Categories
SELANGOR

Lakar Sapa ekplorasi kreativiti pelukis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kembara Seni dan pameran ‘Lakar Sapa’ menjadi pemangkin dalam menggalakkan proses eksplorasi dan eksperimentasi pelukis merangsang juga membentuk kreativiti memindahkan pengalaman dalam bentuk visual.

Justeru, sembilan barisan pelukis bersama kakitangan Galeri Shah Alam tampil dengan program itu ke Hanoi-Sapa, Vietnam pada 14 hingga 19 September ini.

Penasihat program ‘Lakar Sapa’, Prof Dato’ Raja Zahabuddin Raja Yaacob berkata, ia diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-25 Galeri Shah Alam, tahun ini.

Katanya, program itu diinspirasikan melalui cetusan idea kreatif dan kesinambungan daripada pameran Projek Kembara Seni ke Padang, Indonesia pada 2014.

“Ini kali pertama kita bekerjasama dengan pelukis tempatan dalam Kembara Seni. Ketika di Indonesia, pelukis ini bergerak sendirian.

“Lalu, kita melihat Kembara Seni ini berjaya dilaksanakan dan mendapat sambutan menggalakan selepas karya mereka dipamerkan dalam bentuk visual di Galeri APS,” katanya kepada SelangorKini.

Raja Zahabuddin berkata, selain menjadi landasan bagi merealisasikan harapan murni pelukis terbabit, projek itu adalah titian seni budaya yang menjadi ikon juga rujukan kepada penggerak seni tempatan.

Prof-Raja-Datuk-Zahabuddin-Raja-Yaacob-e1455792609120“Hasil daripada kembara ini, satu pameran akan diadakan di Galeri Shah Alam menampilkan sejumlah karya visual, rakaman fotografi dan penulisan kreatif bermutu.

“Ia sebagai salah satu usaha meletakkan galeri ini sebagai ‘hab seni’ yang mengangkat kegiatan seni visual sebagai pendekatan kepada pembinaan budaya, bangsa dan negara,” katanya.

Perjalanan dari Hanoi ke Sapa menjadi fokus dan destinasi utama bagi kembara seni serta keindahan kawasan pergunungan itu sebagai kriteria pemilihan penganjur.

Antara pengisian sepanjang lawatan ialah observasi, fotografi, koleksi data, lakaran, melukis dan bengkel seni yang akan diadakan di studio Fakulti Seni Halus, University of Education.

Sembilan pelukis itu terdiri daripada Zaim Durulaman, Azman Md Noor, Abdullah Jones, Rohaizad Shaari, Abd Rasid Yusof, Rosli Zakaria, Zaharin Mohamad, Abdullah Hamdan dan Rasyida Mohd Rozlan.

-AA-