran perbandaran yang selesa dengan perumahan, pekerjaan dan alam sekeliling berkualiti berbanding keadaan terhimpit dan tidak terurus di bandar utama perindustrian di Britain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Peskubu, Ahmad Termizi Yaacob, berkata pelancaran buku itu diharap dapat menarik minat masyarakat terutama generasi muda berkenaan sejarah bandar terbabit.

“Kita banyak menjalankan program dan aktiviti berhubung sejarah Kuala Kubu Bharu untuk dihayati orang ramai. Usaha dijalankan Kldin bagi menghasilkan buku ini disokong Peskubu untuk dikongsi bersama,” katanya.

-NFN-