Categories
SELANGOR

Terkini lagi tepat, ikuti laman sosial Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor

SHAH ALAM, 2 APRIL: Orang ramai boleh mengikuti laman media sosial Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) untuk mengetahui perkembangan terkini serta tepat isu wabak berkenaan di negeri ini.

Saluran yang disediakan ialah Twitter iaitu @stfc_selangor, Facebook (Selangor Task Force Covid 19) dan Instagram (stfc_selangor).

Pelayar maya juga boleh melayari portal www.amirudinshari.com/stfc19 bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai inisiatif Kerajaan Selangor untuk membantu penduduk sepanjang usaha membendung penularan Covid-19.

Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 10 Mac meluluskan penubuhan STFC bagi memantau dan mencegah penularan wabak Covid-19 di seluruh negeri dengan kerjasama Pusat Arahan Smart Selangor.

Pasukan tersebut diketuai mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Dr Christopher Lee Kwok Choong, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Datuk Dr Fadzilah Kamaludin, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman, Dr Yap Wei Aun dan Dr Siti Mariah Mahmud .

Categories
AGENDA NASIONAL

MB, pasukan petugas Covid-19 mesyuarat dengan bertopeng, duduk jauh-jauh

SHAH ALAM, 22 MAC: Dato’ Menteri Besar dan pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor tetap komited melaksanakan tugas walaupun terpaksa mengadakan mesyuarat dalam keadaan jarak sosial selamat dan bertopeng, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan itu tetap diadakan bagi mendapatkan pandangan setiap ahli pasukan untuk menangani penularan wabak tersebut di negeri ini.

“Untuk itu, mesyuarat ringkas diadakan dengan jarak sosial selamat,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Majlis Tindakan Khas Covid-19 ditubuhkan untuk memantau dan mencegah penularan wabak berkenaan.

Ia diketuai mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta dianggotai Christopher Lee Kwok Choong, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Datuk Dr Fadzilah Kamaludin, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dr Yap Wei Aun.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sehingga semalam, sebanyak 268 kes Covid-19 dilaporkan di Selangor melibatkan daerah Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang, Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan petugas khas Covid-19 menghadap Sultan Selangor

SHAH ALAM, 18 MAC: Pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, semalam.

Pejabat Istana Selangor dalam kenyataan berkata baginda ingin mendapatkan pandangan serta perkembangan mutakhir berkaitan wabak seterusya mengambil langkah wajar.

“Turut menghadap ialah wakil Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor,” kata kenyataan itu.

Majlis tindakan yang ditubuhkan pada 10 Mac lalu bertujuan memantau dan mencegah penularan wabak Covid-19 di seluruh negeri dengan kerjasama Pusat Arahan Smart Selangor.

Pasukan tersebut diketuai mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Dr Christopher Lee Kwok Choong, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Datuk Dr Fadzilah Kamaludin, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dr Yap Wei Aun.