Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir seru rakyat contohi etika kerja Korea Selatan

SEOUL, 28 NOV: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru diaspora Malaysia di Korea Selatan supaya mencontohi etika kerja dan ciri ciri positif negara itu dan seterus menimba ilmu dan memanfaatkan teknologi canggih daripada negara itu.

“Apa yang kita mahu adalah untuk rakyat Malaysia datang ke sini dan belajar bagaimana mereka boleh maju dengan cepat. Hayati cara orang Korea bekerja dan etika kerja mereka,” katanya pada jamuan malam bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia di Seoul sempena majlis ‘Sepetang Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad’, di sini, Rabu.

Perdana Menteri, berkata, ilmu tanpa nilai-nilai yang murni boleh membahayakan tetapi memupuk etika dalam kehidupan harian termasuk kerja telah membuktikan manfaat bagi kebaikan manusia sejagat.

Beliau berkata, Korea Selatan sebelum ini ketinggalan dari segi pembangunan dengan Malaysia, bahkan mereka datang ke negara Asia Tenggara untuk menimba ilmu pada zaman kegemilangannya.

“Hari ini mereka jauh meninggalkan kita. Kini sudah mencapai pendapatan perkapita US$30,000 setahun. Ini kemajuan yang menakjubkan. Dulu mereka ada satu kereta saja iaitu Hyundai Pony. Orang ketawa bila mereka kata nak eksport. Kini mereka menjual (kereta) di serata dunia,” katanya.

Dr Mahathir berkata Korea Selatan telah berjaya melaksanakan pelan pembangunan yang menyaksikan ia dipacu dari negara yang dilanda perang kepada sebuah negara yang maju.

Beliau mengulas bagaimana Korea Selatan membina semula negara mereka dengan pemesatan bandar akibat industri pembinaan kapal dan bagaimana mereka kini menghasilkan pesawat pejuang.

“Mereka mempunyai strategi yang berbeza daripada kita…kita hanya perlu belajar bagaimana untuk maju dengan lebih cepat,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata beliau sebelum ini telah bertemu dengan ramai rakyat Malaysia yang bekerja dengan Gas Asli Cecair Terapung Kedua (PFLNG Dua) Petronas di Geoje dan ia membuktikan rakyat Malaysia berdaya tahan walaupun berdepan dengan cuaca sejuk yang melampau.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan diaspora untuk kembali berkhidmat di tanah air.

“Sekiranya anda boleh mencari kerja di tempat lain, biar lakukan tetapi jangan tinggal terlalu lama sebagai diaspora. Janganlah jadi diaspora sampai bila-bila. Baliklah. Malaysia adalah tempat anda,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk menarik lebih banyak syarikat berteknologi tinggi untuk melabur di Malaysia sebagai langkah menyediakan pekerjaan bernilai tinggi secara menyeluruh dalam rantaian.

Beliau juga meluangkan masa untujk menjawab beberapa soalan daripada hadirin dengan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bertindak sebagai moderator.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking serta Duta Malaysia di Korea, Datuk Mohd Ashri Muda.

Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Hasmah Mohd Ali kini dalam lawatan rasmi ke Seoul dari 27 dan 28 Nov selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019 di Busan yang berakhir Selasa.

Ini merupakan lawatan rasmi Dr Mahathir yang pertama ke Korea Selatan sejak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh pada bulan Mei 2018.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Seoul sambut Tun M dengan lagu ‘Standing In The Eyes Of The World’

SEOUL, 27 NOV: Seoul memberi sambutan rasmi kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tiba di Pangkalan Udara Seoul hari ini dengan lagu popular ‘Standing In The Eyes of The World’.

Lagu berkenaan, yang sinonim dengan perdana menteri Malaysia itu selepas Sukan Komanwel 1998, dipersembahkan oleh pasukan pancaragam dan kumpulan persembahan Tentera Korea Selatan.

Pesawat khas membawa Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mendarat di pangkalan udara berkenaan pada 1.30 tengah hari Rabu waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia).

Hadir untuk menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Kesihatan dan Kebajikan Korea, Park Neung-hoo; Duta Korea Selatan di Malaysia, Lee Chi-beom; dan Jeneral Hal Ehwal Protokol Komander Bae Soon-wook daripada 15th Special Missions Wing.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar; Duta Malaysia di Korea Datuk Mohd Ashri Muda, dan Atase Pertahanan Malaysia di Seoul, Kolonel Mohd Sobirin Mohd Yusof.

Sejurus selepas ketibaan, Dr Mahathir memeriksa kawalan kehormatan selepas lagu kebangsaan Malaysia dan Korea Selatan diperdengarkan.

Ini lawatan rasmi pertama beliau ke Korea Selatan sejak menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada Mei 2018.

Semasa lawatan itu, Dr Mahathir akan mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dua hala dengan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in.

Ia merupakan susulan kepada perbincangan kedua-dua pemimpin itu di Kuala Lumpur semasa lawatan negara Moon ke Malaysia dari 12 hingga 14 Mac, 2019.

Esok kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan majlis memeterai empat Memorandum Persefahaman (MOU) — dalam teknologi maklumat dan komunikasi; kerajaan digital; penjagaan kesihatan & sains perubatan serta pengurusan air dan & pembetungan.

Selain menghadiri program rasmi, perdana menteri juga dijadual mengambil bahagian dalam mesyuarat perniagaan meja bulat bersama peneraju industri Korea Selatan dan menerima kunjungan hormat daripada presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Daewoo Engineering and Construction Co. Ltd.

Dr Mahathir akan turut mengambil peluang bertemu dengan diaspora Malaysia di Seoul.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah dijangka kembali ke Malaysia pada Khamis (28 November).

-BERNAMA