Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Langgar PKP, lapan individu dikompaun berhibur di Petaling Jaya

SHAH ALAM, 11 FEB: Seramai lapan individu dikompaun RM1,000 selepas didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila mengunjungi pusat hiburan di Dataran Mentari, Petaling Jaya pada Selasa.

Ketua polis daerah Petaling Jaya berkata semua individu merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 30 hingga 57 tahun.

“Polis turut menahan empat individu merupakan pemilik premis dan pekerjanya serta dua pelanggan wanita warga asing antara tiga hingga 14 hari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” kata Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata dalam serbuan pada kira-kira jam 8.45 malam itu pihaknya turut merampas 10 botol minuman keras pelbagai jenama serta tiga alat elektronik bagi tujuan hiburan.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan sektor hiburan membabitkan kelab malam, pub dan pusat karaoke hiburan masih belum dibenar beroperasi sepanjang PKP dilaksanakan sejak tahun lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan pengantin, 17 rakan ditahan, dikompaun langgar PKP

LANGKAWI, 6 FEB: Asyik merakam gambar kenangan secara berkumpulan berhampiran sebatang sungai, 19 individu termasuk satu pasangan pengantin ditahan polis dan dikenakan kompaun, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata anggotanya yang membuat rondaan bagi memastikan tatcara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dipatuhi di sekitar kawasan perumahan di Ayer Hangat, telah mengesan kehadiran kumpulan berpakaian sedondon itu, kira-kira 6.30 petang.

“Semasa rondaan, anggota polis ternampak kumpulan tersebut yang terdiri daripada sepasang pengantin dan 17 individu termasuk pengiring pengantin (seorang lelaki, 16 perempuan) berada berhampiran sungai dan mengambil gambar beramai-ramai. Hasil siasatan mendapat mereka tinggal di kawasan perumahan tersebut serta ada yang datang daripada beberapa lokasi lain sekitar pulau ini,” katanya semalam.

Shariman berkata anggotanya kemudian menahan mereka kerana berkumpul dan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk keluar rumah.

Katanya, mereka yang berusia antara 17 hingga 28 tahun itu telah dibawa ke Balai Polis Kuah untuk proses dokumentasi dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang sebelum dibebaskan.

Pada 28 Jan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan nikah, cerai serta rujuk dibenarkan seperti biasa mengikut SOP ditetapkan mulai Isnin (1 Feb) dan majlis akad nikah hanya akan dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah.

– BERNAMA