Categories
SELANGOR

MBPJ-B ungguli Piala Datuk Bandar MBPJ 2015

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 25 MEI: Pasukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya B (MBPJ-B) berjaya menjuarai Piala Datuk Bandar MBPJ 2015 bawah 17 tahun selepas menewaskan pasukan Gen-Pro, 1-0.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerangnya, Arif Ikhwan Hasril selepas berjaya memanfaatkan peluang ekoran kesilapan penjaga gol Gen-Pro yang gagal menampan kemas sepakan percuma Mohd Afzal Akhbar.

Perlawanan yang berlangsung seimbang bagaimanapun dicemari dengan insiden layangan dua kad merah kepada pemain Gen-Pro, namun suasana tegang yang berlarutan hingga tamat perlawanan itu berjaya dikawal.

MBPJ2MBPJ-B membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi dan sijil penyertaan.

Jurulatih MBPJ-B, Abd Hamid Mohd Tahir, 48, gembira dengan kemenangan pasukan dan melemparkan pujian terhadap disiplin yang ditunjukkan pemainnya.

“Alhamdulillah, dua hari saya di sini memang kita sasarkan untuk ke final.

“Tahun lalu, kita kecewa di kejohanan 1MCC sebagai naib johan tetapi tahun ini dapat melunaskan balik dendam di perlawanan akhir,” katanya kepada Selangor Kini.

Mengulas berkenaan penganjuran kejohanan yang mampu mencungkil bakat baru, beliau mengakui Akademi MBPJ berjaya melahirkan nama besar seperti Fitri Syazwan Raduwan yang kini beraksi bersama pasukan Selangor.

“Fitri menjadi ikon hasil daripada program mencungkil bakat bawah 17 tahun,” katanya.

Beliau yang sudah tujuh tahun menjadi jurulatih akademi itu berkata, MBPJ kini dalam persiapan mengharungi cabaran Piala 1MCC bawah 16 tahun yang akan berlangsung Ogos ini.

Sementara itu, penjaring gol tunggal yang juga pemain terbaiak kejohanan, Arif Ikhwan, 16, gembira dapat membantu pasukannya memenangi kejuaran tahun ini.

Pelajar Sekolah Menengah Victoria itu berkata, dia menyimpan hasrat bermain secara profesional dalam Liga Malaysia satu hari nanti.

“Saya berasa bangga kerana berjaya menaikkan nama MBPJ dan itu adalah gol pertama dijaringkan dalam kejohanan,” katanya.

-NFN-