Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM gerak pekerja sokongan atasi masalah kutipan sampah

SHAH ALAM, 4 OGOS: KDEB Waste Management (KDEBWM) menggerakkan khidmat pekerja sokongan bagi meneruskan operasi kutipan sisa pepejal di 14 kawasan terjejas di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Ketua Media dan Perhubungan Awamnya berkata gangguan operasi berlaku berikutan saringan Covid-19 dijalankan terhadap petugas pembersihan dan proses nyahkuman jentera kutipan.

“Bagaimanapun operasi tetap berjalan seperti biasa di mana KDEBWM mendapatkan khidmat pekerja sokongan bagi memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang merupakan salah satu perkhidmatan penting dilaksanakan mengikut jadual,” kata Mahfuzah Muhammad Tarmidi dalam kenyataan semalam.

14 kawasan yang terlibat iaitu:

1.    Aman Perdana
2.    Bandar Bukit Raja
3.    Bukit Kapar
4.    Kampung Bayu Perdana
5.    Kampung Raja Uda
6.    Taman Chi Liung
7.    Kampung Baru Pandamaran
8.    Kampung Idaman
9.    Pandamaran Jaya
10. Pelabuhan Klang
11. Taman Kota Pendamar
12. Taman Selat Selatan
13. Taman Petaling Indah
14. Taman Selatan

Mahfuzah berkata orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kutipan sisa domestik boleh menghubungi talian pusat aduan setempat atau operasi KDEBWM cawangan Klang.

“Bagi KDEBWM, kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan dialami dan akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang terbaik kepada rakyat Selangor,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM: Lebih 400 unit tong sampah disumbang di DUN

SHAH ALAM, 16 NOV: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menyumbang lebih 400 unit tong sampah pelbagai jenis di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bermula awal tahun sehingga kini.

Ketua perhubungan awam dan medianya berkata sumbangan Leach Bin, ROTO Bin serta Mobile Garbage Bin (MGB) bersaiz 660 liter(l), 240l dan 120l sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu penduduk dan memastikan negeri ini kekal bersih.

“Kita harap penyediaannya menggalakkan masyarakat membuang sisa domestik ke dalam tong sampah disediakan seterusnya memudahkan kutipan oleh KDEBWM,” kata Mahfuzah Muhammad Tarmidi ketika dihubungi.

Terbaharu, KDEWBM menyumbang 10 unit tong sampah Leach Bin iaitu enam untuk DUN Taman Templer dan empat (DUN Subang Jaya) dengan mengambil kira tong sedia ada yang rosak serta tidak boleh digunakan lagi selain keperluan mendesak untuk menguruskan sampah lebih baik.

Mahfuzah berkata KDEBWM menyambut baik sekiranya Ahli Dewan Negeri, persatuan penduduk, komuniti mahupun agensi yang mahu membuat permohonan bagi mendapatkan kemudahan tersebut.

“Pihak operasi KDEBWM akan menyemak dan menganalisa permohonan terlebih dahulu bergantung pada keperluan di kawasan berkaitan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Hargai Media Selangor, KDEBWM sumbang biskut raya

SHAH ALAM, 12 Mei: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) hari ini menyerahkan sumbangan 83 beg biskut raya kepada Media Selangor sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang, kata ketua perhubungan awam dan medianya.

Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata pemberian dibuat kepada pihak media yang juga sebahagian petugas barisan hadapan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“KDEBWM amat berpuas hati dengan Media Selangor yang sentiasa membuat laporan mengenai aktiviti kita,” katanya.

Beliau berkata usahawan kecil di negeri ini secara tidak langsung menerima tempahan biskut raya termasuk  tart nanas dan almond London serta kerepek untuk diedar kepada pihak berkaitan termasuk Media Selangor.

Media Selangor yang menerbitkan akhbar mingguan SelangorKini secara mingguan dan paparan berita portal serta video termasuk siaran langsung program tertentu.