Categories
SELANGOR

Maahad Tahfiz Darul Itqan terbakar, pelajar ditempatkan sementara

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 MAC : Penuntut Maahad Tahfiz Darul Itqan ditempatkan di bangunan sementara milik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas bangunan sekolah berkenaan hangus dijilat api pada jam 5.40 pagi pagi tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehen Mukhyi, berkata pihaknya membuat perbicangan bersama JAIS bagi tujuan memudahkan pelajar meneruskan pengajian seperti biasa.

Sallehen“Kita sedang berusaha untuk mendapatkan sumbangan. Sementara ini kita buat perbincangan bersama JAIS untuk tempatkan pelajar di bangunan lama JAIS buat sementara waktu,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam kejadian itu, Maahad beroperasi sejak 1980 itu hangus dijilat api dan memunasnahkan tiga buah kelas, sebuah stor dan bilik guru.

Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah lintas pintas berikutan sistem pendawaian sekolah berkenaan yang tidak diselenggara dengan baik.

“Walaupun bangunan sekolah ditambah baik tiga tahun lepas tetapi masalah utamanya mungkin kerana pendawaian lama yang sudah digunakan sejak 1980 lagi,” kata Adun Sabak itu.

Kerugian insiden berkenaan dianggarkan berjumlah RM300,000.

Sallehen berkata, pihaknya juga mengemukakan perkara itu kepada Exco berkenaan untuk tujuan pemantauan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Balai Bomba Sabak Bernam mengesahkan menerima panggilan telefon jam pada 5.24 pagi berhubung insiden itu.

EZY