Categories
AGENDA GLOBAL

Letupan di Beirut, Presiden Lubnan ikrar teruskan siasatan terperinci

BEIRUT, 12 OGOS: Presiden Lubnan Michel Aoun pada Selasa berikrar beliau akan meneruskan siasatan terhadap insiden letupan di Beirut pada 4 Ogos, membunuh 171 orang dan mencederakan kira-kira 6,000 yang lain, lapor agensi berita Xinhua.

“Saya tidak akan berdiam diri dan tidak akan berhenti sehingga dapat mendedahkan semua fakta mengenai insiden itu; merujuk kejadian berkenaan kepada Majlis Agung Kehakiman merupakan langkah pertama,” kata Aoun dalam satu kenyataan.

Maklumat awal menunjukkan ammonium nitrat yang disimpan sejak tahun 2014 di gudang No. 12 di Pelabuhan Beirut mungkin menjadi punca kejadian.

Kepemimpinan Lubnan menerima kritikan hebat daripada rakyat yang menuduh mereka lalai dalam memastikan aspek keselamatan mengenai penyimpanan ammonium nitrat itu.

Pada Isnin, barisan kabinet Lubnan umum mengundurkan diri.

Kabinet merujuk kes itu kepada dewan kehakiman selaras dengan cadangan Menteri Kehakiman Marie-Claude Najm.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap takziah buat keluarga mangsa terbunuh di Lubnan

SHAH ALAM, 5 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam letupan di ibu kota Beirut, Lubnan.

“Inalillah wainailaihi rajiun. Melahirkan rasa simpati atas tragedi menyayat hati letupan di bandar Beirut, Lubnan.

“Semoga kerajaan dan rakyat Lubnan tabah menghadapi ujian yang getir ini. Salam takziah buat keluarga mangsa yang terkorban,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Memetik agensi berita The Guardian, lebih 80 individu terbunuh dan lebih 4,000 penduduk lagi cedera dalam dua siri letupan besar di ibu kota negara itu semalam.

Terdapat rakaman video menunjukkan letupan awal mengakibatkan kepulan asap tebal, api marak dan menggegarkan bangunan. Berikutan itu banyak harta benda musnah dengan tingkap kediaman berkecai serta siling runtuh.

Kebanyakan daripada mereka menyangka insiden itu berpunca daripada gegaran kuat akibat gempa bumi.