Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Litar Batu Kawan ujian sebenar Honda

SHAH ALAM, 12 APR: Naib juara CP150 pusingan pembukaan di Jasin, Md Helmi Azman menjelaskan litar Batu Kawan sebagai venue pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS minggu ini menjadi medan ujian sebenar bagi membuktikan keupayaan jentera Honda pada musim 2019.

Pelumba Hi Rev SCK Honda Racing itu menjelaskan penguasaan tiga pelumba Honda di Jasin tempoh hari banyak dibantu faktor litar yang dilihat memberi kelebihan untuk mereka memaksimumkan keupayaan jentera.

Helmi berkata, kalau diperhatikan sewaktu di Jasin, walaupun laluan lurus hanya 159 meter berbanding di Batu Kawan yang mempunyai jarak 293 meter namun sudut selekoh kedua-dua litar ini agak berbeza.

“Sudut selekoh di Jasin agak lebar dan laju, jadi ia banyak memberi kelebihan kepada kami untuk mengekalkan kelajuan namun sedikit berbeza di Batu Kawan yang lebih teknikal.

“Di sini, sudut selekoh lebih kecil terutama di laluan ‘S’ dan terdapat bulatan yang akan memperlahankan kelajuan jentera serta pada masa sama memerlukan jentera kami untuk memberi tindak balas yang lebih tangkas berbanding jentera Yamaha,” kata juara Underbone 150cc Asia 2018 itu.

Helmi berkata, jika diperhati pada musim lalu, jentera Yamaha mempunyai banyak kelebihan di litar teknikal seperti di Batu Kawan.

“Maka sebab itu perlumbaan minggu ini sangat penting dan menjadi medan ujian sebenar untuk kami mengukur prestasi jentera bagi menghadapi pusingan akan datang,” katanya yang sekali lagi meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan di atas podium.

Categories
SUKANKINI

ARRC: Azlan kelima terpantas hari pertama pusingan akhir

SHAH ALAM, 1 DIS: Pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman gagal memberikan aksi terbaik namun masih kekal mencabar apabila mencatat masa kelima terpantas dalam sesi latihan bebas kategori SuperSports 600cc pada hari pertama pusingan akhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, semalam.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu mencatat masa terbaik 1’39.691s dilakukan pada sesi latihan bebas kedua sambil duo Yamaha Thailand Racing, Ratthapong Wilairot dan Decha Kraisart menguasai hari pertama kejuaraan, dengan masing-masing mencatat masa 1’38.939s dan 1’39.226s.

Rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira muncul pelumba ketiga terpantas (1’39.469s).

Meskipun kurang berpuas hati dengan catatan dilakukan, Azlan yang perlu memenangi kedua-dua perlumbaan untuk mempertahankan gelaran keseluruhan dimenangi pada musim lalu, tetap yakin mampu memberikan aksi yang lebih baik dalam sesi kelayakan hari ini.

“Saya mencuba beberapa pelarasan untuk mendapatkan jentera terbaik sepanjang sesi latihan bebas hari ini (semalam).

“Saya berharap pasukan dapat menggunakan data yang ada untuk saya sekurang-kurangnya dapat memulakan perlumbaan akhir dari barisan hadapan,” kata Azlan kini di kedudukan kedua keseluruhan dengan 102 mata, 34 mata di belakang pendahulu, Anthony West yang tidak beraksi di Thailand minggu ini.

Sementara itu, dalam saingan Underbone 150cc, tugas sukar buat pendahulu keseluruhan, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Racing Team) setelah mengalami masalah enjin ketika sesi kelayakan sekali gus gagal layak ke sesi Superpole bagi menentukan grid 15 pelumba terbaik untuk perlumbaan akhir.

Md Helmi yang sebelum itu mencatat masa terpantas dalam kedua-dua sesi latihan bebas 2’01.139 terpaksa berpuas hati sekadar memulakan perlumbaan akhir dari petak ke-19.

Helmi perlu menamatkan saingan sekurang-kurangnya di kedudukan kesembilan bagi mengesahkan kedudukan sebagai juara keseluruhan kategori Underbone 150cc.

Catatan terpantas sesi kelayakan dilakukan pelumba wildcard, Wawan Wello dengan rekod litar 1’59.998s.

KEPUTUSAN:

SUPERSPORTS 600CC
1 Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:38.939s
2 Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:39.226s
3 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1:39.469s
4 Randy Krummenacher (SUI) Webike IKAZUCHI Racing 1:39.500s
5 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1:39.691s

ASIA PRODUCTION 250CC
1 Kritchaporn Kaewsonthi (THA) A.P. Honda Racing Thailand 1:52.997s
2 Anupab Sarmoon (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:53.089s
3 Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1:53.339s
4 Mario Suryo Aji (INA) Astra Honda Racing Team 1:53.598s
5 Peerapong Boonlert (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:53.643s

UNDERBONE 150CC
1 Wawan Wello (INA) Yamaha Yamalube SND Factory 1:59.998s
2 Md Amirul Ariff Musa (MAS) Yuzy Honda Vietnam Racing Team 2:00.198s
3 Md Affendi Rosli (MAS) Team One For All 2:00.530s
4 Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 2:01.231s
5 Md. Aiman Azman (MAS) Yuzy Honda Vietnam Racing Team 2:01.475s