Categories
AGENSI SELANGOR

Yide terima RM100,000 untuk bina kompleks anak yatim

SHAH ALAM, 30 DIS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) semalam menerima sumbangan RM100,000 daripada Solar Alert Sdn Bhd bagi pembinaan kompleks anak yatim di Pulau Indah, Klang, dekat sini.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan sehingga kini telah berjaya mengumpul sebanyak RM6.80 juta hasil dapatan daripada agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat korporat dan pihak awam.

“Terima kasih di atas sumbangan kalian, semoga kompleks anak yatim ini dapat direalisasikan satu hari nanti. Kita turut mengalu-alukan agar lebih ramai tampil untuk menderma,” katanya.

Pada majlis itu, sumbangan tersebut diserahkan Pengarah Eksekutif Solar Alert Sdn Bhd, Dato’ Ismail Salleh kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yide, Mohd Salim Mohamed Sain.

Orang ramai juga boleh menderma menerusi landasan digital Shopee dengan membuat pembelian baucar RM10 dan RM50.

Sumbangan sama boleh disalurkan ke akaun Yide (Bank Islam: 1223 40100 07330) atau secara dalam talian di Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim atau melalui Jom Pay (Biller Code: 81059) atau aplikasi e-dompet Touch n Go dan Snap and Pay.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide: Raja Muda Selangor sumbang RM100,000 bina kompleks anak yatim

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyumbang RM100,000 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) untuk pembinaan Kompleks Anak Yatim di Pulau Indah.

Majlis sumbangan diadakan di Istana Kayangan semalam serta dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Azmie Diron.

Pengurus besar Yide berkata pihaknya telah mengumpul RM6.6 juta dan masih memerlukan RM3.4 juta dan menyasarkan kutipan sumbangan itu meningkat pada suku pertama serta kedua tahun depan.

“Bagi merealisasikan kompleks yang akan menempatkan 200 anak yatim dalam satu masa diusahakan dengan kerjasama Central Spectrum Sdn Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor, Yide giat menjalankan promosi serta memperkenalkan pelbagai platform bagi memudahkan sistem sumbangan,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Terdahulu, Raja Muda Selangor berkenan mendengar taklimat ringkas berkaitan perancangan semasa projek pembinaan Kompleks Anak Yatim, Ikon Mahabbah Yide dan projek pembekalan perubatan kepada asnaf di Selangor dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor.

Yide mengajak orang ramai, syarikat korporat, agensi berkaitan kerajaan untuk bersama menyumbang dan memuliakan anak yatim dengan terus menyumbang melalui Bank Islam bernombor akaun: 1223 40100 07330 atau melalui dalam talian Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/ atau Jom Pay (Biller Code: 81059 dan aplikasi Snap and Pay.

Setiap sumbangan diberikan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi Yide.