SHAH ALAM, 20 JAN: Sebanyak 5,700 bakul makanan berisi produk industri kecil dan sederhana (IKS) bakal diagih kepada mangsa serta petugas banjir negeri ini.
EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata sumbangan menerusi program #produkkampung4u itu dapat meringankan beban mangsa selain membantu pengusaha IKS menjana pendapatan.
Jelas Borhan Aman Shah, program melibatkan belanja RM500,000 itu sepatutnya diberi kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang terkesan pandemik Covid-19 namun diubah susulan bah besar pada Disember tahun lalu.
“Bakul ini berisi makanan antaranya kuah pecal dari pengusaha Sabak Bernam, mi sanggul dan ikan masin dari Kuala Selangor serta kopi Kuala Langat selain pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.
“Fasa pertama ini kita beri 3,700 kepada mangsa selebihnya untuk petugas sebagai tanda terima kasih. Fasa seterusnya diberi kepada keluarga terkesan Covid-19 seperti perancangan awal,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyerahkan bakul makanan terbabit kepada wakil pejabat tanah dan daerah di Dewan Kompleks Perumahan EXCO Kerajaan Selangor di Seksyen 7 di sini hari ini.
Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.
Susulan itu pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit termasuk bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa terkorban dan RM1,000 untuk ketua isi rumah.