Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Sivagangga: Lima sekolah di Kedah ditutup serta-merta

ALOR SETAR, 3 OGOS: Lima buah sekolah di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap di Kedah yang dikaitkan dengan kluster PUI Sivagangga diarah tutup bermula semalam sehingga 29 Ogos depan.

Tindakan itu diambil oleh kerajaan negeri dalam usaha menyekat penyebaran wabak Covid-19.

Kerajaan negeri, dalam kenyataan semalam, berkata sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, SMK Megat Dewa, Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba dan SK Megat Dewa di Kubang Pasu manakala di Padang Terap ialah SK Kubang Palas.

“Kesemua sekolah ini ditutup selama 28 hari yang melibatkan 14 hari tempoh kuarantin dan 14 hari tempoh pemerhatian,” menurut kerajaan negeri itu.

Perkara itu diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (TEMCO) di Mukim Ah, Mukim Hosba dan Mukim Binjal (Kubang Pasu) serta Kampung Ulu Padang Sanai (Padang Terap).

“Ia melibatkan kawalan pergerakan orang awam pada radius satu kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Napoh yang terlibat,” katanya.

“Oleh itu, kesemua guru yang tinggal di kawasan TEMCO sama sekali tidak dibenarkan untuk hadir bertugas manakala guru yang tinggal di luar kawasan berkenaan tidak dibenarkan untuk ke sekolah yang berada berhampiran kawasan TEMCO.

“Guru yang tinggal dan bertugas di luar kawasan TEMCO tetapi perlu melalui kawasan berkenaan dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Sivagangga: KKM saring 262 individu, lapan dikesan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap 262 individu dalam kluster PUI (pesakit bawah siasatan) Sivagangga di Kedah dan lapan daripadanya dikesan positif, setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah kes positif itu, lima individu adalah bukan warganegara.

“Sebanyak 251 individu pula dikesan negatif manakala tiga lagi masih menunggu keputusan. Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif masih diteruskan,” katanya.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, beliau menasihati semua umat Islam di Malaysia yang melaksanakan aktiviti ibadah korban agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan.

“Pemakaian alat pelitup muka adalah amat digalakkan di tempat yang sesak dan sempit, terutamanya sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan.

“Amalkan kebersihan kendiri, terutamanya kebersihan tangan dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun terutamanya apabila mengendalikan makanan semasa penyediaan juadah Hari Raya,” katanya.

Beliau berkata semua anggota barisan hadapan sentiasa mengharapkan masyarakat dapat memainkan peranan masing-masing dalam memerangi wabak Covid-19.

“Semoga dengan norma dan kebiasaan baharu ini, kita dapat sama-sama membendung wabak Covid-19 di Malaysia semasa mahupun selepas musim perayaan,” katanya di samping melahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang komited memberikan perkhidmatan ketika musim perayaan ini.

– BERNAMA